Dua Rakyat Malaysia Keluar Dari Korea Utara, Selamat Sampai di Beijing

Fadzil Aziz
2017.03.09
Kuala Lumpur
170309-MY-najib-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak semasa bercakap dengan kaunselor di Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang dari pejabatnya di Putrajaya, 9 March, 2017.
[Ihsan daripada Pejabat Perdana Menteri]

Dua rakyat Malaysia, petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] di Korea Utara selamat tiba di Beijing, sambil Kuala Lumpur berusaha untuk membebaskan sembilan lagi rakyatnya yang dihalang daripada meninggalkan negara komunis, kata Perdana Menteri Malaysia pada Khamis.

Dua kakitangan Program Makanan Dunia PBB [WFP] meninggalkan Korea Utara di tengah-tengah perbalahan diplomatik yang telah meningkat selepas pembunuhan saudara tiri Kim Jong Un di Malaysia bulan lepas. Kedua-dua negara lantas mengambil tindakan untuk menyekat warga musuh daripada keluar daripada negara masing-masing.

"Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy telah selamat tiba di Beijing," kata Perdana Menteri Najib Razak dalam satu mesej di laman Twitternya pada Khamis, merujuk kepada kedua-dua rakyat Malaysia yang bekerja dengan PBB itu.

Program Makanan Dunia mengesahkan bahawa kedua-duanya telah mendarat di ibu negara China, pada Khamis.

"Kakitangan tersebut adalah pegawai awam antarabangsa dan tidak mewakili kerajaan negara mereka. Mereka bertugas dengan program WFP di DPR Korea, "kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan yang dihantar kepada BenarNews.

Menurut maklumat dari Kementerian Luar Malaysia awal minggu ini, sembilan rakyat Malaysia masih disekat keluar daripada Korea Utara yang terdiri daripada tiga kakitangan Kedutaan Malaysia di Pyongyang dan ahli keluarga mereka.

Lewat Khamis, tidak ada sebarang kenyataan  rasmi mengenai sama ada Malaysia akan membenarkan  rakyat Korea Utara yang tinggal atau bekerja di negaranya akan dibebarkan keluar daripada negara itu.

Kesemua sembilan rakyat Malaysia adalah dalam keadaan baik, kata Najib dalam laman Facebook selepas beliau bercakap melalui telefon dengan Mohd Nor Azrin, kaunselor di Kedutaan Malaysia di Pyongyang.

"Saya ingin menyatakan bahawa beliau, keluarganya bersama-sama dengan semua rakyat Malaysia yang lain di Korea Utara adalah selamat, Alhamdulillah," kata Najib.

"Saya ingin memberi jaminan saya bahawa kerajaan akan dan sedang melakukan semua yang boleh untuk memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat tidak lama lagi. Seluruh rakyat Malaysia berdoa untuk mereka, "katanya.

Kerajaan Korea Utara telah memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Malaysia di Pyongyang dengan berkata, mereka "bebas untuk menjalani kehidupan seharian mereka," kata Perdana Menteri.

Bertelagah

Kim Jong Nam pada 13 Feb lalu, dibunuh dengan racun agen saraf yang diharamkan, menurut polis Malaysia, sehingga menggugat hubungan dua hala sejak tahun 1973.

Selain larangan keluar bersama, Malaysia dan Korea Utara pada minggu ini mengusir duta besar dari kedua negara.

Malaysia mengusir keluar Duta Korea Utara Kang Chol kerana tidak memohon maaf selepas dua kali menghentam secara umum siasatan polis Malaysia berhubung pembunuhan Kim Jong Nam.

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan dan mendakwa dua wanita Asia Tenggara dan mengenal pasti tujuh lagi warga Korea Utara sebagai suspek.

Pada Selasa, Najib menyalahkan rejim Korea Utara membunuh saudara tiri pemimpin diktator negara itu – menjadikan kali pertama seorang pegawai Malaysia membuat tuduhan sedemikian. Pegawai-pegawai di Amerika Syarikat dan Korea Selatan juga menuduh ejen Pyongyang berada di belakang pembunuhan Kim.

"Apa yang kita sedang hadapi sekarang adalah hasil daripada tindakan mereka dalam membunuh rakyat mereka sendiri di Malaysia, di bumi Malaysia, dengan menggunakan senjata kimia yang diharamkan," kata Perdana Menteri.

Persengketaan itu lebih tertumpu kepada keengganan Malaysia untuk melepaskan mayat Kim sehingga keluarga terdekat mangsa datang ke hadapan untuk menuntut mayat dan memberikan polis sampel DNA yang diperlukan untuk mengenal pasti secara positif.

Hampir sebulan selepas pembunuhan itu, tidak ada kaum keluarga yang tampil ke hadapan, menurut pegawai-pegawai Malaysia.

Pada Rabu, video seorang lelaki muda yang mengaku sebagai anak Kim, muncul apabila kumpulan yang menamakan diri Cheollima Civil Defense menyiarkannya secara online.

Cheollima Civil Defense, kumpulan yang menyiarkan video tersebut, mendakwa menjaga rakyat Korea Utara yang mahu mendapatkan perlindungan. Kumpulan itu berkata dalam laman web bahawa ia telah menerima "permintaan kecemasan daripada ahli keluarga Kim Jong Nam yang ingin melepaskan diri dan meminta perlindungan."

"Nama saya Kim Han Sol dari Korea Utara, ahli  keluarga Kim  ... Bapa saya telah dibunuh beberapa hari lalu. Saya kini dengan ibu saya dan adik saya, dan kami amat berterima kasih ... Kami berharap keadaan ini menjadi lebih baik tidak lama lagi, "kata pemuda itu dalam klip video tidak bertarikh, yang telah disunting.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.