Follow us

Keterangan Saksi: Mahkamah Tolak Permohonan Peguambela

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-18
E-mel
Komen
Share
Warga Indonesia Siti Aisyah [tengah] dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong [belakang] dikawal oleh sepasukan Polis DiRaja Malaysia semasa berada di bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, 14 Disember 2018.
Warga Indonesia Siti Aisyah [tengah] dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong [belakang] dikawal oleh sepasukan Polis DiRaja Malaysia semasa berada di bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, 14 Disember 2018.
AFP

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa telah menolak permohonan peguambela wanita Indonesia, Siti Aisyah untuk mendapatkan salinan keterangan saksi daripada pihak polis dengan alasan bahawa ia adalah kepunyaan mutlak pihak pendakwa raya, satu tindakan yang dilihat boleh menyebabkan penangguhan perbicaraan apabila peguambela menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim Azmi Ariffin semasa prosiding berkata, "Adalah menjadi kepunyaan mutlak [absolute privilege] bagi pihak pendakwa raya dan oleh itu saya menolak permohonan untuk salinan keterangan saksi diberikan kepada peguambela."

"Ia selari dengan keputusan terdahulu yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes liwat Anwar Ibrahim," kata Azmi sambil menggunakan kes bekas timbalan perdana menteri itu sebagai contoh.

Peguambela Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, yang berdepan dengan tuduhan membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, memberitahu yang mahkamah telah menolak permohonan pihak peguambela yang mahu mendapatkan keterangan tujuh saksi utama seperti yang telah dirakam di bawah Seksyen 112 Kod Prosedur Jenayah pada 5 Nov lepas.

"Hakim memberi alasan bahawa keterangan itu adalah kepunyaan mutlak (absolute privilege) pihak pendakwaraya berdasarkan kes liwat Anwar Ibrahim yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan. Oleh itu pihak peguambela tidak diberikan asses terhadap keterangan itu," kata Gooi pada Selasa.

Dalam pada itu, Gooi menambah bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan hakim dan akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan sambil memaklumkan bahawa telah meminta sambungan tarikh perbicaraan pada 7 Januari depan, dipinda kepada tarikh yang baru sementara menunggu keputusan rayuan.

"Kami tidak berpuas hati dengan keputusan hakim dan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Sementara itu kami akan meminta untuk dipinda tarikh yang baru sementara menunggu keputusan rayuan kelak,” tambah beliau.

Gooi juga berkata bahawa jika pasukannya gagal untuk mendapatkan rayuan daripada Mahkamah Rayuan, perkara tersebut akan dibawa kepada Mahkamah Persekutuan.

"Jika gagal.. ya saya akan ke Mahkamah Persekutuan. Mahkamah tertinggi bagi mendapatkan hak anak guam kami," beliau berkata.

Katanya adalah tidak masuk akal untuk menidakkan hak peguambela untuk mendapatkan salinan keterangan itu kerana ia bakal membuatkan tertuduh daripada mendapat keadilan untuk dirinya.

"Kami memerlukan keterangan itu untuk kami bersedia dalam soal balas di mahkamah. Tiada timbul isu meminda keterangan saksi kerana saksi telah dirakam percakapan mereka," Gooi menegaskan.

Mahkamah pada Selasa juga tidak menepatkan tarikh untuk perbicaraan akan datang.

Pada 14 Dis lalu, pasukan peguambela kes bunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara telah membuat permohonan untuk mendapatkan akses terhadap salinan keterangan daripada pihak polis oleh tujuh saksi utama yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya

Pada hari yang sama itu juga, Gooi telah berhujah bahawa adalah wajib dari segi perundangan untuk berkongsi dokumen keterangan tersebut dengan pihak peguambela.

“Ini akan menjejaskan kes pembelaan. Kami mesti mengetahui apa sebenarnya yang dinyatakan oleh saksi-saksi tersebut dalam usaha untuk menyediakan pembelaan yang sewajarnya,” kata Gooi.

Dokumen yang dinyatakan itu adalah keterangan kepada polis dari tujuh saksi utama yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya termasuk rakan rapat mangsa, dua pemandu peribadi mangsa di Malaysia dan juga rakan sebilik Siti Aisyah dan individu yang didakwa memperkenalkan Siti Aisyah kepada warga Korea Utara untuk ‘prank show’.

Di bawah Seksyen 112 itu, pegawai polis boleh memeriksa mana-mana individu yang berkait dengan kes dan individu itu perlu menjawab semua soalan yang diberikan kepadanya oleh pegawai tersebut.

Menurut Gooi, alasan yang diberikan oleh Ketua Pendakwaraya Muhamad Iskandar Ahmad bahawa ianya melanggari perundangan Malaysia dan mendedahkan keterangan saksi yang diambil dibawah Seksyen 112 kepada pihak pembela kerana takut saksi akan diganggu.

“Dalam kes ini, saksi-saksi telah ditawarkan kepada pembelaan ketika pihak pendakwaraya menggulung kes mereka. Jadi, isu mengganggu saksi tidak timbul,” kata Gooi.

Tambah Gooi lagi, sehingga kini, dia dan pasukannya cuba bercakap dengan dua orang saksi tersebut manakala yang selebihnya tidak dapat dihubungi.

“Mereka tidak dapat dihubungi jadi biar kami lihat keterangan mereka, kenapa mereka sembunyikan keterangan tersebut?

“Keterangan mereka boleh digunakan di mahkamah, jadi tolong berikan kami salinan keterangan tersebut. Itu sahaja yang kami minta,” kata Gooi kepada media selepas prosiding mahkamah pada 14 Dis lepas.

Walaubagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Doan Thi Huong, warga Vietnam yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik tidak meminta salinan keterangan daripada pihak pendakwaraya dengan alasan tidak relevan.

Pada 1 Mac, 2017, Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 [KLIA2] pada 13 Februari 2017.

Jong Nam yang merupakan anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Feb dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau jam 9 pagi pada 13 Februari.

Ketika menunggu di KLIA2, Jong Nam dihampiri seorang wanita yang menyembur sejenis cecair kearahnya manakala seorang lagi menekapkan kain kemukanya. Polis Malaysia mengesahkan bahawa agen saraf VX telah digunakan dalam kejadian tersebut sehingga menyebabkan kematian Jong Nam.

Lihat Laman Penuh