Follow us

Tehran Uji Pengempar Uranium Baru, Rouhani Beritahu Rakyat Iran di Malaysia

Aminah Farid & Lex Radz
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-12-19
E-mel
Komen
Share
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (dua dari kiri) dan Presiden Iran Hassan Rouhani (tengah, kanan) bertemu di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Malaysia, 19 Disember 2019.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (dua dari kiri) dan Presiden Iran Hassan Rouhani (tengah, kanan) bertemu di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Malaysia, 19 Disember 2019.
[AP]

Iran sedang menguji pengempar baru dan canggih bagi pemerkayaan uranium, Presiden Hassan Rouhani dipetik sebagai berkata dalam laporan Agensi Berita Iran (IRNA) sebelum beliau menggunakan platform Sidang Kemuncak Islam di Kuala Lumpur pada Khamis untuk menghentam Washington kerana mengenakan sekatan terhadap negaranya.

Rouhani membuat kenyataan itu pada Rabu selepas Iran mengumumkan pada bulan lalu bahawa ia telah menggandakan jumlah pengempar canggih yang dikendalikannya, yang berkaitan dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat (A.S) Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia pada 2015.

"Kita telah menghasilkan pencapaian yang hebat dan hari ini, pengempar baru Iran IR-6 IR-6 sedang digunakan dan model IR-9 pula sedang diuji," IRNA memetik Rouhani sebagai memberitahu ekspatriat Iran di ibu negara Malaysia itu, di mana beliau tiba pada Rabu untuk menghadiri sidang kemuncak tiga hari yang bertujuan membincangkan isu-isu yang menjejaskan umat Islam di seluruh dunia.

Pengempar IR-6 dan IR-9 boleh menghasilkan uranium diperkayakan dengan kepantasan berganda berbanding generasi pertama IR-1, kata pakar.

Sementara itu di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo pada Khamis menyifatkan para pemimpin Iran sebagai "kleptokrat" ketika beliau menuduh mereka melakukan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia di negara mereka.

"Saya mempunyai mesej untuk para pemimpin rejim itu," kata Pompeo pada perhimpunan imigran Iran di ibu negara Amerika Syarikat, "jika anda mahu mendapatkan rasa hormat daripada rakyat anda dan dunia ... jika anda mehu mendapatkan kestabilan dan kemakmuran bagi negara yang pernah hebat ... Anda mesti menghormati komitmen yang telah anda lakukan. Anda mesti menghormati hak asasi manusia."

Pompeo tidak menyebut tentang program nuklear Iran, tetapi berkata protes jalanan di Iran yang bermula dan terus bertambah pada November, memberi isyarat "bahawa rakyat Iran tidak lagi mahukannya."

Awal bulan ini, Tehran mengakui buat pertama kalinya bahawa pasukan keselamatan negara itu telah menembak mati penunjuk perasaan yang mengadakan protes di seluruh negara berikutan kenaikan mendadak harga petrol.

Amnesty International percaya rusuhan yang bermula pada November dan tindakan keras pihak berkuasa menyebabkan sekurang-kurangnya 208 orang terbunuh di seluruh negara.

"Pencabulan hak asasi manusia Iran adalah lebih buruk daripada apa yang tidak boleh diterima," kata Pompeo. "Mereka jahat, dan mereka berbuat salah."

Langkah Iran untuk menggunakan pengempar pemerkayaan uranium yang canggih itu berpotensi melanggar perjanjian mercu tanda yang dimeterai Tehran empat tahun lalu, kata penganalisis. Tetapi, dengan menggunakan pengempar canggih tersebut, negara berkenaan dapat mengurangkan setahun daripada tempoh yang dianggarkan pakar nuklear bagi Iran menghasilkan bahan mencukupi untuk menghasilkan senjata nuklear, sekiranya ia memutuskan berbuat demikian.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian nuklear setebal 159 halaman yang dinamakan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama, yang ditandatangani Iran dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) - China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat - serta Jerman pada Julai 2015, Tehran hanya boleh menggunakan 5,060 pengempar IR-1 untuk pemerkayaan uranium.

Tetapi pada 4 Nov, Iran mengumumkan bahawa ia mempunyai  prototaip pengempar yang mampu beroperasi 50 kali lebih pantas daripada yang dibenarkan oleh perjanjian itu.

191219-MY-KLS-Rouhani1000.jpg

Presiden Iran Hassan Rouhani berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, 19 Disember, 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pada November, Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran Ali Akbar Salehi memberitahu wartawan di Tehran bahawa negara itu kini mempunyai lebih daripada 500 kilogram (1,102 paun) uranium diperkaya rendah dan mula menghasilkan 5 kilogram (11 kilogram) uranium setiap hari, berbanding kapasiti sebelumnya iaitu kira-kira 1 paun setiap hari.

Iran berulang kali menafikan  ia merancang untuk "menghasilkan senjata" daripada program nuklearnya, sebaliknya menyatakan bahawa ia menggunakan teknologi itu bagi tujuan damai. Perjanjian itu meletakkan syarat bahawa Tehran hanya boleh mempunyai 300 kilogram (661 paun) uranium.

Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear itu pada 8 Mei 2018 semasa beliau mengumumkan mahu mengenakan semula sekatan ke atas sektor minyak Iran, yang dikeluarkan daripada perjanjian itu.

"Kita tidak boleh menghalang penghasilan bom Iran di bawah struktur perjanjian semasa yang kian mereput dan membusuk," kata Trump semasa memberi penjelasan berhubung tindakannya. "Oleh itu, saya mengumumkan hari ini bahawa Amerika Syarikat akan menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran."

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Khamis, Rouhani menuduh Washington melakukan "keganasan ekonomi" dan mengenakan paksaan dengan membuat "tuntutan haram" ke atas negara-negara lain, ketika beliau menyeru dunia Islam supaya bergabung tenaga untuk menamatkan usaha Amerika Syarikat melakukan 'penguasaan angkuh' dalam ekonomi dunia.

"Dunia Islam perlu merancang langkah-langkah bagi menyelamatkan diri daripada dikuasai oleh dolar Amerika Syarikat dan rejim kewangan Amerika," katanya kepada perwakilan yang menghadiri sidang kemuncak itu, yang turut dihadiri oleh pemimpin Turki, Tayyip Erdogan dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamid Al -Thani.

Rouhani turut menggesa negara-negara Islam supaya menjalinkan  perjanjian perdagangan dengan menggunakan mata wang masing-masing, selain mencadangkan sistem perbankan Islam dan mewujudkan mata wang kripto Islam.

Lihat Laman Penuh