Interpol Senarai Empat Warga Korea Utara Dalam Pembunuhan Kim: Polis Malaysia

Anis Natasha
2017.03.16
Kuala Lumpur
170316-MY-kim-620.jpg Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar bercakap kepada pemberita selepas satu acara di Putrajaya, 16 Mac 2017.
AFP

Interpol telah mengeluarkan "notis merah" terhadap empat warga Korea Utara yang dikehendaki berkaitan dengan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara di Kuala Lumpur, bulan lepas, kata Ketua Polis Malaysia pada Khamis.

Pihak berkuasa Malaysia telah meminta organisasi polis antarabangsa itu untuk membantu mereka menangkap keempat-empat lelaki yang dipercayai melarikan diri daripada Malaysia pada hari Kim Jong Nam dibunuh dalam serangan kimia di lapangan terbang tempatan, kata Khalid Abu Bakar.

"Kami telah memperolehi Notis Merah bagi empat lelaki Korea Utara yang berada di lapangan terbang semasa kejadian itu," kata Ketua Polis itu kepada wartawan di Putrajaya.

"Kami percaya mereka berlepas ke Pyongyang. Kami berharap untuk menahan mereka melalui Interpol, "katanya.

Menurut Interpol, notis merah adalah permintaan di kalangan negara anggota pertubuhan itu untuk mencari dan menahan sementara seseorang, sementara menunggu ekstradisi mereka. Walau bagaimanapun, Korea Utara bukan negara anggota Interpol.

Organisasi, yang berpangkalan di Lyon, Perancis, telah memuat-naik notis merah di laman webnya terhadap keempat-empat rakyat Korea Utara itu. Interpol menyenaraikan setiap daripada mereka seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia bagi pendakwaan atas pertuduhan membunuh, tetapi tidak memberikan lebih banyak maklumat. Agensi itu  juga mengenal pasti keempat-empat lelaki itu sebagai Ji Hyon Ri dan Song Hak Hong, kedua-duanya berusia 32; ikuti dengan Jong Gil O, 54; dan Jae Nam Ri, 56.

Menurut polis Malaysia, keempat-empat mereka telah difilemkan oleh kamera TV litar tertutup, yang merakam pembunuhan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2,  pada 13 Februari lalu, apabila dua wanita Asia Tenggara mengikuti Kim Jong Nam sehingga ke balai berlepas, dan melumur ejen saraf maut ke mukanya.

Kedua-dua wanita yang terlibat dalam pembunuhan itu telah ditangkap dan didakwa bersabitan dengan pembunuhan Kim. Selain daripada empat lelaki yang disenaraikan oleh Interpol, polis Malaysia turut mengenal pasti tiga lagi warga Korea Utara yang lain sebagai suspek dalam kes berkenaan, yang dipercayai bersembunyi di dalam kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Malaysia telah secara terbuka menuduh Korea Utara sebagai dalang pembunuhan tersebut. Pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga telah menyalahkan ejen kerajaan dari Pyongyang yang mendalangi pembunuhan itu, di mana Kim dibunuh dengan bahan kimia terlarang yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

‘Keluarga beri persetujuan’

Pembunuhan itu telah membawa kepada tercetusnya perbalahan dua hala antara Pyongyang dan Malaysia berhubung keputusan awal Kuala Lumpur untuk tidak menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara tanpa bedah siasat, melainkan waris terdekat tampil ke hadapan untuk memberi DNA dan menuntut mayat.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa pegawai Malaysia telah mengembara ke negara lain untuk mendapatkan sampel DNA yang digunakan untuk mengenal pasti secara positif mayat itu sebagai Kim Jong Nam, dan bahawa ianya telah dikumpulkan daripada anak lelaki mangsa yang berusia 21 tahun , Kim Han Sol.

"Dari anaknya, yang berada di luar negara," kata Zahid yang enggan menamakan negara berkenaan. "Saya ingin mengesahkan bahawa DNA telah diambil dan dibawa ke Malaysia dan mangsa yang meninggal dunia sememangnya Kim Jong Nam."

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Malaysia memberi penunjuk pada Khamis bahawa keluarga Kim telah memberikan kelulusan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan mayat yang telah diawetkan itu, tetapi orang nombor dua dalam pasukan polis itu tidak menjelaskan sama ada keluarga Kim mahu menuntut mayat untuk dibawa pulang.

"Mereka telah memberi persetujuan kepada kerajaan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan mayat. Ia terpulang kepada perbincangan dan rundingan. Kita tidak boleh hanya sekadar membuat keputusan. Kita perlu tunggu, "kata Timbalan Polis Ketua Negara Noor Rashid Ibrahim kepada media.

"Apabila rundingan selesai dan kedua-duanya bersetuju dengan syaratnya kami akan umumkan keputusannya kelak," katanya, merujuk kepada usaha dua hala dalam menyelesaikan pertikaian diplomatik, yang menyaksikan kedua-dua negara mengusir duta masing-masing dan mengenakan sekatan jalan keluar ke atas rakyat masing-masing.

Pada Rabu, Zahid, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang "menimbang pelbagai  kemungkinan," termasuk menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara dalam pertukaran dengan sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di Pyongyang kerana pengharaman keluar berkenaan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.