Abu Mayat Chin Peng Telah Dibawa Pulang, Kerajaan kata Tiada Pemohonan

Nisha David & Ali Nufael
2019.11.26
Kuala Lumpur, Malaysia
191126-MY-ChinPeng-Communist1000.jpg Saudara mara bekas Setiausaha Agong Parti Komunis Malaysia, Chin Peng bersedih di hadapan potretnya ketika upacara pengebumian pemimpin itu di Wat That Thong, sebuah kuil Buddha di Bangkok, Thailand, 20 September 2013.
[AP]

Keluarga Chin Peng memaklumkan yang abu mayat gerila komunis yang meninggal dunia enam tahun lalu di Thailand, telah dibawa pulang secara rahsia dua bulan lepas, walaupun mendapat larangan daripada kerajaan, dengan Timbalan Menteri berkata tiada sebarang kebenaran diberikan untuk berbuat demikian.

Menurut ahli keluarga terdekat dan sahabat handai bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu, abu mayat Chin Peng telah ditabur di kawasan hutan banjaran Titiwangsa di Chemor dan di laut di berhampiran Lumut, dua daerah di negeri Perak, kira-kira lebih 100 batu di utara ibu negara, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman berkata Putrajaya tidak mengetahui mengenai abu mayat Chin Peng yang telah dibawa pulang ke Malaysia dan kerajaan katanya juga tidak mendapat sebarang permohonan untuk membawa balik abu tersebut.

“Sehingga kini memang tiada permohonan diterima dan Kementerian Dalam Negeri [KDN] sendiri tidak pernah tahu abu mayat Chin Peng sudah dibawa masuk pada 16 September lalu sebagaimana yang dilaporkan MalaysiaKini.

“KDN hanya mendapat maklumat mengenainya apabila menerima persoalan daripada pelbagai pihak termasuk media hari ini,” kata Timbalan Menteri itu seperti dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian pada lewat petang Selasa.  

Bagaimanapun, beliau berkata, KDN bertegas dengan larangan kerajaan sebelum ini yang tidak membenarkan abu mayat bekas komunis itu dibawa masuk ke Malaysia dan akan menyiasast kesahihan dakwaan itu.

“KDN akan menjalan siasatan bagi memastikan sama ada perkara itu betul berlaku agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang membawanya masuk serta yang membenarkan ia dibawa masuk,” kata Azis lagi.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 dan menjadi antara tonggak utama dalam PKM semasa parti itu menentang penjajahan Jepun seterusnya berperang dengan kolonial Inggeris sebelum menjadi seteru kerajaan Malaya selepas merdeka pada tahun 1957.

Beliau meninggal dunia dipercayai akibat kanser di Bangkok pada usia 89 tahun pada 2013.

Pada satu sidang media, Ketua Penyelaras Kumpulan Pengurusan abu mayat Chin Peng, Chan Kan Fook, 81 berkata abu mayat bekas komunis itu tiba di Ipoh, ibu negeri Perak dari Bangkok dua bulan lalu dan majlis peringatan itu dihadiri lebih 150 orang.

"Upacara memperingatinya telah dibuat pada hari yang sama dan sebarang tugu bagi mengenang tapak-tapak tempat abu mayat Chin Peng ditabur dibuat.

"Kami membawa abu mayat melalui tempat asalnya di Sitiawan dan jerat ibu bapanya di Lumut sebelum menabur abu tersebut di laut dan hutan bagi memenuhi hasrat terakhir Chin Peng…,  biarlah beliau selamanya dengan kawan-kawannya yang berkorban untuk negara ini," kata Chai ketika sidang media di Ipoh pada Selasa.

Chai berkata majlis upacara peringatan itu tidak didedahkan kepada orang ramai untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Sekarang kami telah menyelesaikan tugas itu, dan kami sangat gembira," tambahnya lagi.

Kerajaan tidak dimaklumkan

Seorang rakan Chin Peng, She Zu, 74, berkata meskipun mereka tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa pulang abu itu, namun beliau yakin tidak akan mendapat tentangan daripada kerajaan Pakatan Harapan [PH].

"Kami tidak melanggar undang-undang, kami mempunyai kepercayaan terhadap PH, kami percaya kepada mereka. Kami sangat tua sekarang, dan jika mereka mahu mengambil tindakan, mereka hanya boleh menangkap kami," dakwanya sambil yakin kerajaan PH berbeza dengan BN dalam hal itu.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor berkata, isu membawa pulang abu mayat Chin Peng tidak memberi apa-apa kesan kepada perjuangan polis dan pihak berkuasa Malaysia.

"PKM sudah lama pupus malah melalui Perjanjian Hat Yai dan semua ahli PKM dibenarkan pulang ke tanah air namun Chin Peng yang enggan berbuat demikian pada ketika itu.

"Jadi isu bawa pulang abu mayatnya tidak memberi apa-apa makna. Komunisme sudah tidak signifikan kepada kita," katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Turut bersetuju dengan Rahim adalah jurucakap Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Dr Wong Ang Peng.

Dr Wong berkata bahawa membawa balik abu mayat Chin Peng adakah urusan peribadi keluarga mendiang yang tidak harus dijadikan isu.

"Abu itu dibawa balik oleh keluarga. Itu soal peribadi mereka. Chin Peng merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah kita. Ideologi komunis kini tidak lagi membawa apa apa signifikasi," kata jurucakap bekas persatuan tentera itu.

Walaubagaimanapun, bagi bekas pegawai Pasukan F, Cawangan Khas, Polis DiRaja Maalaysia [PDRM] Sub Inspektor S Sritharan yang nyaris maut pada 10 Mei 1986 dalam perjuangan menentang PKM, tindakan bawa pulang abu mayat Chin Peng cukup tidak disenangi.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, perjuangan pasukan elit itu menentang PKM bagaikan sia-sia sekarang.

"Kami menyamar dan tinggal berbulan-bulan di dalam estet dan hutan dalam usaha menentang PKM. Kini, mereka dengan senang bawa masuk abu mayat Chin Peng, musuh negara ke tanah air ini. Saya memang tidak bersetuju dengan tindakan mereka," katanya.

Bebaskan dari penjajah

Chin Peng semasa hayatnya berjuang bagi membebaskan Malaya pada waktu itu daripada penjajahan Jepun dan Inggeris.

Sewaktu Rundingan Baling pada 1955, Chin Peng bersama sama Rashid Maidin seorang lagi pemimpin tertinggi PKM bertemu Tunku Abdul Rahman, perdana Menteri Pertama bagi mencari jalan perdamaian.

Chin Peng meminta Tunku supaya membenarkan parti PKM bergerak secara politikal namun Tunku enggan mengiktiraf PKM. Rundingan tersebut gagal.

Chin Peng akhirnya hidup dalam buangan selepas Perjanjian Damai Hat Yai 1989 dan beliau meninggal dunia di Bangkok pada usia 90 tahun pada 2013 lalu.

Chin Peng sekurang-kurangnya telah empat kali telah meminta kebenaran kerajaan lama Barisan Nasional untuk pulang ke negara asalnya namun kesemua permohonan beliau ditolak kerajaan.
Chin Peng juga pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM bagi menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 September 2009 menolak saman 'tidak mampan' itu kerana permusuhan antara PKM dengan kerajaan adalah fakta sejarah dan tidak boleh dinafikan.

Chin Peng ketika itu diwakili peguam bela, Tommy Thomas yang kini adalah Peguam Negara.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.