Duta Korea Utara Tinggalkan Malaysia Ketika Perbalahan Diplomatik Meningkat

Fadzil Aziz & Anis Natasha
2017.03.06
Kuala Lumpur
170306-MY-NK-ambassador-1000.jpg Polis mengiringi Duta Korea Utara Kang Chol yang diusir ke balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum menaiki penerbangan meninggalkan Malaysia, 6 Mac, 2017.
[Anis Natasha/BeritaBenar]

Kemaskini pada 22.00 p.m ET - 2017-03-06

Hubungan di antara Malaysia dan Korea Utara terus bergolak pada Isnin berikuitan pembunuhan abang tiri Kim Jong Un, dengan tindakan pengusiran duta kedua-dua negara serta pasukan bola sepak Malaysia membatalkan rancangan untuk bermain dalam pusingan kelayakan Piala Asia di Pyongyang.

Sebelum menaiki penerbangan ke Beijing pada malam Isnin, Duta Korea Utara  Kang Chol menghamburkan kata-kata keras berhubung  siasatan Malaysia terhadap pembunuhan Kim Jong Nam di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu - bentuk kritikan yang menyebabkan kerajaan Malaysia  mengisytiharkan duta itu sebagai "persona non grata" dan memerintahkan pengusirannya dari negara itu dua hari sebelum itu.

Ketika Kang terbang keluar dari negara ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia mengutuk pelancaran empat peluru berpandu balistik Korea Utara pada awal Isnin, manakala agensi berita Korea Utara melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Pyongyang kini tidak lagi  diterima dan secara rasminya diisytiharkan sebagai "persona non grata" oleh Kementerian Luar negara komunis itu.

Duta Malaysia itu diberi masa 48 jam untuk meninggalkan Korea Utara, lapor   Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) tanpa menjelaskan mengapa atau menyatakan bahawa Duta Kuala Lumpur itu sebenarnya telah pun keluar dari  negara itu setelah dipanggil pulang ke Malaysia pada akhir Februari. Pada Isnin, Malaysia juga secara rasminya menamatkan dasar yang membolehkan rakyat Korea Utara  memasuki negara Asia Tenggara tanpa visa, satu lagi ciri hubungan dua hala berpanjangan yang tergugat sejak kes pembunuhan tersebut.

Kang Chol bersama isteri dan cucu perempuannya kemudian menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing, yang berlepas kira-kira 6.30 petang.

"Saya menyuarakan rasa amat kesal terhadap tindakan melampau yang diambil oleh kerajaan Malaysia yang membawa kemudaratan besar kepada hubungan dua hala, yang mempunyai sejarah sejak lebih 40 tahun," kata Kang kepada wartawan sambil polis mengiringinya ke dalam balai berlepas lapangan terbang itu selepas beliau tiba dari Kedutaan Korea Utara kira-kira 4.30 petang.

Duta itu membangkitkan kemarahan para pegawai Malaysia kerana melakukan kritikan umum sebanyak dua kali berhubung integriti siasatan polis terhadap pembunuhan Kim Jong Nam pada 13 Feb lalu di kawasan lapangan terbang Kuala Lumpur, di mana beliau telah diracuni dengan agen kimia yang diharamkan, menurut pihak berkuasa Malaysia. Duta itu juga  menuduh kerajaan Malaysia "bersekongkol dengan anasir ganas" dalam siasatannya – yang merujuk jelas kepada Korea Selatan.

Duta itu turut menuduh kerajaan Malaysia "bersekongkol dengan anasir ganas" dalam siasatan itu - rujukan yang jelas ditujukan kepada Korea Selatan. Beliau juga mengkritik pihak berkuasa tempatan kerana menolak permintaan Korea Utara untuk menyerahkan mayat Kim tanpa bedah siasat.

"Kenyataan-kenyataan yang saya buat adalah pernyataan tentang pendirian jujur saya sebagai duta DPRK di negara ini berhubung siasatan pra-sasaran polis Malaysia kerana mereka telah menjalankan bedah siasat tanpa persetujuan dan kehadiran kedutaan DPRK, dan kemudian menahan seorang warganegara DPRK tanpa sebarang bukti jelas yang menunjukkan penglibatannya dalam kejadian itu," kata Kang kepada pemberita di lapangan terbang itu, melalui seorang penterjemah.

'Mereka sepatutnya memohon maaf'

Keputusan Malaysia untuk mengusir Kang dibuat selepas beliau tidak hadir pada satu pertemuan di Kementerian Luar Negeri di mana beliau telah dipanggil menghadirinya pada petang Sabtu, dan selepas para pegawai Korea Utara gagal mematuhi tarikh akhir pada 28 Feb untuk memohon maaf bagi kenyataan kritikal duta itu, menurut menteri luar Malaysia.

"Mereka sepatutnya memohon maaf. Oleh itu, berdasarkan prinsip, kita isytiharkan beliau sebagai persona non grata, "kata Perdana Menteri Najib Razak kepada pemberita pada Isnin, lapor Reuters.

"Tidak ada sesiapa pun yang boleh menggugat kita atau mengganggu kita sesuka hati mereka," kata beliau.

Apabila Kuala Lumpur mengumumkan pada Sabtu bahawa ia mengusir duta Pyongyang, Menteri Luar Negeri Malaysia Anifah Aman memberi amaran kepada para pegawai Korea Utara supaya tidak lagi mengkritik Malaysia.

Pada petang Isnin, kementerian itu mengeluarkan kenyataan keras sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu balistik terbaharu Korea Utara, dengan tiga daripadanya dilaporkan jatuh di perairan Jepun.

Pelancaran peluru berpandu merupakan ‘encabulan jelas’ terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan dan menjejas peraturan pelucutan dan ketidakcambahan senjata nuklear. kata kementerian itu.

“Tindakan itu mencetuskan ketegangan serantau dan sekali lagi melambangkan sikap tidak ambil peduli DPRK terhadap keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea, rantau ini dan dunia
secara amnya,” kata kementerian itu.

Adakah selamat?

Pada petang Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia mengumumkan pembatalan rancangan pasukan kebangsaannya bermain menentang pasukan Korea Utara di Pyongyang dalam perlawanan yang dijadualkan pada 28 Mac, dengan menyatakan "sebab-sebab keselamatan" sebagai alasannya.

Hamidin Mohd Amin, setiausaha agung persatuan itu berkata, keputusan untuk mengusir Kang Chol menyebabkan keadaan tidak selamat bagi rakyat Malaysia untuk melawat Korea Utara pada masa ini.

Persatuan itu, bagaimanapun, telah mengemukakan permohonan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia meminta perlawanan menentang Korea Utara dipindahkan ke gelanggangberkecuali, kata Hamidin.

Sementara itu, dua wanita Asia Tenggara ditahan polis Malaysia kerana disyaki sebagai pembunuh lelaki itu, dan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tujuh rakyat Korea Utara yang dikehendakinya bagi soal siasat kes itu termasuk Hyon Kwang Song, Setiausaha Kedua di Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.

Selain Hyon dan enam orang yang lain, Malaysia telah menahan seorang lagi lelaki Korea Utara sebagai suspek tetapi membebaskannya dan menghantarnya pulang minggu lalu kerana kekurangan bukti.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.