Malaysia Beri Masa Kepada Keluarga Kim Jong Nam Tuntut Mayat
2017.03.13
Kuala Lumpur
Malaysia memberi tempoh tiga minggu kepada keluarga Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un untuk menuntut mayat yang ditempatkan di Institusi Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, kata Menteri Kesihatan pada Isnin.
Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan Malaysia akan memutuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya jika mayat itu tidak dituntut dalam tempoh berkenaan.
"Kami berharap ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dan kementerian akan berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Luar berhubung langkah seterusnya jika mayat masih tidak dituntut oleh keluarga Kim Jong Nam,” katanya kepada media selepas perhimpunan kementerian tu di Putrajaya.
Mayat Kim Jong Nam telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan selepas pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat mengesahkan secara rasmi bahawa lelaki yang memegang pasport diplomatik Korea Utara dengan nama Kim Chol adalah Kim Jong Nam.
"Kita tahu bahawa dia mempunyai seorang isteri dan anak, dan sekarang mayatnya telahpun dikenal pasti secara positif, kami berharap mereka akan bertindak balas dan tampil ke hadapan untuk menuntut mayat berkenaan," kata Subramaniam.
Agensi berita Kyodo Jepun pada Ahad telah melaporkan bahawa kerajaan Jepun telah menyediakan untuk Malaysia data cap jari dan maklumat lain mengenai Kim Jong Nam untuk mengenal pasti mayat tersebut.
Laporan akhbar tempatan memetik agensi media jepun itu sebagai berkata, data cap jari itu diperoleh ketika pegawai imigresen Jepun menahan Kim Jong Nam pada tahun 2001 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, apabila dia cuba untuk memasuki negara itu dengan menggunakan pasport palsu.
Pada 13 Feb lepas, Kim Jong Nam dibunuh melalui serangan racun ejen saraf yang diharamkan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2, menurut Polis Malaysia, sehingga menggegarkan hubungan dua hala sejak tahun 1973 lagi.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dan mendakwa dua wanita Asia Tenggara dalam pembunuhan itu termasuk mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Utara sebagai suspek.
Ketegangan diplomatik dua hala meningkat apabila Malaysia enggan melepaskan mayat Kim tanpa keluarga terdekat tampil ke hadapan untuk menuntut mayat serta memberi DNA yang diperlukan untuk mengenal pasti dengan positif.
Berikutan itu, kedua-dua negara mengusir keluar duta besar yang ditempatkan di negara satu sama lain. Pada awal Selasa lalu, Pyongyang menghalang warganegara Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara sementara Malaysia membalas tindakan itu dengan mengenakan larangan sama terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.
Tidak cetus peperangan
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammuddin Hussein pada Isnin menegaskan bahawa hubungan diplomatik dengan Korea Utara yang ketika ini tegang, tidak akan mencetuskan peperangan.
“Walaupun hubungan kita seolah-olah tertekan, ia tidak bermakna akan meningkat sehingga berlakunya peperangan," kata Hishammuddin seperti disiarkan oleh televisyen nasional Malaysia pada Isnin.
Beliau berkata, bagi sebarang kemungkinan, pertahanan Malaysia boleh bergantung kepada "sekutu rapatnya" serta negara yang mempunyai hubungan dua hala.
Kedua-dua negara itu telahpun mempunyai hubungan diplomatik sejak sekian lama sehingga kes pembunuhan itu tercetus. Malaysia merupakan antara segelintir negara yang masih mengekalkan hubungan dengan Pyongyang, walaupun negara itu berada di bawah sekatan antarabangsa berhubung program senjata nuklearnya
Menteri Luar, Anifah Aman berkata rundingan rasmi akan dijalankan dengan kerajaan Korea Utara untuk menyelesaikan pelbagai urusan diplomatik, termasuk membawa pulang sembilan rakyat Malaysia dari Pyongyang.
"Ini merupakan isu sensitif. Oleh itu, kerajaan telah memutuskan bahawa semua rundingan dan perbincangan akan dijalankan secara tertutup, "kata Perdana Menteri Najib Razak dalam blognya pada Rabu lepas.