Lapan Anggota Komando Cedera

Fadzil Aziz
2017.02.13
Kuala Lumpur
170213-my-boat-blast-620.jpg Menteri Kesihatan S. Subramaniam melawat salah seorang mangsa trajedi bot meletup di Jeti Pangkalan Polis Marin Kampong Acheh, yang sedang dirawat di Hospital Seri Manjung, Perak, 13 Feb, 2017.
[Ihsan S. Subramaniam]

Lapan anggota Komando VAT 69, pasukan unit khas Polis DiRaja Malaysia [PDRM] cedera dalam satu letupan bot di sebuah pangkalan polis marin di negeri Perak pada Isnin, demikian menurut pihak berkuasa negara itu pada Isnin.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 9.30 pagi Isnin, apabila sebuah bot yang dinaiki kesemua anggota berkenaan meletup ketika beberapa orang daripada mereka cuba untuk menghidupkan enjin bot yang mengalami kerosakan di Jeti Pangkalan Marin, Kampung Acheh, Manjung, Perak, kira-kira 230 kilometer [141 batu] dari Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati letupan ini berlaku semasa anggota polis cuba untuk menghidupkan enjin bot tersebut. Tiada kehilangan nyawa  dilaporkan, dan keadaan kini dilaporkan stabil,  kata Pemangku Ketua Polis Perak Hasnan Hassan dalam satu kenyataan. Beliau  menafikan bahawa kejadian itu berpunca daripada bahan letupan.

Katanya, mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Daerah Seri Manjung. Semasa kejadian, anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh itu sedang membuat latihan rutin di pangkalan berkenaan.

Berikutan itu, tambah beliau, satu siasatan lengkap sedang dijalankan oleh PDRM untuk mengetahui punca sebenar enjin bot itu meletup.

BeritaBenar difahamkan, ketika kejadian berlaku, salah satu daripada dua enjin bot ‘Kerambit 3’ yang digunakan dalam kursus pengendalian bot tidak dapat dihidupkan. Namun, apabila enjin bot itu hendak dihidupkan selepas penyelenggaraan, ia meletup.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan S. Subramaniam meninjau keadaan mangsa yang kini ditempatkan di Hospital Daerah Seri Manjung.

"Saya telah melawat salah seorang daripada mangsa tragedi bot meletup di Jeti Pangkalan Marin Kg Acheh, di Hospital Seri Manjung, Perak, petang tadi dan beliau sedang mendapat rawatan rapi,  saya mendoakan agar  beliau dan rakan-rakannya sembuh sepenuhnya dengan secepat mungkin." katanya.

VAT69 merupakan pasukan elit PDRM yang berpangkalan di Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak, dan ditubuhkan sejak tahun 1969. Pasukan itu pada asalnya mendapat latihan daripada United Kingdom Special Air Service (SAS) bagi mengekang dan membanteras kegiatan insurgensi oleh pengganas Komunis di Malaya pada masa itu.

Pasukan VAT69 kembali mencuri tumpuan selepas berjaya mematahkan cubaan 15 anggota Al-Ma’unah yang memakai uniform lengkap tentera melarikan lebih 100 senjata dan beribu-ribu peluru dari dua buah kem tentera di Gerik, Perak, dengan menangkap empat tahanan ketika bersembunyi bersama 13 lagi rakan di Bukit Jenalek pada 2 Julai 2000.

Pada Februari dan Mac 2013, VAT69 dan juga pasukan keselamatan Malaysia lain telah berjaya melawan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, oleh kira-kira 200 pejuang dari Sulu - sebuah wilayah jiran di selatan Filipina - yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan pengikut Jamalul Kiram III yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu.

Tujuh puluh dua orang, termasuk 56 lelaki bersenjata pengikut Kesultanan Sulu dan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam terbunuh dalam pertempuran semasa pencerobohan yang berlaku selama beberapa minggu ke atas negeri itu.

Dua anggota komando VAT 69 terbunuh manakala tiga lagi cedera ketika diserang kumpulan penceroboh itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Enjin bot yang dinaiki lapan anggota Komando 69 di Jeti Pangkalan Polis Marin di Kampung Acheh, yang dipercayai meletup semasa sesi latiha. [Ihsan Polis Marin]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.