Malaysia lancar kod etika kewartawanan diolah semula lawan berita palsu

Kumpulan pemerhati media berkata garis panduan tersebut sepatutnya diurus oleh wartawan bagi mengelak campurtangan politik dan kebebasan industri.
Minderjeet Kaur
2024.02.20
Kuala Lumpur
Malaysia lancar kod etika kewartawanan diolah semula lawan berita palsu Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil (dua dari kiri) melancarkan Kod Etika Kewartawanan di Putrajaya, 20 Februari 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Selasa melancarkan kod etika kewartawanan yang diolah semula dengan tujuan melawan berita palsu dan menggalakkan integriti di kalangan pengamal media negara itu, namun kumpulan pemerhati media berkata garis panduan sedemikian sepatutnya diuruskan kumpulan wartawan bagi memelihara kebebasan industri dan mengelakkan campurtangan politik.

Garis panduan oleh Kementerian Komunikasi Malaysia yang dirombak buat pertama kali sejak ia diperkenalkan 35 tahun lalu itu, menggariskan lapan etika asas termasuk mengenai ketelusan, keadilan dan ketepatan dalam laporan berita.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata garis panduan baharu itu merupakan hasil daripada perbincangan yang diadakan kerajaan bersama pelbagai pemegang taruh industri media, termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), beberapa buah universiti serta ahli akademik bagi memastikan kebebasan media terus terjamin dalam mendepani cabaran baharu pelaporan berita dalam era digital.

"Walaupun asas kepada kod etika ini berasal dari tahun 1989, kementerian telah memperhalusi semula bagi menyesuaikannya dengan landskap media baharu, terutama dengan perkembangan media sosial.

“Tujuan kod etika ini adalah untuk memastikan maklumat yang disebarkan kepada umum adalah mematuhi prinsip-prinsip kewartawanan," kata beliau kepada media selepas melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya pada Selasa.

Menteri itu juga memberi amaran bahawa tiada istilah kebebasan mutlak untuk mana-mana individu atau organisasi mengeluarkan berita palsu, termasuk di media sosial.

"Wartawan, pengarang dan petugas media profesional mesti memastikan semua maklumat melalui proses analisis yang menyeluruh, semakan, dan pengesahan bagi menentukan kesahihannya," kata Fahmi lagi.

Kod etika baharu itu mengandungi menggariskan lapan etika utama bagi wartawan antaranya bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk dan ejen pemudah cara dialog, bersikap telus dan berintegriti semasa menjalankan tugas.

Berlaku adil secara konsisten dalam menyampaikan maklumat, tidak membiarkan laporan dipengaruhi kepentingan peribadi, memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat, selain menghormati privasi dan kerahsiaan sumber. Memahami undang-undang yang berkaitan dengan tugasan dan juga memberikan keutamaan kepada meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Menurut Fahmi, Jabatan Penerangan di bawah seliaan kementeriannya mempunyai kuasa untuk menarik balik kad media mana-mana wartawan yang gagal mematuhi kod etika berkenaan.
"Kami adalah badan yang mengeluarkannya (kad media), dan ada hak (untuk menariknya semula). Jabatan Penerangan akan meneliti sama ada aduan yang diterima atau isu etika yang ditimbulkan adalah berasas untuk menarik balik kad media."

Beliau berkata, Majlis Media Malaysia juga akan ditubuhkan bagi meningkatkan lagi mutu kewartawanan di dalam negara.

"Niatnya Majlis Media akan menjadi badan yang meneliti aspek jika perlu mengambil tindakan (terhadap) seseorang wartawan ataupun organisasi."

KOD_ETIKA_KEWARTAWANAN_03.jpg

Seorang kakitangan kerajaan sedang meneliti buku Kod Etika Kewartawanan semasa Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika itu di Putrajaya, 20 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Perkasakan kerajaan, bukan media

Sementara itu, badan pemerhati Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyuarakan kegusaran mereka mengenai peranan kerajaan dalam menetapkan kod etika kewartawanan serta kuasa memberi dan menarik kad media bagi wartawan menjalankan tugasan.

Dalam satu kenyataan, badan bebas itu menegaskan bahawa campur tangan kerajaan dalam kerja wartawan akan menjejaskan peranan penting media untuk negara.

"Kod etika kewartawanan, terutamanya apabila ia menentukan siapa yang menerima kelayakan media dan dengan itu akses, tidak seharusnya ditentukan oleh kerajaan. Pada pandangan kami, ini mewakili satu bentuk kawalan negara," kata GERAMM.

Tambah mereka, media mesti diberikan kebebasan supaya ia boleh beroperasi tanpa sebarang gangguan politik dan mampu berfungsi sebagai pengawas, sekaligus menggalakkan ketelusan dan menegakkan demokrasi yang sihat.

"Kod tersebut harus dibangunkan dan diawasi oleh pengamal media itu sendiri bagi memastikan kebebasan media terjamin, dan industri media boleh beroperasi tanpa campur tangan politik yang tidak diingini. Ia juga bagi memastikan kewartawanan kekal bebas, bertanggungjawab, dan berkhidmat sepenuhnya kepada orang ramai tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.

"Kita boleh melihatnya di negara yang mempunyai undang-undang yang mengiktiraf kebebasan media yang kuat, yang sering dikaitkan dengan skor tinggi dalam Indeks Kebebasan Media yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders."

GERAMM juga mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam menubuhkan sebuah Majlis Media Malaysia yang bebas selepas sekian lama. "Kerana kami sebagai sebahagian daripada Majlis Media Protem Malaysia masih menunggu ia dirasmikan," kata GERAMM.

KOD_ETIKA_KEWARTAWANAN_05.jpg

Media yang terdiri daripada jurugambar, jurukamera dan wartawan mengerumuni bekas Perdana Menteri Najib Razak sewaktu sidang media ketika membuat liputan keputusan melibatkan kes SRC di Mahkamah Kuala Lumpur, 28 Julai 2020. [S. Mahfuz/BenarNews]

Media tetapkan kod

Wathshlah Naidu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kebebasan media, turut berkongsi pandangan serupa.

Beliau memberitahu BenarNews bahawa standard etika kewartawanan seharusnya ditetapkan oleh industri media sendiri serta pemegang taruh yang berkaitan, dan bukannya ditentukan kerajaan.

"Kod etika dilancar kerajaan merupakan sebuah proses yang dimulakan dan dibuat oleh kerajaan dan memberikan kuasa kepada kerajaan sendiri. Kod etika seharusnya datang daripada media sendiri melalui Majlis Media Malaysia, dan dengan cara ini barulah ia dipunyai oleh media dan pemegang taruh," kata Naidu kepada BenarNews.

Tambah beliau, ia adalah lebih bersesuaian untuk kod etika kewartawanan dipantau oleh majlis media yang bebas dan mempunyai kawalselia sendiri. "Satu persoalan adalah siapa yang akan menjadi pengadil sekiranya kerajaan memegang kuasa untuk mengawal media."

Naidu turut mempersoalkan mengenai kod etika baharu itu yang tiada menyebut mengenai keperluan wartawan untuk mematuhi tanggungjawab dan etika tinggi seperti yang diamalkan media antarabangsa atau untuk mengutamakan kepentingan awam.

Selain itu, beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai kesan kod etika baharu itu terhadap peranan wartawan dalam negara, terutama sekali apabila mereka dipaksa mematuhi undang-undang dan mengamalkan tapisan kendiri.

"Ia tidak menyebut mengenai pemerkasaan wartawan. Mereka perlu mengikut undang-undang dan menapis kerja mereka. Kita tahu bagaimana undang-undang di Malaysia menekan kebebasan bersuara, dan (kod ini) memberikan mesej bahawa (para wartawan) mesti bekerja mengikut kod ini yang menyekat kebebasan media," kata beliau.

Sementara itu, NUJ mengalu-alukan usaha kementerian tersebut dalam mengemaskini kod etika wartawan bagi mengikut perkembangan semasa, tetapi menegaskan mengenai kepentingan untuk menubuhkan majlis media bagi memberikan kebebasan kepada industri media.

"Kesatuan ini memberikan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk memperbaiki etika kewartawanan merentas pelbagai platform dan kami berharap kementerian juga akan mempercepatkan penubuhan majlis media, di mana kod etika untuk wartawan ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut," kata NUJ.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.