Malaysia Mempertahankan Tindakan Sekat Laman Web
2016.03.03
Kuala Lumpur
Malaysia mempertahankan keputusannya menyekat laman web beberapa portal berita dan berkata keputusan itu dibuat dengan teliti bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara.
Kementerian Luar Negara Malaysia dalam satu kenyataan pada lewat Khamis berkata, keputusan menyekat laman web itu diambil selepas kerajaan mempertimbangkan kesan terhadap sekatan berkenaan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara itu.
"Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat, namun hak dan kebebasan itu hendaklah diamalkan secara berhemah dan bertanggungjawab," tambah kenyataan itu yang dikeluarkan melalui agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pada Rabu, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan yang menyebut, Amerika Syarikat (AS) bimbang dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang menyekat akses kepada laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal semasa Malaysia.
“AS gusar dengan kerajaan Malaysia yang tidak bertindak secara telus dan tidak memberikan proses sewajarnya kepada organisasi dan platform media yang menjadi sasaran sebelum menyekat aksesnya, serta tindakan kerajaan yang memulakan siasatan jenayah terhadap wartawan, pengarang dan penerbit dari organisasi media tempatan dan antarabangsa,” kata John Kirby, jurucakap Jabatan Negara itu, di Washington.
Pada 25 Febuari lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat portal berita The Malaysian Insider (TMI) yang merupakan tindakan terbaru dalam beberapa siri tindakan sama terhadap organisasi media, sebelum ini.
Minggu lepas, polis Malaysia menyoal siasat Ketua Eksekutif TMI dan empat pekerjanya, sehari selepas syarikat telekomunikasi menutup laman web itu atas arahan suruhanjaya berkenaan.
Laman itu disekat dalam negara selepas ia menyiarkan laporan yang mengatakan bahawa terdapat cukup bukti untuk mendakwa Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana negara yang sarat dengan hutang.
Penerbitan laporan itu yang dikatakan telah menjuruskan media tersebut ke arah kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, dibuat berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada orang ramai.
TMI adalah laman berita kedua yang disekat tahun ini selepas Asia Sentinel, yang berpejabat di Hong Kong, yang juga mengalami nasib yang sama pada 29 Jan lalu.
Sarawak Report, laman web berita Malaysia yang berpejabat di United Kingdom, telah disekat di Malaysia sejak 20 Julai 2015. Selain itu, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia mendakwa bahawa laman web hos blog Medium telah disekat sejak Januari, selepas menerbitkan satu artikel keluaran laman Sarawak Report.
Isu domestik
Kenyataan Kementerian Luar itu turut menyebut, “Malaysia menghargai jalinan kerjasama menerusi Perkongsian Komprehensif dengan Amerika Syarikat yang melambangkan hasrat ikhlas Malaysia mengekalkan kerjasama progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang berkepentingan antara kedua-dua negara,"
Menurut kenyataan Wisma Putra itu. Malaysia percaya Amerika Syarikat turut berkongsi hasrat tersebut dan ia yakin hubungan dua hala berkenaan dapat terus diperkukuhkan melalui kerjasama yang akrab dan pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu domestik di Malaysia.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata, “Tidak ada kebebasan secara mutlak, dan keistimewaan itu jika disalahgunakan, kadangkala boleh ditarik balik.”
"Walaupun had kebebasan ditolak di negara Barat pada tahap di mana kita di Timur masih boleh menerima dan pertimbangkan, mereka masih mempunyai undang-undang yang mengawal selia perkara mengenai fitnah, menjatuhkan maruah, perkauman, seksisme dan sebagainya,” katanya lagi.
Beliau turut mengeluh bahawa kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat diambil mudah dalam era dunia tanpa sempadan kerana internet.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq yang mengalu-alukan kenyataan Jabatan Negara AS memberitahu BeritaBenar bahawa sama seperti jabatan negara itu, rakyat Malaysia juga mahukan kerajaan menghormati kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat di negara itu.
“Ia sangat memalukan bagi negara lain untuk bersyarah kepada Malaysia mengenai hak rakyat. Jadi saya berharap kerajaan memenuhi tanggungjawab yang termaktub di dalam perlembagaan,” tambah beliau.
Tegas beliau, TMI terus disekat sehingga ke hari ini, dan tidak pasti bila sekatan itu akan ditarik balik.