Malaysia Akur Dengan Tekanan Dalam Selesaikan Krisis Korea Utara: Penganalisis

S.C. Lei
2017.04.04
Kuala Lumpur
170404-MY-northkorea-620.jpg Anggota-anggota Polis Malaysia mengawal di luar Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur semasa perhimpunan oleh aktivis tempatan, 10 Mac, 2017.
[AFP]

Dalam menyelesaikan krisis diplomatik berikutan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara di Malaysia, Kuala Lumpur tidak mempunyai pilihan selain bersetuju untuk menghantar mayat mangsa dan tiga suspek ke Korea Utara sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Pyongyang , kata penganalisis kepada BeritaBenar.

Kerajaan Malaysia berdepan tekanan apabila ia terpaksa mengutamakan kebajikan sembilan rakyatnya, yang terperangkap di Korea Utara selama lebih tiga minggu berikutan larangan keluar dari negara itu, berbanding dengan pertimbangan lain, kata beberapa pakar hubungan antarabangsa dalam menilai keputusan yang dibuat Malaysia dan masa depan hubungan dua halanya dengan Korea Utara.

Krisis enam minggu itu berakhir minggu lalu, apabila Malaysia bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam dan tiga rakyat Korea Utara, yang pada mulanya dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai antara sekurang-kurangnya tujuh lelaki Korea Utara yang dikehendaki berkaitan dengan pembunuhan Kim menggunakan racun di lapangan terbang di kawasan Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.

Malaysia membuat pertukaran itu walaupun ketua polis telah berikrar untuk membawa pelaku pembunuhan itu ke muka pengadilan dan perdana menteri telah, semasa kemuncak krisis itu, menuduh ejen kerajaan Korea Utara mendalangi pembunuhan tersebut.

"Apa sebenarnya hasil yang diharapkan? Yang menjadi taruhan adalah kebebasan dan mungkin nyawa sembilan rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak, "kata Shahriman Lockman, seorang penganalisis kanan bagi Program Kajian Dasar Luar dan Keselamatan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, kepada BeritaBenar.

"Tiada siapa yang boleh mengukur sejauh mana kesediaan Korea Utara untuk bertindak, berapa banyak yang sanggup mereka harungi bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan. Apa yang akan anda lakukan jika berada dalam situasi seperti itu? Mahukah anda ambil risiko? Keputusannya mungkin kurang optimum, tetapi inilah dunia sebenar, " kata beliau.

Ahn Sang Wuk, profesor madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, menyuarakan pendapat yang sama.

"Keutamaan kerajaan Malaysia ialah membawa rakyatnya [di Pyongyang] kembali ke tanah air," kata Ahn, warganegara Korea Selatan, yang menyamakan krisis baru-baru kepada situasi menahan tebusan.

"Jika Korea Utara tidak menahan rakyat Malaysia seabgai tebusan, maka Malaysia tidak akan mempertimbangkan tentang menggantung hubungan diplomatiknya dengan Pyongyang."

'Bangkitkan kesedaran'

Kim telah dibunuh dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa, menurut polis Malaysia, dan persoalan mengenai siapa yang boleh menuntut hak penjagaan mayatnya mencetuskan sengketa dalam pertikaian itu yang menggoyahkan hubungan dua hala sejak 1973. Semasa pertikaian itu, kedua-dua negara telah mengusir duta, membeku program bersama membenarkan rakyat memasuki negara tanpa visa dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat yang berada di negara satu sama lain.

Dalam satu kenyataan bersama pada minggu lepas, kedua-dua negara mengumumkan bahawa krisis itu sudah berakhir, dan berkata mereka bersetuju untuk menarik balik larangan keluar negara satu sama lain secara timbal balas dan akan membincangkan tentang mengadakan semula program bersama kemasukan tanpa visa itu.

Sejak itu, Perdana Menteri Najib Razak berkata, hubungan dua hala kekal utuh dan, pada hujung minggu lalu, Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Malaysia akan terus membuka kedutaannya di Pyongyang dan berharap Pyongyang akan berbuat demikian di Malaysia. Bagaimanapun, pada  Selasa ia masih belum jelas sama ada Malaysia akan menghantar dutanya ke Korea Utara kembali ke Pyongyang.

Pada pandangan Shahriman, episod sekitar pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un di bumi Malaysia, telah membangkitkan kesedaran buat Malaysia mengenai risiko untuk mengekalkan hubungan dengan negara seperti Korea Utara, yang kini diletakkan di bawah program sekatan global yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Episod itu juga telah banyak menjejaskan hubungan dua hala itu, kata beliau.

"Jangan keliru dengan adat tertib diplomatik dan dasar sebenar. Hakikatnya adalah hubungan Malaysia-Korea Utara telah pun melepasi  satu peringkat yang tidak boleh ditarik balik, "kata Shahriman, merujuk kepada kenyataan bersama yang mengumumkan tentang berakhirnya krisis itu.

Tetapi Abdul Muein Abadi, seorang saintis politik yang menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, pula lebih optimistik tentang masa depan hubungan Malaysia dengan Korea Utara dengan berkata, beliau menjangkakan ia akan "pulih secara berperingkat."

"Jelas sekali bahawa penyelesaian itu adalah untuk jangka masa yang panjang. Larangan perjalanan terhadap rakyat Malaysia juga telah ditarik balik. Ia adalah tanda awal dan positif bahawa hubungan dua hala akan kembali pulih," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata,  rasa "saling percaya" itu dijangka kembali pada masa depan kerana rakyat Malaysia yang terperangkap di Korea Utara selama tiga minggu  berkata bahawa mereka dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa di Pyongyang walaupun berlakunya kebuntuan diplomatik.

Ditinggalkan

Krisis itu mungkin sudah berakhir tetapi, selepas kerajaan bersetuju untuk menghantar mayat Kim Jong Nam ke Korea Utara bersama-sama dengan tiga daripada sekurang-kurangnya tujuh suspek Korea Utara, pihak berkuasa Malaysia tidak lagi mempunyai akses kepada mana-mana tujuh suspek Korea Utara itu.

Empat daripada mereka dipercayai telah melarikan diri dari Malaysia pada hari pembunuhan dan satu lagi suspek Korea Utara, ahli kimia yang terlatih, telah dibebaskan dan dihantar pulang ke negaranya kerana tidak cukup bukti, kata polis.

Kini, polis akan berurusan dengan hanya dua suspek, seorang wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam, yang telah dituduh sebagai pembunuh bersama dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Semasa BeritaBenar menghubungi mereka secara berasingan, peguam untuk kedua-dua wanita itu,  Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam, enggan mengulas mengenai bagaimana keputusan Malaysia untuk membenarkan Korea Utara mendapatkan penjagaan terhadap mayat Kim dan tiga suspek Korea Utara itu akan menjejaskan anak guam mereka dalam berdepan kemungkinan dibicarakan kerana membunuh.

Gooi Soon Seng, peguam bagi wanita Indonesia itu berkata, ia adalah "terlalu awal untuk melihat implikasinya."

"Naran Singh (peguam bersama) dan saya melakukan yang terbaik dalam [mewakili] anak guam  kami, dan kami percaya dia mempunyai pembelaan yang baik," kata Hisyam Teh Poh Teik, seorang peguam yang mewakili wanita Vietnam itu, memberitahu BeritaBenar.

Hadi Azmi menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.