KJN: Malaysia Tolak Permohonan Gugur Pertuduhan Terhadap Wanita Warga Vietnam
2019.03.14
Shah Alam, Malaysia

Seorang wanita warga Vietnam yang didakwa membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, gagal dalam percubaan untuk mendapatkan pembebasan segera pada Khamis apabila Peguam Negara Malaysia menolak permohonannya, kata peguambela.
Doan Thi Huong, 30, memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan pada Isnin selepas pertuduhan terhadap seorang warga Indonesia Siti Aisyah, yang dituduh bersamanya, digugurkan secara tiba-tiba dan wanita itu telah pulang ke negara asalnya pada hari yang sama pihak berkuasa Malaysia membebaskannya.
"Kami amat kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang enggan menarik balik pertuduhan dalam kes terhadap Doan," kata peguam Hisyam Teh Poh Teik kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Di Vietnam, bapa Doan, Doan Van Thanh, berkata keputusan itu menyebabkan seluruh keluarganya berasa sedih, kerana pembebasan Siti Aisyah telah memberikan harapan kepada mereka.
“Seluruh keluarga besar kami menjangkakan Huong dibebaskan dan akan dihantar pulang, tetapi itu bukan keputusannya, jadi kami amat sedih,” katanya kepadda Perkhidmatan Vietnam Radio Free Asia (RFA), perkhidmatan berita yang sebumbung dengan BeritaBenar, dari wilayah utara Nam Dinh.
“Kami mengharapkan bantuan kerajaan bagi membolehkan Huong kembali ke tanah air tidak lama lagi. Selepas suspek warga Indonesia dibebaskan, Polis Nam Dinh telah datang menemui kami dan berkata kami perlu tidak perlu bimbang dengan kes terhadapnya.”
Tiada alasan diberikan berhubung keputusan Peguam Negara Tommy Thomas yang menolak permohonan Doan untuk pembebasan segera dan dilepaskan daripada menjadi suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam menggunakan agen saraf bertoksik pada Februari 2017 di Lapangan Terbang Kuala Lumpur itu.
Sehingga lewat Khamis (waktu tempatan), Pejabat Peguam Negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan dalam kes Doan, dan para pegawainya juga tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan BeritaBenar untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh pasukan peguambela itu.
Menyifatkan keputusan untuk tidak menarik balik pertuduhan itu sebagai sesuatu yang "songsang atau bertentangan," Hisham menuduh peguam negara mengamalkan sikap memilih bulu.
"AG [Peguam Negara] tidak bertindak secara adil. Hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabul," kata Hisham sambil menambah bahawa kedua-dua tertuduh “telah didakwa melakukan kesalahan yang sama."
Kelihatan pucat serta keletihan, Doan gagal mengawal perasaannya dan menangis selepas mendengar keputusan itu.
Doan dan Siti Aisyah telah didakwa membunuh Kim Jong Nam dengan melumur muka lelaki itu dengan agen saraf bertoksik VX, senjata kimia yang boleh membawa maut dan terlarang, ketika mangsa mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan AirAsia ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.
Hisham memohon mahkamah menangguhkan prosiding kerana Doan tidak mampu memberikan keterangan kerana berada dalam keadaan tertekan dan kurang sihat.
"Tertuduh tidak sihat. Doan tidak dapat tidur dengan nyenyak sejak 11 Mac. Dia hanya tidur selama sejam setiap malam," tambah Hisham.
Hakim Azmin Ariffin membenarkan permohonan Hishan dan menangguhkan kes itu sehingga 1 April.
"Saya membenarkan permohonan ini atas dasar kemanusiaan," kata hakim tersebut.
Reaksi Vietnam
Selepas sesi mahkamah, Hisham memaklumkan pemberita bahawa penangguhan itu juga bertujuan memberikan masa kepada kerajaan Vietnam untuk bercakap dengan pentadbiran Putrajaya.
Dua hari sebelum itu, Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia untuk meminta agar Doan turut dibebaskan, menurut media negara tersebut.
Selepas prosiding pada Khamis, Le Quy Quynh, Duta Besar Vietnam ke Malaysia, memaklumkan pemberita di mahkamah bahawa beliau "kecewa" dengan keputusan itu.
Di Hanoi, Kementerian Hal Ehwal Luar Vietnam turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Malaysia.
Timbalan Menteri Luar Nguyen Quoc Dung "meluahkan kekecewaan terhadap keputusan pihak pendakwaan Malaysia yang menolak permohonan #Vietnam untuk membebaskan #DoanThiHuong" semasa pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Zamruni Khalid, di Hanoi pada Khamis, kata kementerian itu melalui Twitter.
Peguam kedua-dua wanita berhujah bahawa mereka telah dijadikan kambing hitam dalam kes pembunuhan itu dan mendakwa ejen-ejen Korea Utara telah memperdaya tertuduh sehingga mempercayai bahawa mereka akan mengambil bahagian dalam aksi gurauan bagi sebuah rancangan realiti.
Empat warga Korea Utara yang melarikan diri dari Malaysia sejurus selepas pembunuhan itu telah dikenal pasti oleh polis sebagai suspek. Satu ‘notis merah’ Interpol telah dikeluarkan terhadap keempat-empat lelaki tersebut.
Pada lewat Mac 2017, mayat Jong Nam yang tinggal di Macau, akhirnya dihantar pulang ke Korea Utara meskipun berlaku ketegangan diplomatik selama beberapa minggu antara Kuala Lumpur dan Pyongyang susulan pembunuhannya.
Jasadnya dihantar pulang sebagai pertukaran bagi sembilan pegawai kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang terkandas di ibu negara Korea Utara selama enam minggu susulan pertikaian itu.
Dua lagi warga Korea Utara, yang dikenalpasti oleh polis Malaysia mempunyai kaitan dengan siasatan, turut berada dalam penerbangan komersial yang sama yang membawa mayat Jong Nam keluar dari Malaysia.
"Dalam kes Doan, dia tidak bersalah dan telah dijadikan kambing hitam, sama seperti Siti Aisyah. Kami mengemukakan pembelaan yang sama iaitu mereka tidak mempunyai pengetahuan, tidak ada niat untuk membunuh dan telah dijadikan kambing hitam. Sekiranya Siti Aisyah boleh dilepaskan, mengapa tidak Doan?" katanya.
Ditanya mengenai kesan agen saraf VX yang ditemui di bawah kuku wanita itu, Hisham berkata Doan tidak mengetahui bahawa bahan cecair di telapak tangannya adalah bahan kimia yang terlarang di peringkat antarabangsa.
Anggota Parlimen gabungan parti pemerintah persoal keputusan
Sementara itu, anggota Parlimen Ramkarpal Singh dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang juga parti gabungan pemerintah Malaysia, mempersoal tindakan Peguam Negara dalam kes Doan.
"Tidak dinafikan Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Siti Aisyah seperti yang dilakukannya tetapi mengapa beliau tidak melakukan perkara yang sama dalam kes Doan?" kata Ramkarpal dalam satu kenyataan pada Khamis.
“Memandangkan Peguam Negara tidak perlu memberi alasan untuk keputusannya, Doan tidak akan tahu mengapa dia diberikan layanan yang berbeza berbanding Siti Aisyah. Sekiranya dia disabitkan, dia akan sentiasa tertanya-tanya jika Siti Aisyah sama-sama bersalah," kata Ramkarpal.
Beliau berkata budi bicara Peguam Negara boleh dipersoal, terutama jika nyawa seseorang menjadi pertaruhan.
Doan akan berdepan hukuman mati jika dia disabitkan kesalahan membunuh Kim Jong Nam.
"Saya berpendapat pertuduhan terhadap Doan sepatutnya digugurkan sama seperti yang dilakukan terhadap Siti Aisyah jika Peguam Negara berpendapat bahawa Korea Utara mempunyai kaitan dalam pembunuhan Jong Nam," kata Ramkarpal.
“Membiarkan Doan terus berdepan pendakwaan lanjut tanpa seorang lagi yang telah didakwa bersamanya, terutama apabila satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap mereka berdua, dengan hormatnya, adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dan amat dikesali,” tambah Ramkarpal.