Panel Hak Asasi Malaysia: Polis Mungkin Terlibat Dalam Penculikan Paderi, Aktivis

Ali Nufael & Ray Sherman
2019.04.03
Kuala Lumpur, Malaysia
190403-MY-Suhakam-Pastor1000.jpg Norhayati Mohd Ariffin (kanan) cuba menahan tangisan sementara Suzanna Liew memujuknya selepas menghadiri satu sidang akhbar di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur, 3 April, 2019
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Ejen polis Malaysia mungkin menjadi dalang di sebalik penculikan seorang paderi Kristian dan seorang lagi aktivitis lebih dua tahun lalu, rumus suruhanjaya hak asasi negara yang disokong parlimen pada Rabu, sambil mendesak pihak berkuasa agar menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menyiasat apa yang diisytihar sebagai “kehilangan paksa.”

Paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivitis sosial Amri Che Mat, masing-masing telah dilaporkan hilang sejak 2016 dan 2017, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia – juga dikenali sebagai Suhakam – telah mengeluarkan satu laporan setebal 95 muka surat dengan butiran hasil siasatan yang memfokus kepada sama ada kehilangan mereka adalah secara sukarela atau melibatkan ejen kerajaan.

“Bukti langsung dan bukti berdasarkan keadaan dalam kes Paderi Raymond Koh membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa dia telah diculik oleh ejen kerajaan,” kata suruhanjaya itu.

Laporan itu menggunakan asas yang sama apabila mengutarakan hujah dari segi perundangan bahawa Amri juga mungkin telah diculik oleh ejen kerajaan, terutama mereka yang bertugas di Cawangan Khas yang mempunyai ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Tidak ada bukti yang menunjukkan Amri telah ditangkap atau ditahan, tetapi dia telah dibawa pergi dan hilang,” kata Pesuruhjaya Mah Weng Kwai kepada wartawan.

Paderi Koh telah diculik di sebatang jalan di pinggir Kuala Lumpur di siang hari pada 13 Feb 2017 apabila beberapa kenderaan SUV dan motosikal memaksa keretanya berhenti sebelum sekumpulan lelaki bertopeng hitam membawanya pergi. Penculikan itu berlaku dalam tempoh kurang seminit dan telah dirakam oleh kamera pengawasan.

Amri, yang berasal dari negeri Perlis, telah dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa dia sedang menyebarkan ajaran Syiah, menurut laporan akhbar tempatan.

Suruhanjaya itu berkata ia tidak menemui bukti bagi menyokong hujah peguam Koh bahawa penculikannya telah dilakukan “dengan kebenaran, sokongan dan persetujuan kerajaan.” Beberapa kumpulan hak asasi sebelum itu berkata paderi tersebut mungkin menjadi sasaran kerana dia dipercayai menyebarkan ajaran agama Kristian kepada penganut Islam.

Laporan Suhakam itu mengandungi inkuiri awam yang berlangsung selama berbulan-bulan, yang menyaksikan panelnya telah mendengar keterangan 16 saksi, dari Oktober 2017 hingga Disember 2018.

Namun inkuiri itu tidak dapat menentukan apa yang berlaku kepada Koh dan Amri selepas mereka diculik.

Persamaan yang luar biasa

Laporan itu turut menggariskan bahawa kehilangan Koh dan Amri mempunyai “persamaan yang luar biasa” kerana kedua-dua mangsa telah ditarik keluar dari kenderaan masing-masing oleh sekumpulan lelaki berpakaian hitam dan memiliki pergerakan yang penuh dengan ketepatan.

Laporan itu juga menafikan kenyataan polis bahawa kehilangan Koh tidak melibatkan ejen kerajaan.

Kedua-dua penculikan adalah antara banyak kes yang menyebabkan kumpulan hak asasi mendesak kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad agar melakukan siasatan semula. Mahathir, yang mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan setelah menang besar dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan politik Najib Razak, sebelum ini telah berikrar bahawa kerajaan pimpinannya akan mengembalikan kedaulatan undang-undang.  

Bagaimanapun, beberapa jam selepas suruhanjaya itu mendedahkan penemuannya, Mahathir menyifatkan laporan tersebut sebagai “dengar cakap,” menurut agensi berita kerajaan Bernama.

“Saya fikir mereka (Suhakam) perlu menunjukkan beberapa bukti. Ini hanya sekadar dengar cakap, saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai bukti kukuh untuk menunjukkan ini berlaku,” kata Mahathir kepada wartawan.

Ditanya sama ada pasukan petugas khas perlu dibentuk untuk menyiasat kes kehilangan itu, Mahathir menegaskan bahawa panel hak asasi manusia tersebut perlu terlebih dahulu menunjukkan bukti yang jelas.

“Sekiranya mereka mempunyai bukti yang jelas, [kemudian] kita akan membentuk pasukan petugas khas untuk melakukan siasatan,” katanya.   

Penculikan dikaitkan oleh polis dengan suspek dadah

Suhakam, yang ditubuh oleh Parlimen Malaysia pada April 2000, adalah sebuah institusi kerajaan yang menjalankan siasatan pencarian fakta berdasarkan aduan berkaitan pencabulan hak asasi manusia. Suruhanjaya itu berkata ia telah memulakan inkuiri awam berkaitan kedua-dua penculikan setelah menerima kenyataan daripada beberapa individu.

Dalam laporannya, Suhakam berkata para pegawai sebelum itu telah mengemukakan bukti yang mengaitkan seorang suspek pengedar dadah dengan penculikan Koh. Bagaimanapun, suspek itu maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis pada Jun 2017, empat bulan selepas kehilangan Koh.

“Terdapat pengawasan langsung ke atas aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat dalam organisasi masing-masing sebelum kehilangan mereka,” menurut suruhanjaya itu.

Menurut kenyataan para pegawai polis, Koh “hilang dan keberadaannya sehingga kini tidak diketahui," kata laporan itu.

“Berikutan penemuan panel ini, terpulanglah kepada polis untuk melakukan siasatan sewajarnya dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” kata laporan itu. “Buat permulaan, seorang pengawai penyiasat yang berpengalaman harus dilantik untuk menyiasat semula kes tersebut.”

Keluarga mangsa memerlukan kepastian dan jawapan kepada persoalan mereka hanya boleh diberikan oleh Kerajaan, kata laporan itu sambil menambah bahawa suruhanjaya tersebut percaya “bahawa mereka yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu setakat ini masih menyembunyikan jawapan kepada semua persoalan ini, atau enggan berusaha sedaya-upaya untuk mencarinya.”

Menurut kumpulan hak asasi manusia, pihak berkuasa agama di sini pada umumnya menganggap bahawa murtad adalah satu jenayah di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Malaysia, yang mana tindakan memurtadkan orang Islam adalah dilarang di kebanyakan negeri dan penganut Islam berfahaman Syiah turut dianiaya oleh para pegawai agama.

Selain Koh dan Amri, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu, seorang rakyat Indonesia, juga dilaporkan hilang sejak 2016. Bagaimanapun, inkuiri awam berhubung kehilangan pasangan suami-isteri itu belum bermula, menurut laporan itu.

‘Adakah mereka akan kembali ke pangkuan kami?’

Setelah laporan itu dikeluarkan, isteri Paderi Koh, Susanna Liew dan Norhayati Mohd Ariffin, isteri Amri, memberitahu wartawan bahawa mereka inginkan jawapan kepada persoalan utama mereka.

“Adakah mereka akan kembali ke pangkuan kami?” tanya Norhayati, ibu kepada tiga anak. “Apakah status anak-anak saya? …Adakah mereka anak-anak yatim?”

Liew, yang menyifatkan kehilangan suaminya sebagai sesuatu “yang masih samar-samar,” inginkan kepastian.

“Sudah tentu kami berharap suami kami akan dikembalikan kepada kami. Jika tidak, kami ingin tahu apa yang berlaku kepada mereka. Kami perlukan kepastian,” katanya. “Kami tak pasti [jika] kami telah menjadi balu.”

‘Saya tidak pernah beri arahan seperti itu’


Mengulas penemuan Suhakam, bekas Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu wartawan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan anggota Cawangan Khas untuk menculik Koh dan Amri.

“Saya tidak pernah memberikan arahan seperti itu, begitu juga dengan ketua setiausaha kementerian,” katanya. “Saya harap siasatan akan dijalankan secara profesional.”

Sementara itu, Sevan Doraisamy, jurucakap Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan [Caged], sebiuah badan bukan kerajaan, menggesa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengulas laporan Suhakam.

“Menteri berkenaan perlu campur tangan dan memulakan langkah untuk menyiasat mengenai keberadaan kedua-dua lelaki ini,” katanya kepada BeritaBenar. “Ini adalah satu jenayah yang serius.”

Bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar telah memaklumkan panel pencarian fakta Suhakam pada Oktober 2017 bahawa para pegawainya tidak terlibat dalam penculikan itu.  

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, yang merupakan Ketua Cawangan Khas ketika penculikan itu berlaku, memberitahu wartawan di negeri Johor, di mana beliau sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari, bahawa beliau hanya akan memberikan reaksi selepas membaca penemuan suruhanjaya itu.

“Biar saya baca laporan itu terlebih dahulu sebelum saya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini,” katanya kepada akhbar Malay Mail.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.