Follow us

Wanita Vietnam Kes Bunuh Kim Jong Nam Diberi Penilaian Kesihatan Mental

Ali Nufael & Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-15
E-mel
Komen
Share
Wanita warga Vietnam Doan Thi Huong diiringi polis keluar dari kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur, 14 Mac, 2019.
Wanita warga Vietnam Doan Thi Huong diiringi polis keluar dari kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur, 14 Mac, 2019.
[AFP]

Wanita warga Vietnam, Doan Thi Huang yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Selatan diberikan penilaian kesihatan mental pada Jumaat selepas keadaan beliau makin merosot berikutan kegagalannya untuk mendapatkan pembebasan, kata peguam.

Salim Basyir, salah seorang dari tiga peguam yang mewakili Doan memberitahu BeritaBenar bahawa Doan dibenarkan untuk menerima rawatan kesihatan di hospital kerajaan sebelum sesi perbicaraan ditangguhkan pada Khamis.

“Kami telah membuat permohonan di hadapan Hakim Azmi Ariffin semalam [Khamis] supaya Doan di hantar ke hospital kerana emosi beliau tidak stabil selepas permohonan untuk pembebasan ditolak oleh Peguam Negara.

“Dia cuma tidur selama satu jam setiap hari sejak empat hari lalu. Dia tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling dan hanya mahu bersama keluarga.

“Jadi, hakim bersetuju memerintahkan bahawa Doan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pagi ini(Jumaat). Doan melalui penilaian kesihatan mental yang dilakukan oleh doktor di sana untuk menilai keadaan beliau,” kata Salim.

Salim turut memberitahu bahawa sesi itu berlangsung selama tiga jam dan selepas berakhir, Doan dihantar semula ke penjara.

“Keputusan penilaian itu tidak diberikan kepada kami. Kami tidak berada di sana. Cuma pegawai dari penjara yang ada bersama Doan,” tambah Salim lagi.

Sesi perbicaraan yang sepatutnya bermula pada Isnin dengan Doan mengambil tempat di kandang saksi untuk soal jawab terhenti apabila pendakwaraya memberitahu hakim bahawa mereka mahu menarik balik kes dan meminta tertuduh pertama Siti Aisyah dibebaskan dan dilepaskan. Keputusan itu mengejutkan semua pihak termasuk Doan.

Doan dan Siti Aisyah telah didakwa membunuh Kim Jong Nam dengan melumur muka lelaki itu dengan agen saraf bertoksik VX, senjata kimia yang boleh membawa maut dan terlarang, ketika mangsa mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan AirAsia ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Sesi mahkamah tangguh

Hakim Azmi walaubagaimanapun membenarkan permohonan pendakwaraya tetapi berkata beliau berbuat demikian dengan Siti Aisyah dibebaskan tanpa dilepaskan kerana beliau percaya ada kes prima facie dalam kes itu.

Mahkamah ditangguhkan sehingga Khamis selepas peguam bela Doan memohon kepada mahkamah untuk penangguhan bagi membenarkan mereka menghantar permohonan kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pembebasan terhadap Doan.

Walaubagaimanapun permohonan itu telah ditolak dan menyebabkan Doan menangis ketika diberitahu tentang keputusan Pejabat Peguam Negara.

Hakim Azmi membenarkan permohonan peguam bela Doan untuk perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 April supaya wanita itu dibenarkan untuk diberi rawatan kesihatan dan supaya satu penilaian mental dapat dilakukan selepas melihat keadaan Doan di dalam kandang saksi.

“Berdasarkan kepada keadaan beliau, saya dengan rasa perikemanusiaan membenarkan kes ditunda. Beliau memerlukan pemeriksaan kesihatan.

“Saya harap kes dapat berjalan hari ini (Khamis) tetapi beliau kelihatan tidak sihat. Keputusan saya berdasarkan kepada rasa perikemanusiaan. Walaubagaimanapun perbicaraan tetap perlu berjalan dan mesti berjalan pada 1 April, “ kata Azmi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik meyakinkan Azmi bahawa kes tersebut akan berjalan pada tarikh yang dinyatakan.

Duta Vietnam ke Malaysia Le Quy Quynh memberitahu pemberita di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Khamis bahawa beliau sangat kecewa dengan keputusan Peguam Negara. Di Hanoi, Menteri Luar Negara Pham Binh Minh itu turut menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Malaysia.

Beliau sebelum ini telah meminta supaya Doan dibebaskan.

Timbalan Menteri Luar Negara Vietnam Nguyen Quoc Dung turut meluahkan rasa kecewa dengan keputusan itu ketika bertemu dengan duta Malaysia di sana Zamruni Khalid.

Peguam kepada kedua-dua tertuduh sebelum ini berkata kedua mereka dijadikan kambing hitam dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam dan mendakwa ejen Korea Selatan yang membawa kedua wanita itu dalam plot pembunuhan dengan membuatkan mereka percaya bahawa mereka terlibat dalam satu rancangan ‘prank’.

Selepas kejadian pembunuhan itu, empat warga Korea Selatan terbang keluar dari Malaysia. Notis Merah Interpol turut dikeluarkan atas nama mereka.

Pada Mac, 2017, jenazah Kim diserahkan kepada Korea Selatan sebagai satu bentuk pertukaran bagi membawa pulang sembilan pegawai kedutaan Malaysia yang terperangkap di Pyongyang berikutan perbalahan antara dua negara yang memuncak.

Dua rakyat Korea Selatan yang sudah dikenalpasti oleh Malaysia sebagai orang yang berkepentingan dalam kes itu juga berada dalam penerbangan yang sama membawa jasad Kim Jong Nam keluar dari Malaysia.


Lihat Laman Penuh