Pembunuhan Kim: Malaysia Akan Bebaskan, Usir Suspek Korea Utara

Anis Natasha & S.C. Lei
2017.03.02
Kuala Lumpur
170302-my-korea-620.jpg Ri Tong II, bekas timbalan duta Pyongyang ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menjawab soalan pemberita di pintu kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 2 Mac 2017.
[BenarNews]

Satu-satunya rakyat Korea Utara yang ditangkap setakat ini berhubung pembunuhan abang tiri pemimpin Pyongyang Kim Jong Un, akan dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari Malaysia, kata pegawai-pegawai kanan Malaysia hari ini.

Ri Jong Chol akan dihantar pulang kerana melanggar peraturan imigresen selepas reman bagi penahanannya selama 14 hari tamat pada Jumaat, dua hari selepas dua wanita Asia Tenggara didakwa membunuh Kim Jong-nam dalam serangan itu. Polis Malaysia sedang mencari sekurang-kurangnya tujuh suspek Korea Utara lain.

Pada hari kejadian, Ri memandu empat lelaki Korea Utara ke lapangan terbang Kuala Lumpur, kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang rapat dengan siasatan itu kepada BeritaBenar. Dua wanita didakwa menghampiri Kim Jong-nam dan menyapu agen saraf VX pada mukanya semasa beliau bersedia untuk menaiki penerbangan ke Macau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Keempat-empat lelaki itu disenaraikan dalam kertas pertuduhan yang dikeluarkan oleh polis Malaysia pada Rabu sebagai rakan jenayah dalam pembunuhan itu, kata sumber itu. Tetapi mereka telah meninggalkan Malaysia pada hari yang kejadian dan kembali ke Korea Utara, menurut polis.

Sementara itu, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menghentikan program yang membolehkan warga Korea Utara memasuki negara itu tanpa visa, yang meningkatkan lagi pertikaian diplomatik susulan pembunuhan beracun itu pada 13 Feb lalu.

Dalam pada itu, ketua peringkat tinggi delegasi Korea Utara yang berada di Malaysia untuk menuntut mayat lelaki itu dan membincangkan siasatan dengan pegawai-pegawai tempatan berkata, mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan bukannya akibat keracunan kimia seperti yang didakwa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lelaki yang bebas


Lelaki Korea Utara yang ditahan itu akan diusir bersama-sama dengan isteri dan dua anaknya, kata pegawai kanan Malaysia itu kepada BeritaBenar.

"Mereka akan dihantar pulang dengan penerbangan seterusnya ke Pyongyang pada satu tarikh yang akan disahkan setelah kedutaan Korea Utara dimaklumkan mengenai pengusiran itu," kata sumber itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ri Jong Chol adalah seorang daripada tiga suspek yang ditahan setakat ini. Pada Rabu, seorang wanita warganegara Indonesia dan seorang wanita rakyat Vietnam telah dituduh membunuh Kim Jong-nam.

Ri Jong Chol mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang kimia, menurut laporan.

"Dia berada di sini dan sepatutnya bekerja di sebuah syarikat tempatan tetapi tidak pernah bekerja walau sehari pun di syarikat itu," kata sumber itu kepada BeritaBenar, dan memberitahu bahawa suspek dan keluarganya akan dipindahkan ke pusat tahanan imigresen sebelum dihantar pulang.

Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali memberitahu pemberita pada Khamis bahawa lelaki Korea Utara yang ditahan polis itu akan dibebaskan dan dihantar pulang pada hari berikutnya.

"Dia akan bebas. Reman bagi penahanannya sudah tamat dan tiada  bukti yang cukup untuk mendakwanya, "kata Apandi, menurut laporan Agence France-Presse. "Dia tidak mempunyai dokumen  [perjalanan] yang sewajarnya, jadi kita akan hantar dia pulang."

Malaysia hentikan program visa

Pada Khamis juga,  Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keutamaan  "keselamatan negara" ketika mengumumkan keputusan unilateral kerajaan untuk membatalkan program visa kemasukan untuk warganegara Korea Utara, berkuat kuasa 6 Mac ini.

Korea Utara dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik sejak  1973, tetapi pembunuhan Kim Jong-nam di bumi Malaysia telah menggoyahkan hubungan dua hala itu, dengan Kuala Lumpur turut memanggil pulang dutanya di Pyongyang berhubung peristiwa itu.

Duta Korea Utara pula telah dua kali membidas secara umum pegawai-pegawai Malaysia kerana enggan menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada Pyongyang tanpa bedah siasat.

Awal minggu ini, delegasi peringkat tinggi Korea Utara  tiba di Kuala Lumpur bagi memohon hak penjagaan mayat mangsa tetapi pegawai-pegawai Malaysia belum lagi mengulas mengenai perkara itu atau berkata sama ada wakil-wakil kanan kerajaan telah bertemu dengan para delegasi itu.

Korea Utara merujuk lelaki yang mati itu hanya sebagai Kim Chol, nama pada pasport yang dipegangnya pada masa kematiannya, dan tidak pernah mengesahkan identitinya sebagai Kim Jong-nam.

'Amat toksik'


Pada Khamis, ketua delegasi itu yang juga bekas Timbalan Duta Korea Utara ke PBB Ri Tong Il memberitahu pemberita bahawa lelaki Korea Utara yang mati pada 13 Feb lalu mempunyai rekod penyakit jantung dan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pada 21 Feb lalu, pegawai-pegawai kesihatan Malaysia menolak serangan jantung sebagai punca kematian Kim.

Duta khas dari Pyongyang itu juga mempersoalkan ketepatan dakwaan Malaysia bahawa Kim Jong-nam telah dibunuh dengan VX, dengan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia perlu menghantar sampel bahan yang terdapat pada badan mangsa untuk pengesahan Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) , sebuah agensi antarabangsa di Belanda.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengharamkan VX dan menyenaraikannya sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

"Bagaimana mungkin dua wanita itu, yang menggunakan tangan mereka yang mengandungi bahan itu dan menyapunya kepada muka mangsa, dan mereka selamat?" kata Ri Tong Il.

"Dan semua orang tahu, dan perlu tahu, sifat toksik bahan ini," kata beliau. "Ia amat toksik. Itulah sebabnya ia dikategorikan sebagai senjata kimia oleh OPCW. "


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.