Mahkamah Malaysia Tangguh Perbicaraan Pihak Pembelaan Kes Kim Jong Nam Ke Mac

Hadi Azmi
2019.01.28
Kuala Lumpur, Malaysia
190128-MY-kjn-620.jpg Polis mengawal wanita Indonesia, Siti Aisyah (belakang) dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong (kanan), selepas perbicaraan kes mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Malaysia, 5 April 2018.
[AP]

Fasa pembelaan dalam perbicaraan dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara, telah ditangguhkan ke Mac depan, kata seorang peguam pada Isnin.

Hakim Azmi Ariffin membuat keputusan itu di dalam kamarnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kata peguam bela Gooi Soon Seng kepada BeritaBenar.

Tertuduh, Doan Thi Huong, dari Vietnam akan mengemukakan penghujahan bela dirinya diikuti oleh Siti Aisyah dari Indonesia, tertuduh bersama dalam kes tersebut.

"Kami (peguam bagi Siti Aisyah dan Doan) baru sahaja bertemu hakim di dalam kamarnya dan ini adalah tarikh baru yang dipersetujui oleh semua pihak. Doan akan memberi keterangannya dahulu," kata Gooi, yang mewakili Siti.

Doan dijangka memberi keterangan membela diri mulai 11 Mac dan akan selesai pada 8 Mei. Mahkamah membenarkan perbicaraan membela diri itu diadakan selama 18 hari, kata Gooi.

Azmi turut memutuskan supaya para peguam Siti Aisyah mengemukakan penghujahan bela diri tertuduh dari 27 Mei hingga 31 Julai.

Pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu BeritaBenar bahawa Doan boleh memberi keterangan bela dirinya terlebih dahulu jika semua pihak bersetuju.

Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan mendedahkan mangsa kepada agen saraf bertoksik, VX, di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017. Kedua-dua wanita itu berdepan hukuman jika disabit kesalahan membunuh Kim Jong Nam.

Siti Aisyah sepatutnya memulakan keterangan membela dirinya pada Isnin tetapi perbicaraan itu ditangguhkan minggu lalu apabila panel mahkamah rayuan mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyerahkan kenyataan daripada tujuh saksi kepada para peguam wanita itu.

"Sudah tentulah,  jika kami dibenarkan melihat kenyataan itu, kami kita akan mendapat perbicaraan yang lebih adil," kata Gooi kepada pemberita mengenai keputusan mahkamah rayuan itu. "Sekiranya kami tidak mendapat perbicaraan yang adil, di mana lagi kami boleh mendapatkan keadilan? Sekiranya kami tidak berhak mendapatkan kebenaran, mengapa kebenaran itu mesti disembunyikan?

"Mengapa kebenaran itu mesti dilitupi oleh dasar keistimewaan?"

Pendakwa raya berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di mahkamah persekutuan, dengan menyatakan bahawa kebimbangan berhubung keselamatan negara adalah sebab mengapa mereka enggan menyerahkan kenyataan itu.

"Rayuan pihak pendakwaan akan mengambil sedikit masa untuk diproses di mahkamah persekutuan," kata Gooi.

Sejak perbicaraan itu dimulakan pada Oktober 2017, pihak pembelaan bertegas menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah diperdayakan oleh suspek ejen Korea Utara supaya mempercayai bahawa mereka dibayar untuk melakukan aksi gurauan bagi rakaman video di lapangan terbang itu. Empat lelaki Korea Utara, yang polis Malaysia kaitkan dengan pembunuhan itu, telah melarikan diri dari negara itu beberapa jam kemudian.

Pendakwa raya mengakhiri penghujahan mereka pada Jun 2018 dan Azmi memutuskan pada 16 Ogos lalu bahawa terdapat bukti yang mencukupi terhadap kedua-dua wanita itu untuk meneruskan perbicaraan dan mengemukakan keterangan membela diri mereka.

Penghujahan membela diri Siti Aisyah sepatutnya dimulakan pada  November lalu tetapi ditangguhkan ke bulan ini kerana Gooi baru sahaja pulih daripada pembedahannya. Rayuan yang dikemukakan pada minggu lepas menyebabkan mahkamah memutuskan supaya penghujahan membela dirinya dibuat pada Mei ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.