Identiti Kim Jong Nam Disahkan oleh DNA Anak: Timbalan PM Malaysia

Anis Natasha
2017.03.15
Kuala Lumpur
170315-MY-kim-620.jpg Kakitangan hospital menolak troli mayat menuju ke pagar unit forensik Hospital Kuala Lumpur, di mana mayat Kim Jong Nam ditempatkan, 15 Mac, 2017.
Photo: Benar

Seorang daripada anak Kim Jong Nam telah memberi DNA yang diperlukan kepada penyiasat bagi mengesahkan identiti abang tiri pemimpin Korea Utara yang dibunuh, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia kepada pemberita pada Rabu.

Ahmad Zahid Hamidi enggan mendedahkan identiti orang yang memberikan sampel DNA atau menyatakan bagaimana dan di mana ia diambil. Buat pertama kalinya, seorang pegawai Malaysia memberitahu bahawa anggota keluarga terdekat Kim telah terlibat dalam mengenal pasti secara positif mayatnya.

"Kita tahu Ketua Polis Negara telah mengumumkan bahawa ia adalah mayat Kim Jong Nam berdasarkan sampel yang diperoleh daripada anak si mati. Dan sampel itu telah menjalani prosedur forensik dan DNA, " kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Minggu lalu, Ketua Polis Malaysia berkata "saksi" telah membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengesahkan dengan sahih bahawa Kim Jong Nam adalah lelaki Korea Utara yang dibunuh dalam serangan beracun di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb, dengan beliau pada mulanya dikenali sebagai Kim Chol.

Menurut sumber peringkat tinggi kerajaan Malaysia, yang bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan, anak Kim telah dibawa ke 'negara neutral " untuk menyerahkan DNA itu. Sumber itu bagaimanapun enggan memberitahu butirannnya lagi.

Timbalan Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed, berkata pegawai-pegawai tidak mahu mengenal pasti orang yang memberikan sampel itu "kerana ia boleh membahayakan nyawa kanak-kanak itu," lapor Agence France-Presse.

Proses mengenal pasti itu juga dibuat dengan menggunakan cap jari yang dihantar oleh kerajaan Jepun, kata Nur Jazlan kepada AFP. Pihak berkuasa di Jepun mempunyai fail cap jari Kim sejak pegawai imigresen menghalangnya pada 2011 kerana cuba memasuki negara itu dengan pasport palsu dari Republik Dominican.

Kim Jong Nam tinggal di wilayah Macau di China bersama-sama isteri dan dua anak.

Pada 8 Mac, video seorang pemuda yang mengaku sebagai anaknya, Kim Han Sol, muncul dalam talian. Menurut satu kumpulan yang menyiarkan video tersebut, Kim Han Sol dan adiknya serta ibunya telah bersembunyi di lokasi yang tidak didedahkan kerana bimbangkan tentang nyawa mereka selepas pembunuhan tersebut.

'Melihat semua kemungkinan'

Pembunuhan Kim, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di bumi Malaysia telah menyebabkan berlakunya perbalahan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, yang telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 1973.

Kedua-dua negara itu telah mengusir duta dan mengumumkan larangan yang menyekat rakyat mereka daripada keluar dari negara satu sama lain.

Malaysia telah menahan dan mendakwa dua wanita Asia Tenggara dengan pembunuhan itu, dan telah menamakan tujuh rakyat Korea Utara sebagai suspek dalam kes itu. Perdana Menteri Najib Razak juga menuduh kerajaan Korea Utara berada di belakang pembunuhan tersebut.

Perbalahan itu bermula berikutan keengganan Malaysia untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam  kepada  Korea Utara tanpa bedah siasat dan melainkan jika anggota keluarganya tampil ke hadapan untuk memberi DNA dan menuntut mayatnya. Sebulan telah berlalu sejak pembunuhan itu, tetapi tidak ada anggota keluarganya yang menuntut mayat Kim Jong Nam.

Pada Isnin, para pegawai Malaysia berkata mereka telah memberikan tempoh tiga minggu kepada ahli keluarga Kim Jong Nam untuk menuntut mayatnya, tetapi belum memutuskan apa yang perlu dilakukan sekiranya mayat itu terus tidak dituntut. Pada hari berikutnya, pegawai berkata mayatnya telah diawetkan untuk mengelakkan pereputan.

Pada Rabu, Ahmad Zahid menyerang dengan nada lembut apabila menyatakan bahawa Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam kepada Korea Utara sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Pyongyang kerana larangan keluar dari negara itu.

"Kami sedang mengkaji semua kemungkinan," kata Ahmad Zahid kepada pemberita ketika ditanya sama ada Malaysia akan menimbang kemungkinan melakukan pertukaran itu dalam rundingan membebaskan sembilan rakyat Malaysia.

Venue bola sepak belum ditentukan

Sementara itu, ketua Konfederasi  Bola Sepak Asia (AFC) yang berpejabat di Kuala Lumpur (AFC) pada Rabu mengumumkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara, yang pada asalnya dijadualkan pada 28 Mac ini, telah ditangguhkan ke 8 Jun tetapi venue baru masih belum ditentukan.

Pada 6 Mac, Persatuan Bola Sepak Malaysia menyatakan faktor keselamatan sebagai sebab mengapa pasukan kebangsaan menarik diri daripada perlawanan bulan ini, yang sepatutnya diadakan di Pyongyang.

Konfederasi itu  telah menghantar permintaan kepada persatuan bola sepak Korea Utara supaya mencadangkan gelanggang berkecuali bagi perlawanan pada 8 Jun sebelum 14 April ini, kata Setiausaha Agung AFC Windsor John dalam satu kenyataan.

Sekiranya perlawanan itu berlangsung di padang berkecuali, maka perlawanan kedua di antara kedua-dua negara yang dijadualkan pada 14 Nov juga akan diadakan di gelanggang berkecuali "untuk memelihara semangat kesukanan dengan bermain secara adil," kata John.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.