Ketegangan Malaysia, Korea Utara Terus Meningkat

Fadzil Aziz & S.C. Lei
2017.03.07
Kuala Lumpur & George Town
170307-MY-NK-bilateral-1000.jpg Pegawai Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song berdiri belakang pita polis yang menyekat pintu masuk ke kedutaan itu di Kuala Lumpur, 7 Mac, 2017.
[AFP]

Korea Utara mengumumkan pada Selasa bahawa ia menghalang rakyat Malaysia daripada keluar dari negaranya dan Malaysia membalas tindakan itu dengan mengenakan larangan serupa terhadap pengunjung Korea Utara di negaranya, dengan kedua-dua negara terus meningkatkan persengketaan mereka  berikutan pembunuhan abang tiri Kim Jong Un.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang mengadakan mesyuarat  tergempar Majlis Keselamatan Negara selepas pulang daripada sidang kemuncak negara-negara pesisir Lautan Hindi di Jakarta, mengecam tindakan Korea Utara itu dan meyamakannya dengan menjadikan rakyatnya sebagai tebusan.

“Perbuatan hina ini, dengan menjadikan rakyat kami sebagai tebusan, adalah melanggar prinsip semua undang-undang antarabangsa dan norma-norma diplomatik,” kata beliau pada Selasa.

“Sebagai negara yang cintakan keamanan, Malaysia komited untuk  mengekalkan hubungan baiknya dengan semua negara. Bagaimanapun, melindungi rakyat kami adalah keutamaan saya, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil semua langkah yang perlu apabila mereka diancam," katanya.

Perdana menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Malaysia untuk menyekat "semua rakyat Korea Utara di Malaysia" daripada meninggalkan negara itu "sehingga kami yakin tentang keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara."

Perdana Menteri juga menggesa Korea Utara supaya membenarkan rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan "mengelak sebarang masalah selanjutnya."

Polis Malaysia mematuhi arahan itu dengan memasang penghadang di laluan di hadapan Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, dan menutup pintu misi diplomatik itu dengan pita kuning "Dilarang Melintas".

Ketegangan terus meningkat

Peristiwa dramatik yang berlaku pada Selasa adalah susulan tindakan Malaysia mengusir duta Korea Utara.

Kedua-dua negara telah menikmati hubungan diplomatik sejak sekian lama hinggalah perbalahan itu meletus bulan lalu. Malaysia adalah antara segelintir negara yang mengekalkan hubungan dengan Pyongyang, yang berada di bawah sekatan antarabangsa berhubung program senjata nuklearnya. Pada Isnin, Malaysia menyertai suara antarabangsa yang mengecam pelancaran empat peluru berpandu balistik Korea Utara.

Pada petang yang sama, Duta Korea Utara meninggalkan Malaysia selepas pegawai Malaysia mengisytiharkan beliau "persona non grata" setelah mengkritik siasatan tempatan terhadap pembunuhan Kim Jong Nam di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu, dan kerana Korea Utara tidak membuat permohonan maaf di atas keceluparan duta itu.

Tidak lama selepas itu, Pyongyang membalas tindakan itu  dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara sebagai tidak diterima secara rasmi. Pada Selasa, rejim di bawah diktator Kim Jong Un mengumumkan bahawa ia menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara.

Kementerian Luar Pyongyang memberitahu Kedutaan Malaysia bahawa larangan keluar itu berkuat kuasa "sehingga keselamatan para diplomat dan rakyat DPRK di Malaysia dijamin sepenuhnya melalui penyelesaian secara adil bagi kes itu yang berlaku di Malaysia," lapor agensi berita negaram Korea Central News Agency, pada Selasa.

Seorang pegawai di Kementerian  Luar Negeri Malaysia berkata, seramai 11 rakyat Malaysia berada di Korea Utara termasuk tiga kakitangan di kedutaannya, dua yang bekerja di sana untuk Program Makanan Dunia PBB, dan keluarga mereka.

"Semua 11 orang ini selamat. Itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini," kata Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, di televisyen nasional pada Selasa.

"Tiada pelancong, tiada pelajar kita di sana. Pada masa ini, Kementerian Luar Negeri terus berhubung dengan mereka. "

'Tidak tergesa-gesa melakukan siasatan'

Sebelum beliau diusir, duta Korea Utara bercakap dua kali di hadapan media dengan mengkritik integriti dan neutraliti siasatan Malaysia terhadap kes meracun Kim Jong Nam dengan agen saraf yang diharamkan, seperti yang ditemukan polis tempatan.

Duta Kang juga berang kerana Malaysia telah menolak permintaan Korea Utara untuk menyerahkan mayat Kim tanpa bedah siasat dan tanpa anggota keluarga terdekatnya tampil  menuntut mayat lelaki itu dan memberikan sampel DNA mereka.

Setakat ini, tiada siapa yang tampil berbuat demikian. Minggu lepas, satu delegasi peringkat tinggi dari Korea Utara tiba di Malaysia untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai tempatan berhubung dengan tindakan mengambil alih mayatnya.

Pegawai Malaysia tidak mengulas lanjut mengenai perbincangan itu. Mereka  masih menunggu anggota keluarga terdekat Kim untuk tampil dan memberi DNA yang diperlukan bagi pengenalan positif mayat itu, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Selasa.

"Kami yakin dapat memperoleh sampel DNA," kata Khalid dalam sidang berita di George Town, Pulau Pinang pada Selasa, di mana beliau menyertai mesyuarat serantau mengenai penguatkuasaan narkotik antarabangsa.

"Ia akan berlaku tidak lama lagi. Atas sebab-sebab keselamatan, kami tidak boleh memberitahu anda, "kata beliau sambil menambah," Kami perlu memberikan mereka [anggota keluarga] masa secukupnya. Kami tidak tergesa-gesa melakukan siasatan. Tetapi, siasatan kami akan selesai  dengan sampel DNA itu. "

Pihak berkuasa Malaysia, sementara itu, menahan dua wanita iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga Vietnam yang telah dituduh di mahkamah sebagai pembunuh  Kim.

Polis juga telah mengenal pasti tujuh rakyat Korea Utara sebagai orang yang dikehendaki untuk disoal siasat dalam kes itu, termasuk setiausaha kedua di kedutaan di Kuala Lumpur dan seorang pekerja di Air Koryo, syarikat penerbangan negara yang dikendalikan Korea Utara.

Kedua-dua lelaki itu dan seorang lagi suspek Korea Utara  dianggap sedang bersembunyi di dalam kedutaan itu, dan para pegawai menunggu mereka keluar di luar kedutaan itu, kata Ketua Polis Negara itu.

"Kami akan menunggu, walaupun ia mengambil masa lima tahun," kata Khalid.

Sementara itu, empat daripada tujuh rakyat Korea Utara itu telah pun meninggalkan Malaysia pada hari pembunuhan Kim dan rakyat  Korea Utara kelapan, seorang ahli kimia terlatih yang ditahan sebagai suspek dalam kes itu, telah dihantar pulang ke negara itu minggu lalu selepas polis melepaskannya kerana kekurangan bukti.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.