Pembunuhan Kim: Isteri Minta China Tuntut Mayat

Anis Natasha & Fadzil Aziz
2017.02.16
Kuala Lumpur
170216-my-nk-kimjongnam-620.jpg Seorang lelaki yang dipercayai Kim Jong-Nam, anak sulung pemimpin Korea Utara mendiang Kim Jong-Il, berjalan melepasi wartawan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, 10 Feb 2007.
AFP

Kemaskini pada 10.30 p.m ET - 2017-2-16

China telah diminta untuk menuntut mayat abang tiri pemimpin Korea Utara yang didakwa dibunuh di sebuah lapangan terbang di Malaysia, menurut satu sumber pada Khamis.

Isteri kedua Kim telah meminta kerajaan China melalui kedutaannya di Kuala Lumpur supaya menuntut mayat Kim Jong-Nam susulan bedah siasat yang dijalankan, menurut sumber kepada BeritaBenar.

Kim mati dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan memberitahu kakitangan perubatan bahawa seorang wanita telah menyerangnya dengan semburan bahan kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin.

Ketika itu, beliau hendak menaiki penerbangan ke sebuah wilayah China, Macau, di mana, menurut laporan media Korea Selatan, beliau menjalani kehidupannya dengan Lee Hye Kyong di bawah perlindungan Beijing.

"Kami telah dimaklumkan bahawa keluarganya di Macau telah membuat permintaan untuk menuntut mayatnya," kata sumber itu kepada BeritaBenar, dan memberitahu mayat itu hanya akan diserahkan selepas laporan bedah siasat menyeluruh disediakan dengan menyatakan punca kematiannya.

Kedutaan China tidak memberikan sebarang ulasan, tetapi seorang jurucakap Kementerian Luar berkata di Beijing pada Rabu bahawa China menyedari tentang  laporan pembunuhan itu dan mengikuti rapat perkembangannya.

Perintah tetap

Agensi perisikan Korea Selatan berkata ejen wanita yang bekerja untuk Pyongyang telah meracuni Kim ketika beliau bersiap sedia untuk menaiki satu penerbangan. Sumber-sumber kerajaan Amerika Syarikat juga percaya bahawa ejen Korea Utara membunuh Kim Jong-Nam.

Kim telah merayu kepada adik tirinya yang juga pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un pada lima tahun lalu supaya menarik balik perintah tetap bagi pembunuhannya, kata agensi perisikan Seoul. Pemimpin itu didakwa percaya bahawa abangnya itu boleh digunakan dalam mana-mana usaha untuk mengguling rejim beliau.

Korea Utara tidak membuat sebarang ulasan berhubung kematian Kim.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita di Kuala Lumpur pada Khamis bahawa mayat Kim  akan diserahkan kepada keluarga atau kedutaan Korea Utara selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai dijalankan.

Pada Rabu, sumber yang rapat dengan penyiasatan kes itu memberitahu BeritaBenar bahawa Korea Utara telah meminta kerajaan Malaysia untuk menyerahkan mayat mangsa tanpa bedah siasat.

"Tetapi kami menolak permintaan mereka," kata pegawai itu.

Tidak jelas bagaimana Malaysia akan mengendalikan permintaan berhubung penyerahan mayat itu di tengah-tengah dakwaan berlakunya pembunuhan.

Lebih ramai ditahan

Pada Khamis, Pegawai Malaysia mengesahkan bahawa seorang lelaki, yang didakwa dibunuh di sebuah lapangan terbang utama di negara itu tiga hari lalu, adalah abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, dan mengumumkan mengenai dua lagi tangkapan berhubung dengan kes itu.

Polis berkata, mereka telah menahan "seorang lagi suspek wanita yang dipercayai terlibat dengan kematian seorang lelaki Korea pada 13 Februari 2017" dan dia dinamakan sebagai Siti Aishah, 25, dari Serang, Indonesia.

"Dia dikenal pasti secara positif pasti daripada rakaman CCTV di lapangan terbang itu dan bersendirian ketika tangkapan dilakukan," kata satu kenyataan polis. Ia tidak mendedahkan lokasi penangkapan itu.

Polis kemudian berkata mereka telah menahan teman lelaki Siti, seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Muhammad Farid bin Jalaluddin, berusia 26 tahun, "untuk membantu siasatan" kes itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata identiti Kim Jong-Nam dikenal pasti selepas pasport lelaki itu dibandingkan dengan dokumen yang disediakan oleh kedutaan Korea Utara.

"Identiti beliau telah disahkan daripada pasport yang kita bandingkan dengan dokumen yang dikeluarkan oleh Kedutaan Korea Utara serta dengan identiti yang dikeluarkan oleh kedutaan itu," katanya yang dipetik sebagai berkata demikian oleh agensi berita Malaysia, Bernama.

Pasport itu adalah sahih, kata Ahmad Zahid pada Khamis.

Pada Isnin, seorang lelaki yang memegang pasport Korea Utara yang tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan memberitahu kakitangan perubatan bahawa seorang wanita telah menyerangnya dengan semburan bahan kimia.

Bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa selesai dilakukan di Hospital Kuala Lumpur tetapi pihak berkuasa masih belum mengumumkan hasil bedah siasat itu.

"Untuk pengesahan DNA, ia akan mengambil masa, biarlah polis dan pakar-pakar perubatan mengesahkan perkara ini," Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata dalam laporan New Straits Times ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya selepas pertemuan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia.

Direman

Lelaki Korea itu sedang menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin apabila seorang wanita tiba-tiba menghampirinya dan menekup sekeping kain ke mukanya, kata polis kepada pemberita dengan memetik rakaman CCTV. Suspek dan seorang lagi wanita kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Pada Rabu di klia2, polis menahan seorang suspek yang dikenal pasti dalam dokumen perjalanannya sebagai Doan Thi Huong yang berusia 28 tahun dari Vietnam.

Ketua Polis Selangor Abdul Samah Mat memberitahu media bahawa kedua-dua suspek itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa Malaysia juga sedang mencari sekurang-kurangnya empat suspek lelaki lain.

Ahmad Zahid memberitahu pemberita bahawa mayat Kim akan diserahkan kepada anggota keluarganya atau kedutaan itu selepas  semua prosedur polis dan perubatan selesai dijalankan.

"Setakat ini, tiada permintaan rasmi, tetapi mereka mungkin menyalurkan permintaan kepada kedutaan Korea Utara," katanya, merujuk kepada anggota keluarga mangsa.

Jaminan keselamatan

Ahmad Zahid berkata kematian lelaki Korea itu tidak menjejaskan hubungan dua hala di antara Korea Utara dan Malaysia, menurut laporan Bernama. Beliau turut mempertahankan tahap keselamatan di lapangan-lapangan terbang di Malaysia dan berkata perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Malaysia adalah antara negara dalam senarai kecil yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim komunis di Pyongyang di bawah sekatan global berhubung usahanya melaksanakan pelancaran senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang, dengan tindakan terbaru dilakukan pada hujung minggu lalu.

"Ahmad Zahid juga memberi jaminan berhubung keselamatan di lapangan-lapangan terbang Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, dengan berkata ia adalah di tahap tertinggi dan bahawa kematian itu adalah kes terpencil," lapor Bernama.

"Ahmad Zahid berkata pada mesyuarat Kabinet semalam, ia menegaskan bahawa kerajaan akan melindungi pelawat yang mengunjungi  negara ini dan tidak akan berkompromi dengan isu-isu keselamatan yang dicetuskan rakyat Malaysia atau warga asing," menurut laporan itu.





 

Seorang kakitangan forensik Malaysia berjalan keluar dari sayap Unit Forensik di Hospital Kuala Lumpur yang menempatkan mayat seorang lelaki Korea Utara yang dipercayai Kim Jong-Nam, 16 Feb 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.