Mahkamah Malaysia Tetapkan Pendengaran Kes Ekstradisi Rakyat Korea Utara
2019.07.24
Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang hakim Malaysia telah memutuskan bahawa ahli perniagaan Korea Utara yang tinggal di negara itu dan berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat akan melalui prosiding ekstradisi pada akhir September.
Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah telah menetapkan tarikh bagi pendengaran ekstradisi Mun Chol Myong setelah menolak permohonan untuk membebaskan rakyat Korea Utara itu dengan jaminan, meskipun peguam belanya memberi jaminan bahawa beliau tidak akan melarikan diri.
"Perbicaraan akan bermula pada 20 September," kata Rohatul pada Selasa selepas berbincang dengan pihak pembelaan dan pendakwaan mengenai tarikh perbicaraan.
Mun, 54, adalah seorang ahli perniagaan yang berurusan dengan China dan telah menetap di Malaysia sejak 10 tahun lepas. Sumber BeritaBenar berkata beliau terlibat dalam industri minyak sawit.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan Mun pada 13 Mei lalu, selepas Amerika Syarikat membuat permohonan ekstradisi kerana mendakwa lelaki itu melanggar sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Pyongyang. Beliau telah ditahan di Kuala Lumpur sejak itu dan menghadiri beberapa perbicaraan di mahkamah.
Sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Sesyen, mahkamah yang lebih rendah sudah dua kali menolak permohonan mendapatkan jaminan untuk Mun selepas mendengar hujah peguamnya bahawa rakyat Korea Utara itu sakit dan memerlukan rawatan.
Bulan lalu, sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Amerika Syarikat menganggap pertuduhan terhadap Mun sebagai melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menghalang dana Korea Utara daripada disalurkan kepada program tenaga nuklear dan program senjata nuklear Pyongyang.
Mun berdepan enam pertuduhan termasuk konspirasi dan pengubahan wang haram yang melanggar Kod Amerika Syarikat, menurut laporan Agence France-Presse, yang memetik dokumen FBI [Biro Penyiasatan Persekutuan] seperti dibentangkan di mahkamah.
Pendakwa Raya memberitahu pemberita bahawa Mun didakwa memperdagang "barangan terkawal" dengan Korea Utara antara 2014 dan 2017. Laporan tempatan menyebut lelaki Korea Utara itu telah menjual minuman keras dan barangan mewah semasa lawatannya ke Pyongyang.
Jurucakap Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, yang memantau biro tersebut, pada Rabu sekali enggan mengulas kes Mun kepada BeritaBenar.
Bulan lepas, Majistret Noorasyikin Sahat menolak petisyen jaminan Mun dengan alasan ahli perniagaan Korea Utara itu berkemungkinan besar melarikan diri.
Hakim itu juga menyentuh mengenai hubungan tidak stabil antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan pertikaian diplomatik pada 2017 susulan pembunuhan Kim Jong Nam, saudara tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Malaysia.
"Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa tidak ada sebab untuk membenarkan jaminan," kata Hakim Rohatul pada Selasa.
Peguam Jagjit Singh telah mengemukakan beberapa hujah untuk mendapatkan jaminan.
Beliau berkata Kedutaan Korea Utara telah memberikan jaminan bertulis kepada mahkamah bahawa diplomatnya akan memastikan Mun menghadiri perbicaraan kes itu.
Dokumen yang sama juga telah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara Malaysia, katanya.
Kuasa usaha kedutaan, Kim Yu Song, yang selalu menghadiri prosiding mahkamah Mun, memperkenalkan diri beliau kepada Hakim pada Selasa dan turut mengemukakan kredensi diplomatiknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizul Aswad Masri berkata jaminan itu tidak mempunyai apa-apa kesan kerana tindakan perundangan tidak boleh diambil terhadap pegawai kedutaan berikutan kekebalan diplomatik yang mereka miliki.
"Jaminan kedutaan itu tidak sah," katanya. "Sekiranya mereka memungkiri ikrar mereka, tidak boleh ada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka."
Mun, berpakaian kemeja polo biru gelap dan selipar, kelihatan lemah serta letih sepanjang prosiding yang berlangsung selama tiga jam pada Selasa. Beliau menunjukkan sedikit emosi apabila permohonan jaminan kali ketiga itu ditolak.
Salah seorang peguamnya memberitahu BeritaBenar bahawa pendengaran ekstradisi boleh berlangsung selama dua bulan.
Mun memegang visa pemastautin di bawah program "Malaysia Rumah Kedua," yang membolehkan warga asing tinggal di negara itu selama 10 tahun. Jabatan Imigresen melanjutkan visanya selama 10 tahun lagi pada April lalu.