Follow us

Rakaman CCTV Tunjuk Tertuduh Berlatih Dua Hari Sebelum Pembunuhan Kim Jong Nam

Hareez Lee & Fadzil Aziz
Shah Alam, Malaysia
2017-10-10
E-mel
Komen
Share
Anggota polis mengawal tertuduh Vietnam, Doan Thi Hoang, (tengah) semasa menuju ke kompleks Mahkamah Shah Alam di luar Kuala Lumpur, 5 Okt, 2017.
Anggota polis mengawal tertuduh Vietnam, Doan Thi Hoang, (tengah) semasa menuju ke kompleks Mahkamah Shah Alam di luar Kuala Lumpur, 5 Okt, 2017.
(FadzilAziz/BeritaBenar)

Satu rakaman CCTV di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur menunjukkan seorang daripada dua wanita Asia Tenggara, yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, berlatih melakukan aksi serupa terhadap orang yang tidak dikenali dua hari sebelum pembunuhan itu berlaku, kata seorang pegawai penyiasat polis semasa memberi keterangannya pada Selasa.

Pegawai polis penyiasat kanan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, wanita Vietnam Doan Thi Huang dilihat dalam rakaman CCTV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 11 Feb lalu, dua hari sebelum Kim Jong Nam dibunuh semasa beliau menunggu penerbangan ke Macau .

"OKT Doan dilihat mendekati dari belakang orang awam yang dipilih secara rawak  dan menyapu sesuatu pada wajah orang itu," kata Wan Azirul semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. OKT adalah singkatan untuk orang kena tuduh atau orang yang dituduh.

"Apabila orang itu berpaling ke arahnya, dia membuat isyarat seperti meminta maaf, dengan menundukkan kepalanya dan meletakkan tangannya di depan, sebelum berjalan beberapa langkah dan berpaling lalu pergi," katanya.

171010-MY-trial-inside.jpg

Pegawai penyiasat kanan Wan Azirul Nizan Che Wan Aziz akan kembali memberi keterangannya pada  Rabu, 10 Okt 2017. (FadzilAziz /BeritaBenar)

Wan Azirul, saksi kesembilan pendakwaan, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat Kuala Lumpur bahawa Doan kelihatan lebih santai pada 11 Feb berbanding pada hari dia didakwa menyerang Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Apabila ditanya mengenai perbezaan di antara tindakan pada 11 Feb dan pembunuhan dua hari kemudian, Wan Azirul memberi Keterangan bahawa Doan "lebih agresif terhadap si mati.

"Tindakan OKT agak agresif. Perbezaan lain ialah OKT Doan berjalan dengan pantas," katanya semasa mengulas tindakan wanita itu selepas didakwa menyerang Kim Jong Nam.

Semasa pernyataan pembukaan, pendakwa raya berkata, mereka mahu membuktikan bahawa tertuduh Doan dan wanita Indonesia, Siti Aisyah, terlibat dalam perbuatan itu bersama-sama empat orang lagi hingga menyebabkan kematian Kim Jong Nam. Sejurus selepas pembunuhan itu, penyiasat berkata, empat lelaki Korea Utara dilihat di lapangan terbang itu tetapi mereka telah melarikan diri dari Malaysia pada hari berkenaan.

Doan dan Aisyah mendakwa mereka telah ditipu oleh beberapa lelaki dengan menganggap mereka melakukan aksi gurauan terhadap Kim Jong Nam yang dirakam sebagai sebahagian daripada rancangan realiti televisyen. Wanita itu mendakwa mereka tidak tahu bahawa mereka menyapu agen saraf yang membawa maut pada wajah Kim Jong Nam semasa mereka menyerangnya di lapangan terbang itu.

Pegawai penyiasat itu memberi keterangan bahawa 23 DVD yang mengandungi rakaman CCTV telah diperoleh dari lapangan terbang tersebut, dengan 22 daripadanya adalah pada hari Kim Jong Nam meninggal dunia manakala satu lagi adalah dari dua hari sebelum kejadian itu. Lebih banyak rakaman dijangka dikemukakan sebagai keterangan apabila perbicaraan disambung semula pada Rabu dan Wan Azirul dijangka menyambung keterangannya.

Ahli kimia menyambung keterangan

Ahli kimia kerajaan Raja Subramaniam kembali memberi keterangan dengan memberitahu bahawa analisis mendapati adanya agen saraf VX dalam dos yang lebih tinggi daripada jumlah yang diketahui boleh membawa maut, pada kulit mangsa.

Raja yang juga ketua ahli kimia di Pusat Analisis Senjata Kimia di Jabatan Kimia Malaysia memberi keterangan bahawa jumlah VX yang terdapat pada kulit mangsa adalah 1.4 kali lebih tinggi daripada satu-satunya kes agen yang diketahui. Beliau memberitahu mahkamah bahawa dos membawa maut itu telah ditemui dalam satu kes di Osaka, Jepun, pada 1994.

Raja juga memberi keterangan bahawa beliau telah dimaklumkan barangan mangsa termasuk blazer, beg, kasut, seluar denim, cincin dan jam tangan telah dikembalikan kepada Korea Utara. Mayat Kim Jong Nam dihantar ke sana enam minggu selepas serangan maut itu, yang kemudian membawa kepada perbalahan politik di antara kedua-dua negara.

Pasukan pembelaan turut membangkitkan kebimbangan mereka kepada wartawan mengenai blazer yang hilang itu selepas sesi pengecaman barang bukti di makmal jabatan itu pada Isnin bagi melihat barang bukti yang mengandungi VX.

Kedua-dua wanita itu berdepan hukuman mati jika disabitkan dengan pertuduhan membunuh.

"Kami akan bertanya nanti mengapa ia diserahkan kepada Korea Utara dan atas arahan siapa," kata peguam Aisyah, Gooi Soon Seng, kepada wartawan.

Lihat Laman Penuh