Polis Malaysia Masih Mencari Empat Saksi Kes Bunuh Kim Jong Nam

Muzliza Mustafa
2019.01.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190108-MY-Saksi1000.jpg Warga Indonesia Siti Aisyah [tengah] diiringi oleh sepasukan anggota Polis DiRaja Malaysia [PDRM] selepas sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di luar Kuala Lumpur, 27 Jun 2018.
[AFP]

Polis Malaysia sedang mengesan empat lagi saksi dalam kes berprofil tinggi pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam bagi membantu siasatan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan itu telah meminta kesemua mereka iaitu dua warganegara Indonesia dan dua lagi saksi rakyat tempatan untuk hadir pada hari perbicaraan.

“Pihak berkuasa sedang mencari warga Indonesia Raisa Rinda Salma, 24, Dessy Meyrisinta, 33, bersama dengan rakyat tempatan Tham Yook Kun, 50, dan Ng Wah Hoong, 38,” kata   Fadzil dalam kenyataan media bersama lampiran butir peribadi saksi yang dicari.

Tambah beliau, usaha untuk menjejaki keempat mereka menjumpai jalan buntu sehingga ke hari ini walaupun pemeriksaan telah dilakukan di Jabatan Imigresen Malaysia dengan pengkalan data jabatan itu menunjukkan bahawa kesemua mereka masih berada di dalam negara.

Fadzil meminta supaya kesemua saksi tersebut menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Sepang atau menghubungi pegawai penyiasat Assistant Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan di talian 019-4811844.

Kedua saksi warga Indonesia Raisa dan Dessy sebelum ini sudah cuba dijejaki oleh pihak polis melalui kenyataan akhbar pada September 2018.

Raisa dan Dessy dikatakan rakan sebilik Siti Aisyah ketika di Kuala Lumpur dan berkemungkinan berada di dalam bilik yang sama ketika bilik yang mereka diami digeledah polis.

Kim Jong Nam, 45, menggunakan nama Kim Chol di dalam passport miliknya, dan adalah anak sulung pemimpin Korea Utara, Kim Jon Il. Beliau diserang dengan dilumur oleh agen saraf VX di bahagian muka pada 13 Februari 2017 ketika sedang menunggu penerbangan ke Macau di ruang menunggu Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) . Beliau meninggal dunia di dalam ambulans semasa perjalanan ke hospital.

Dua wanita Asia, Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam telah didakwa membunuh Jong Nam dengan kedua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kedua tertuduh berkata mereka menyertai program ‘prank’ dan telah ditipu oleh agen Korea Utara dalam kejadian itu.

Sejak bermulanya perbicaraan kes itu, mahkamah telah memanggil seramai 36 orang saksi untuk tampil memberikan keterangan.

Jika didapati bersalah, kedua-dua tertuduh berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 24 Januari, Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membuat keputusan sama ada permohonan pihak pembela bagi tertuduh Siti Aisyah untuk mendapatkan akses kepada keterangan saksi milik pendakwaan dibenarkan.

Daripada lapan orang saksi yang diminta pihak peguam bela, kenyataan telah diberi oleh Dessy, Raissa dan juga Tomie Yoshio, warga Jepun yang merupakan rakan kepada Jong Nam.

Dalam sesi perbicaraan lepas, pihak penyiasat mengenal pasti Yoshio sebagai warga Malaysia yang membenarkan pemandu peribadinya digunakan Kim Jong Nam ketika di Malaysia selepas Kim meluahkan rasa takut akan dibunuh, enam bulan sebulan beliau dibunuh.

Perbicaraan tahun ini akan bernula dengan Siti Aisyah seterusnya diikuti oleh Doan sebelum mendengar hujah daripada kedua-dua pihak yang akan bermula pada akhir bulan Januari sehingga April.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.