Malaysia Bekerjasama Dengan Pakar Senjata Kimia Antarabangsa Berhubung Pembunuhan Kim, Kata Kerajaan
2017.03.03
Kuala Lumpur
Malaysia pada Jumaat berkata ia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa senjata kimia di The Hague berhubung dakwaannya bahawa Kim Jong Nam dibunuh dengan menggunakan agen saraf VX.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas seorang diplomat Korea Utara menolak laporan toksikologi Malaysia dan menyarankan "pakar-pakar kimia antarabangsa" ditanya berhubung penemuan itu.
"Kementerian berhubung rapat dengan OPCW [Pertubuhan Larangan Senjata Kimia] mengenai kejadian itu baru-baru ini, dan pertubuhan itu menyediakan Malaysia dengan beberapa bahan teknikal yang telah diminta bagi membantu siasatan," kata kenyataan Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Pertubuhan Larangan Senjata Kimia yang berpangkalan di Netherland “telah menyatakan komitmennya untuk memberikan bantuan seperti yang dikehendaki," kata kenyataan itu.
Pyongyang pada Khamis telah meminta kerajaan Malaysia supaya menghantar sampel bahan yang ditemui pada mayat Kim Jong Nam untuk pengesahan OPCW.
Ri Tong Il, diplomat Korea Utara yang mengetuai delegasi khas ke Kuala Lumpur, menolak laporan toksikologi Malaysia dengan berkata lelaki Korea Utara itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Beliau berkata pakar-pakar antarabangsa "sebulat suara" bertanya bagaimana dua wanita, yang telah dituduh dengan kesalahan membunuh Kim, boleh menyapu bahan yang amat toksik itu pada muka mangsa tetapi mereka masih selamat.
"Dan terdapat satu lagi permintaan sebulat suara oleh pakar-pakar kimia antarabangsa, yang sekiranya benar ia telah digunakan, oleh itu, sampel berkenaan perlulah dihantar ke pejabat OPCW," katanya lagi.
"Dan sekiranya ia dibuktikan oleh dua makmal antarabangsa berbeza, dengan kesimpulan yang sama, maka mereka haruslah tampil untuk mengenal pasti siapa yang telah melakukannya."
Diharamkan
Kenyataan Kementerian Luar itu menegaskan bahawa Malaysia telah memberi kerjasama sepenuhnya dan mematuhi semua peraturan OPCW.
"Malaysia tidak menghasilkan, mempunyai simpanan stok, mengimport, mengeksport atau menggunakan mana-mana kimia toksik Jadual 1 termasuk VX, dan telah membuat deklarasi tahunan yang berkenaan kepada OPCW,” katanya.
Pihak berkuasa sedang menyiasat bagaimana bahan yang diharamkan itu dibawa masuk ke Malaysia, kata Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar kepada pemberita baru-baru ini.
Kementerian Luar melahirkan kebimbangannya berhubung penggunaan bahan yang PBB senaraikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran di Malaysia.
"Kementerian mengutuk keras penggunaan senjata kimia seperti itu oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Penggunaannya di tempat awam boleh membahayakan orang ramai, "katanya.
Suspek dilepaskan
Para pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah menuduh ejen Korea Utara mendalangi pembunuhan Kim Jong Nam. Adiknya Kim Jong Un didakwa mengeluarkan perintah tetap supaya abangnya dibunuh kerana bimbang beliau boleh dipergunakan dalam mana-mana penggulingan rejim kejamnya.
Satu-satunya rakyat Korea Utara yang ditangkap setakat ini berhubung dengan pembunuhan itu telah dipindahkan ke Jabatan Imigresen pada pagi Jumaat, kata seorang pegawai polis. Dia dijangka dihantar pulang ke negara asalnya pada hari yang sama.
Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali pada Khamis mengumumkan bahawa Ri Jong Chol akan dibebaskan kerana kekurangan bukti, kemudian dihantar pulang atas kesalahan imigresen.
Tahanan remannya selama 14 hari tamat pada Jumaat; dua hari selepas dua wanita Asia Tenggara didakwa membunuh dalam serangan itu. Polis Malaysia sedang mencari sekurang-kurangnya tujuh lagi suspek warganegara Korea Utara.
Kedua-dua wanita itu didakwa menghampiri Kim Jong Nam sebelum menyapu agen saraf VX pada mukanya semasa beliau bersedia untuk menaiki penerbangan ke Macau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu.
Pada hari kejadian itu, Ri Jong Chol memandu empat lelaki Korea Utara itu ke lapangan terbang Kuala Lumpur itu, kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang rapat dengan siasatan itu kepada BeritaBenar.
Nama keempat-empat lelaki itu disenaraikan dalam kertas pertuduhan, yang dikeluarkan oleh polis pada Rabu, sebagai rakan penjenayah dalam pembunuhan itu, kata sumber berkenaan. Tetapi mereka meninggalkan Malaysia pada hari kejadian dan kembali ke Korea Utara, menurut polis.
"Dia berada di sini dan sepatutnya bekerja di sebuah syarikat tempatan tetapi tidak pernah bekerja walau sehari pun di syarikat itu," kata sumber berkenaan mengenai Ri Jong Chol, sambil memberitahu bahawa keluarganya juga akan dihantar pulang.