Pendakwa Raya: Tiada Motif Politik Perbicaraan Ahli Perniagaan Korea Utara
2019.12.06
Kuala Lumpur, Malaysia
Pendakwa raya Malaysia pada Jumaat menolak dakwaan adanya motif politik di sebalik perbicaraan ahli perniagaan Korea Utara yang menghadapi kemungkinan diekstradisi ke Amerika Syarikat berhubung pertuduhan pengubahan wang haram.
Mun Chol Myong, 54, yang tinggal di Malaysia bersama-sama keluarganya selama sedekad semasa terlibat dalam urusan perniagaan di China, ditangkap pada 13 Mei selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat meminta dia diekstradisi kerana didakwa melanggar sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Pyongyang . Lelaki itu ditahan di Kuala Lumpur sejak itu dan menghadiri beberapa perbicaraan mahkamah.
"Penghujahan kami ialah: Ini adalah kes pengubahan wang haram dan ia tidak mempunyai sebarang watak politik seperti yang dikatakan pihak lain," kata pasukan pendakwa raya tiga anggota itu kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Peguam bela lelaki Korea Utara itu, Jagjit Singh, memberitahu mahkamah pada September bahawa permintaan ekstradisi Washington adalah tidak berasas.
Beliau menggambarkan anak guamnya sebagai "gadaian" dalam pertelingkahan Pyongyang dan Washington.
"Pada pandangan saya [permintaan ekstradisi] adalah semata-mata berdasarkan politik," kata Jagjit kepada pemberita ketika itu.
Malaysia telah meluluskan ekstradisi Mun, tetapi dia mencabar dakwaan itu di mahkamah. Dalam afidavitnya, Mun menafikan dakwaan FBI bahawa dia adalah "pemimpin kumpulan jenayah terancang antarabangsa yang terlibat dalam pembersihan hasil daripada penipuan bank."
Kes itu berkaitan dengan pekerjaan Mun pada 2014 sebagai pengurus pembangunan perniagaan dengan sebuah syarikat yang berpusat di Singapura, yang membekalkan barangan ke Korea Utara.
Pendakwa raya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa antara tahun 2014 dan 2017, Mun telah mencairkan dana melalui syarikat-syarikat hadapan dengan menggunakan dokumen palsu, dan dia menghantar "barangan terkawal" ke Korea Utara.
Mun, yang permintaan ikat jaminnya ditolak oleh hakim, sedang menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi pengubahan wang haram.
Pada Jumaat, seorang lagi peguam bela Mun iaitu Akberdin Abdul Kader memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan terhadap ahli perniagaan Korea Utara itu belum dibuktikan di mahkamah, dan mengekstradisinya ke Amerika Syarikat akan melanggar hak asasi lelaki itu.
"Satu fakta yang jelas ialah Mun tidak pernah menjejakkan kakinya di bumi AS dan tidak pernah membuat sebarang urus niaga dengan mana-mana syarikat di negara itu," kata Akberdin.
Sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Amerika Syarikat percaya bahawa Mun telah melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang bertujuan menghalang Korea Utara daripada memperoleh dana yang boleh disalurkan untuk program nuklear Pyongyang.
Pada Ogos, Singapura mendakwa tiga orang yang dikaitkan dengan SinSMS Pte. Ltd, sebuah firma di negara pulau itu yang bergabung dengan Dalian Sun Moon Star International Logistics Trading Co. yang berpangkalan di China, atas pertuduhan melanggar sekatan PBB. Mereka dituduh melakukannya dengan memudahkan penghantaran alkohol bernilai 600,000 dolar Singapura (A$432,384) ke Korea Utara.
Pertuduhan itu dibuat selepas Jabatan Perbendaharaan A.S. membuat pengumuman pada Ogos 2018 untuk menyekat dan menamakan syarikat, pelabuhan dan kapal yang memudahkan penghantaran haram serta memberikan aliran pendapatan kepada rejim Korea Utara, terutama entiti yang berpangkalan di China, Singapura dan Rusia.