Malaysia Tangkap Suspek Kes Pembunuhan di Lapangan Terbang

Anis Natasha & Fadzil Aziz
2017.02.15
Kuala Lumpur
170215-MY-suspect-620.jpg Seorang wanita (bebaju putih) dipercayai suspek yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-Nam seperti dapat dilihat di rakaman CCTV Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, 13 Feb, 2017.
[Ihsan pegawai keselamatan KLIA2]

Kemaskini pada 3 p.m ET - 2017-2-15

Polis Malaysia pada Rabu berkata mereka telah menahan seorang suspek wanita yang memegang pasport Vietnam dalam kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un.

Penangkapan itu dilakukan di terminal bajet lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, di mana dua hari sebelum itu, seorang lelaki yang dikenal pasti oleh pegawai Korea Selatan sebagai Kim Jong-Nam mati dalam perjalanan ke hospital selepas seorang wanita dilaporkan menyerang beliau dengan semburan bahan kimia.

"Pada 15 Februari, 2017, pada kira-kira jam 0820, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  2 (KLIA 2). Dia memegang dokumen perjalanan Republik Sosialis Vietnam, " kata kenyataan polis Malaysia itu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur, iaitu hospital kerajaan terbesar dan mempunyai kelengkapan terbaik di Malaysia, di mana bedah siasat sedang dijalankan, sumber polis memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Abdul Aziz Ali berkata, bedah siasat ke atas si mati telah selesai tetapi enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian.

Satu sumber rasmi yang rapat dengan siasatan itu memberitahu BeritaBenar bahawa Korea Utara telah meminta kerajaan Malaysia supaya melepaskan mayat Kim tanpa bedah siasat.

"Tetapi kami menolak permintaan mereka," kata pegawai itu yang biasa dengan kes berkenaan.

Seorang lagi pegawai polis berkata, Malaysia akan meneruskan siasatan mereka dan hanya melepaskan mayat lelaki itu selepas bedah siasat dan prosedur berkaitan selesai dijalankan.

"Insiden ini berlaku di sini, jadi perlu ikut peraturan negara ini," kata pegawai itu.

Pihak berkuasa Malaysia tidak mengesahkan secara rasmi sama ada Kim Jong-Nam adalah lelaki yang mati dalam serangan di lapangan terbang pada Isnin lalu. Setakat ini, mereka telah mengenal pasti mangsa dari pasport beliau sebagai seorang lelaki Korea Utara berusia 46 tahun, dengan nama Kim Chol.

Memburu suspek lain

Suspek itu yang berada dalam tahanan bernama Doan Thi Huong dan berusia 28 tahun berdasarkan kandungan pasportnya, “dikenal pasti secara positif daripada rakaman CCTV di lapangan terbang itu" dan bersendirian ketika dia ditangkap, kata kenyataan itu.

Selain itu, pihak berkuasa Malaysia juga sedang mencari "beberapa lagi" suspek lain termasuk seorang wanita dan empat lagi lelaki yang dipercayai mempunyai hubung kait  dengan pembunuhan itu, akhbar The Star memetik Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim sebagai berkata.

Suspek yang ditangkap itu akan di bawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada Khamis, kata seorang pegawai polis yang tidak mahu namanya disiarkan.

‘Lelaki dibunuh ialah Kim Jong-Nam’: Seoul

Pegawai Korea Selatan pada Rabu berkata, mereka yakin mangsa, yang dikenali sebagai Kim Chol dan berusia 46 tahun berdasarkan maklumat pasportnya, adalah abang terpisah pemimpin Korea Utara, menurut AFP.

"Kerajaan kami pasti bahawa lelaki yang dibunuh itu adalah Kim Jong-Nam," kata Chung Joon-Hee, jurucakap bagi Kementerian Penyatuan Seoul yang menguruskan hal ehwal antara Korea.

"Jika pembunuhan Kim Jong-Nam telah disahkan dilakukan oleh rejim Korea Utara, ini secara jelasnya menunjukkan kekejaman dan tiadanya perikemanusiaan rejim Kim Jong-Un," lapor AFP yang memetik Perdana Menteri Korea Selatan Hwang Kyo-ahn, yang juga pemangku Presiden negara itu, sebagai berkata.

Satu sumber kerajaan Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa Washington amat yakin bahawa ejen Korea Utara yang melakukan pembunuhan itu.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.