Empat Suspek Korea Utara Melarikan Diri Dari Malaysia Selepas Pembunuhan Kim: Polis

Anis Natasha
2017.02.19
Kuala Lumpur
170219_MY_NK_SUSPECT_1000.jpg Timbalan Ketua Polis Negara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Noor Rashid Ibrahim bercakap mengenai suspek Korea Utara Ri Jae Nam (atas) pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Selangor Abdul Samah Mat di ibu pejabat PDRM di Kuala Lumpur, 19 Feb 2017.
AFP

Polis Malaysia sedang mencari empat suspek Korea Utara yang meninggalkan negara itu pada hari abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dibunuh, kata seorang pegawai tertinggi polis pada satu sidang berita pada Ahad.

Keempat-empat  lelaki itu tiba di Malaysia di antara 31 Jan dan 7 Feb lalu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Noor Rashid Ibrahim di ibu pejabat PDRM di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.

"Kami boleh mengesahkan bahawa keempat-empat suspek meninggalkan negara ini pada 13 Feb, hari sama di mana kejadian itu berlaku," katanya. "Kami akan bekerjasama dengan Interpol dan badan-badan berkaitan di rantau ini untuk mengesan mereka."

Polis sedang memburu tiga lagi suspek bagi membantu siasatan, iaitu seorang rakyat Korea Utara dan dua yang lain yang identiti mereka masih belum diketahui, kata Noor Rashid, yang mengesahkan bahawa kejadian itu kini dikendalikan sebagai kes pembunuhan.

Kim Jong-Nam disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 13 Feb selepas dipindahkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di mana beliau mendapat rawatan perubatan di kaunter lapangan terbang itu.

Kim, yang sepatutnya mengambil penerbangan Air Asia ke Macau pada 10.50 pagi hari itu, telah didatangi oleh dua wanita yang didakwa menyembur cecair kepadanya dan menyapu mukanya dengan sehelai kain.

Rakaman  kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat lelaki sedang memerhatikan pembunuhan itu dari sebuah restoran berdekatan, lapor New Straits Times, sebuah akhbar Malaysia.

Korea Selatan telah menuding jari menyalahkan Korea Utara, dengan memetik "perintah tetap" Kim Jong-Un supaya abangnya dibunuh dan usaha pembunuhan yang gagal pada 2012 selepas abangnya mengkritik rejimnya.

Di Seoul, seorang pegawai tertinggi berkata pengumuman pada Ahad itu menunjukkan bahawa ejen-ejen Korea Utara akhirnya berjaya melakukan tugas itu. "Kami percaya rejim Korea Utara berada di sebalik kejadian ini memandangkan lima suspeknya adalah dari Korea Utara," kata Jeong Joon-hee, Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hal ehwal antara Korea, pada satu taklimat, lapor Reuters.

Polis Malaysia menahan seorang suspek Korea Utara yang dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, pada lewat Jumaat, menjadikan jumlah suspek yang dalam tahanannya adalah empat orang.

'Sensitif'

Semasa ditanya ke mana keempat-empat suspek itu pergi setelah meninggalkan Malaysia, Noor Rashid berkata, "Saya tidak akan mendedahkan ke mereka pergi, ini adalah amat sensitif."

Keempat-empat suspek memegang pasport biasa, dan polis tidak boleh memberitahu sama ada mereka bekerja untuk kerajaan Korea Utara, kata beliau.

"Rancangan kami seterusnya adalah untuk menahan mereka. Sudah tentu kami mempunyai kerjasama antarabangsa terutamanya dengan Interpol, penglibatan dua hala dengan negara yang terlibat, kami akan menggunakan saluran ini untuk mendapatkan mereka," katanya.

Sidang media PDRM itu diadakan buat pertama kalinya selepas pembunuhan Kim, 13 Feb lalu. Pegawai-pegawai Malaysia masih belum mengeluarkan laporan bedah siasat mengenai punca kematian mangsa. Keputusan ujian patologi dan toksikologi juga masih belum selesai, kata Noor Rashid.

"Pada masa ini, saya tidak boleh memberitahu punca kematian," katanya.

Tarikh akhir untuk anggota keluarga

Noor Rashid berkata polis Malaysia sedang mencari anggota keluarga Kim untuk mengenal pasti mayatnya, dan memberi mereka tempoh dua minggu untuk tampil hadir.

"Buat masa ini, dia dikenal pasti sebagai Kim Chol, berusia 47, dari Korea Utara, berdasarkan pasport yang ditemui pada mangsa," kata pegawai itu.

"Yang paling layak untuk mengenal pasti mayat itu secara fizikal adalah anggota keluarganya. Saya sudah pun memberikan tempoh masa, dan jika mereka masih tidak tampil ke hadapan, maka kami perlu melihat kepada pilihan lain. "

Korea Utara membidas Malaysia pada Jumaat kerana enggan melepaskan mayat mangsa dan berkata ia tidak akan menerima sebarang hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam satu kenyataan di luar bilik mayat hospital utama di Kuala Lumpur, Duta Korea Utara Kang Chol, yang kelihatan marah, menuduh Malaysia "cuba untuk menyembunyikan sesuatu" dan "bersekongkol dengan kuasa musuh" berhubung kes itu.

"Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahu kata. Kami hanya mengikut prosedur dan peraturan kami," kata Noor Rashid pada Ahad.

Selain lelaki Korea Utara itu, polis turut menahan tiga suspek iaitu seorang wanita yang dikenal pasti sebagai Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam; warganegara Indonesia Siti Aisyah, 25; dan rakyat Malaysia Muhammad Farid bin Jalaluddin, 26, yang dikenal pasti polis sebagai teman lelaki Siti Aisyah.

Dalam sidang berita Ahad, pihak berkuasa Malaysia memberitahu bahawa Doan tiba di Malaysia pada 4 Feb dari Hanoi, manakala Siti tiba dua hari lebih awal dari Batam, Indonesia, dengan mereka masing-masing pernah bekerja di Malaysia sebelum ini di sebuah pusat pusat hiburan dan spa.

Gambar yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan empat suspek yang telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-Nam: Muhammad Farid Bin Jalaluddin - Malaysia (atas Kiri), Doan Thi Huong - Vietnam (atas Kanan), Ri Jong Chol- Korea Utara (bawah Kiri) dan Siti Aisyah - Indonesia (bawah Kanan). [AFP]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.