Follow us

Keluarga Yakin Pihak Berkuasa Malaysia Bantu Jejaki Paderi Koh

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-02-26
E-mel
Komen
Share
Susanna Liew (kiri) bersama suaminya paderi Raymond Koh Keng Joo dan anak mereka Esther ketika bercuti di New Zealand pada tahun 1990.
Susanna Liew (kiri) bersama suaminya paderi Raymond Koh Keng Joo dan anak mereka Esther ketika bercuti di New Zealand pada tahun 1990.
[Ihsan Susanna Liew]

Keluarga paderi Raymond Koh Keng Joo yang hilang dalam satu kes penculikan berprofil tinggi tahun lalu berharap masih ada anggota pihak berkuasa yang baik hati dan mulia yang akan tampil membantu menjejaki ketua keluarga mereka itu, walaupun Polis enggan mengulas mengenai kes berkenaan.

Isteri Koh, Susanna Liew dalam satu temuramah khas bersama BeritaBenar berkata keyakinan itu lahir daripada pegangan semua agama yang mengajar bahawa dalam setiap jiwa manusia itu ada kebaikan.

"Kebaikan itu adalah sifat azali manusia yang dicipta oleh Tuhan,” kata Susanna semasa ditemui dirumahnya Khamis lepas.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih terhadap individu dari pelbagai latarbelakang agama yang tampil membantu dan menyokong keluarganya yang  kehilangan Koh.

“Walaupun kita berbeza agama tetapi perjuangan untuk menuntut keadilan merentasi pelbagai dogma. Ketika siasatan awam Suhakam berlangsung, dua orang wanita dari suruhanjaya itu, walaupun mereka beragama Islam memahami situasi saya sebagai seorang isteri yang melalui penderitaan ini,” katanya sambil menangis.

Beliau juga menyatakan harapan keluarganya bahawa suaminya akan dibebaskan daripada penculikan tersebut di masa terdekat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi pada Isnin enggan mengulas lanjut perkembangan terbaru kes tersebut termasuk mengenai tujuh suspek yang masih bebas.

“Perkara ni dah dirujuk ke mahkamah. Jadi ia subjudis. Saya tidak akan komen apa-apa lagi mengenai kes ini,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Usaha Berita Benar untuk mendapatkan maklumbalas dari pihak polis Malaysia mengenai hala tuju siasatan tersebut dan perkembangan terkini mengenai tujuh individu yang masih bebas juga gagal.

Pada Feb 13 lepas, Susanna dalam satu kenyataan kepada media sempena genap setahun kejadian penculikan itu, meluahkan rasa kecewa keluarganya terhadap tindakan polis yang meminta pembatalan prosiding siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) secara mengejut atas sebab penangkapan seorang suspek yang dikatakan berkait secara langsung dengan kes tersebut.

Ketua Polis Negara dalam kenyataan media pada 16 Januari lepas berkata, lelaki yang ditahan telah didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Januari kerana mempunyai niat untuk menculik serta melarikan secara paksa paderi berkenaan.

“Seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina bernama Lam Chang Nam, telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 15 Januari kerana disyaki terlibat dengan tujuh lagi individu lain yang masih bebas menculik Paderi Koh awal tahun lalu,” kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan itu.

Lelaki tersebut, 31, pemandu sambilan Uber didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Petaling Jaya kira-kira jam 10.25 pagi pada 13 Februari tahun lalu dan beliau boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Susanna menambah, walaupun Lam dituduh terbabit secara langsung dalam penculikan Koh, beliau dan ahli keluarga cuma mengetahui tentang perkembangan tersebut melalui pembatalan siasatan awam Suhakam yang diumumkan oleh pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai pada 16 Januari, sehari selepas Lam didakwa.

“Selama setahun ini pun kami tidak mendapat sebarang maklumbalas daripada pihak polis tentang perkembangan kes,” katanya lagi.

Pendakwaan terhadap Lam, sekaligus mengakibatkan Suhakam terpaksa menamatkan  siasatan awam terhadap kehilangan Koh yang telah masuk hari ke 12 atas perintah undang-undang yang menggariskan kewajipan untuk suruhanjaya tersebut menghentikan serta-merta mana-mana aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan mahkamah.

“Kenapa dia didakwa atas tuduhan menculik hanya setelah beberapa bulan berlalu dan cuma sehari sebelum siasatan awam itu disambung semula? Jika benar lelaki itu terlibat, dia patut tahu di mana Koh berada sekarang. Bebaskannya dan biarkan pesalah sebenar diberkas dan keadilan ditegakkan,” soal Susanna.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed dijadualkan memberi keterangan di hadapan siasatan awam Suhakam pada hari siasatan itu dihentikan.

Pihak polis sebelum ini turut enggan bekerjasama dengan panel siasatan awam dengan tidak mengeluarkan lakaran gambar rajah tempat kejadian dan rakaman CCTV yang diambil oleh pihak mereka kerana maklumat tersebut termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walau bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan anggotanya terlibat dengan kes penculikan paderi itu dengan memberitahu panel siasatan awam Suhakam bahawa anggota keselamatan negara itu berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes penculikan tersebut.

"Perlu ada beberapa lambang polis. Sekiranya tidak ada, itu bukan operasi polis," kata Khalid, ketua polis negara yang baru bersara pada Oktober lepas, ketika memberi keterangan semasa ditanya sama ada penculik memakai balaclava (topi bulu menutup muka dan leher) itu mungkin anggota polis.

Rakaman CCTV menunjukkan penculikan Koh telah dirancang tetapi Khalid berkata ia tidak dilakukan secara profesional.

"Gerakan ini semua boleh dipelajari dari filem dan mereka cuba meniru," kata Khalid sambil menambah penculikan itu tidak kemas dan bagi orang awam ia mungkin nampak cekap.

Dakwaan bahawa polis terlibat dalam penculikan Koh timbul setelah Roeshan Celestine Gomez berkata beliau sendiri menyaksikan detik kejadian berlaku. Katanya lagi, seorang pegawai penyiasat di Balai Polis Kelana Jaya, tempat beliau membuat laporan memberitahu yang  penculikan tersebut kelihatan sebagai satu “operasi polis.”

Selain Koh, siasatan awam tentang kehilangan beberapa aktivis sosial seperti Amri Che Mat, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Sitepu, turut diperdengarkan Suhakam.

N. Nantha turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh