Follow us

PM Malaysia Gesa Negara Islam Membangun ‘Sepantas Mungkin’

Lex Radz & Aminah Farid
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-12-19
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptamanya di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, 19 Disember, 2019
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptamanya di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, 19 Disember, 2019
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Dunia Islam berada di dalam "krisis" apabila berperang sesama sendiri [fratricidal], kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis, sambil menggesa sidang kemuncak yang dihadiri para pemimpin Islam untuk "membangun dan maju sepantas mungkin" sekali gus menamatkan kebergantungan terhadap negara bukan Islam yang kuat.

Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menjauhkan diri daripada pertemuan di Kuala Lumpur itu, yang dihadiri oleh ratusan perwakilan 52 negara majoriti Islam.

Kedua-duanya telah mengeluarkan kenyataan pada Rabu yang mengkritik acara empat hari di Kuala Lumpur itu, dengan mengatakan bahawa ia berupaya menjadi pesaing terhadap peranan badan antara kerajaan yang berpusat di Jeddah sebagai suara kolektif umat Islam.

Bagaimanapun, Mahathir berkata perhimpunan tersebut bertujuan untuk mengetahui apa yang menyebabkan "kesakitan dan penderitaan" dalam kalangan hampir 2 bilion orang Islam di seluruh dunia.

"Ya, Islam, umat Islam dan negara mereka berada dalam krisis, tidak berdaya dan tidak sesuai dengan agama agung ini," kata Mahathir dalam ucaptama ketika menjelaskan mengapa beliau membantu menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

"Sekurang-kurangnya melalui perbincangan, kita mungkin boleh mencari di mana silapnya," kata Perdana Menteri itu sambil menambah "Kami mungkin dapat mencari jalan penyelesaian, jika tidak dapat mengakhiri malapetaka ini, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan dunia Islam."

Arab Saudi telah menyifatkan sidang kemuncak itu, yang berakhir pada Sabtu, sebagai forum yang salah bagi membincangkan isu-isu penting yang mempengaruhi dunia Islam, dengan Setiausaha Agung OIC Yousef al-Othaimeen memberi amaran bahawa perhimpunan itu boleh memecah-belahkan umat Islam. Pemimpin Iran, Turki dan Qatar - yang dianggap pesaing kepada kerajaan Arab Saudi - adalah antara yang berucap semasa pertemuan di Kuala Lumpur pada Khamis itu.

Dalam ucapannya, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersetuju dengan Mahathir bahawa sidang kemuncak itu sangat perlu dalam menyediakan tempat kepada pemimpin Islam untuk berbincang secara bebas mengenai isu-isu seperti Islamofobia, keganasan dan konflik sektarian yang melanda dunia Islam.

Beliau mengkritik "platform" sebelum ini yang menghimpunkan dunia Islam atas "kekurangannya dari segi pelaksanaan."

"Ia adalah satu kemestian untuk mengemas kini platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam yang menghimpunkan negara-negara Islam, dengan cara sedemikian untuk meningkatkan keberkesanannya," kata Erdogan mengenai OIC yang dianggotai 57 negara dan merupakan badan terbesar antara kerajaan dalam dunia Islam.

Pemimpin Turki itu juga mengkritik Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkannya sebagai "mencapai akhir hayatnya" dan berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan "struktur baharu" bagi melindungi kepentingan negara-negara Islam.

"Sistem itu ... telah menyerahkan nasib sejumlah 1.7 bilion umat Islam kepada keseronokan lima anggota tetap Majlis Keselamatan," kata Erdogan merujuk kepada China, Rusia, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.

"Dunia ini lebih besar daripada kelima-lima negara," katanya.

Pada Selasa, Mahathir telah memberi jaminan kepada Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz Al Saud semasa satu sidang video bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur tidak berhasrat mewujudkan blok baharu Islam yang akan menyaingi OIC.

Keesokannya, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, yang menjadi penggerak utama bersama-sama Mahathir dan Erdogan di sebalik penganjuran sidang kemuncak itu, memutuskan untuk menjauhkan diri daripada pertemuan di Kuala Lumpur pada saat-saat akhir. Menurut laporan berita dari Pakistan, Imran membatalkan rancangannya untuk menghadiri mesyuarat itu bagi menenangkan Riyadh.

Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, yang dijadual mewakili Presiden Joko Widodo, pemimpin negara paling ramai umat Islam di dunia, berkata beliau juga tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu atas alasan kesihatan.

‘Kita tidak boleh menafikan fakta’

Pada Khamis, Mahathir menegaskan dalam ucapannya bahawa banyak negara Islam  "bergantung kepada belas ikhsan negara-negara bukan Islam."

"Pada fikiran saya, kita tidak mempunyai pilihan selain membangun dan maju sepantas mungkin," kata Perdana Menteri berusia 94 tahun itu.

“Kita tidak boleh menafikan fakta bahawa ada perang saudara di beberapa negara Islam dan banyak yang patuh kepada negara-negara bukan Islam yang kuat," katanya sambil menegaskan bahawa negara-negara Islam "tidak mampu melengkapi diri mereka sendiri untuk menangkis serangan pihak lain."

Pada Selasa, Mahathir dan Erdogan menyaksikan majlis menandatangani 15 perjanjian, termasuk perjanjian usaha sama dengan syarikat senjata api TISAS Turki bagi menghasilkan pistol untuk pasukan keselamatan Malaysia.

Turki dan Malaysia turut menandatangani perjanjian mengenai penyelidikan serta pembangunan dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.

Apabila tiba gilirannya untuk berucap pada sidang kemuncak itu, Presiden Iran Hassan Rouhani mencadangkan pewujudan matawang kripto dan sistem perbankan Islam dalam kalangan negara-negara Islam yang sekali gus membolehkan mereka menamatkan pergantungan terhadap dolar Amerika.

"Dunia Islam harus merancang langkah untuk menyelamatkan diri daripada penguasaan dolar dan rejim kewangan Amerika," kata presiden itu tanpa menjelaskan bagaimana kerangka ekonomi tersebut bakal berfungsi.

Rouhani, yang negaranya berdepan sekatan Amerika Syarikat sejak 2018, turut meminta agar  diadakan penyelidikan bersama mengenai kecerdasan buatan dan ruang siber.

Persidangan sehari yang dipenuhi pelbagai acara itu bagaimanapun tidak menyentuh isu penderitaan pelarian Rohingya dari Myanmar yang tidak mempunyai kerakyatan atau penganiayaan terhadap masyarakat Uyghur di wilayah Xinjiang, China, tetapi penganjur sidang kemuncak menyatakan sebelum ini bahawa isu sedemikian boleh dibangkitkan dan ditangani semasa acara tersebut.

Lihat Laman Penuh