Korea Utara Putuskan Hubungan Dengan Malaysia Selepas Rakyatnya Diekstradisi Ke Amerika Syarikat
2021.03.19
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2021-03-19
Malaysia pada Jumaat mengarahkan penutupan kedutaannya di Pyongyang susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur berikutan langkahnya mengekstradisi seorang lelaki Korea Utara ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
Hubungan kedua-dua negara menjadi tegang sejak kes pembunuhan berkaitan Pyongyang melibatkan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur empat tahun lalu.
"Kerajaan Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumat.
"Pada masa sama, kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur perlu meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini, 19 Mac 2021," menurut kenyataan itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensi berita Korea Utara, KCNA, pada Jumaat, negara senjata nuklear itu mengumumkan bahawa "ia memutuskan hubungan diplomatik itu secara total" berikutan tindakan Malaysia mengekstradisi rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong, ke Amerika Syarikat pada minggu ini.
Mun, rakyat Korea Utara pertama yang diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah, mendakwa dirinya menjadi mangsa permintaan ekstradisi "bermotifkan politik" yang bertujuan menekan Korea Utara berhubung program peluru berpandunya.
Mahkamah Persekutuan Malaysia pada awal bulan ini menolak rayuan terakhir Mun berhubung ekstradisi itu, di mana dia berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan bersubahat melakukan pengubahan wang.
Korea Utara dalam kenyataannya itu menyatakan bahawa tindakan mengekstradisi Mun - pada 17 Mac seperti yang disahkan pada Jumaat oleh pejabat Menteri Luar Malaysia Hishamuddin Hussein - merupakan "tindakan jenayah yang amat besar ke atas Korea Utara susulan tekanan AS."
Ekstradisi itu dilakukan semasa Korea Utara minggu ini menolak langkah AS untuk menyambung semula perbincangan dengan tujuan untuk menghentikan usaha penghasilan senjata nuklear negara komunis itu.
"Kami ingin memberi amaran awal bahawa AS – pemanipulasi balik tabir dan penyebab utama insiden ini - juga perlu menanggung akibat daripada perbuatannya," menurut kenyataan itu.
Dari Singapura ke Korea Utara
Mun, yang berusia dalam lingkungan 50-an dan tinggal di Malaysia sejak 2008, telah ditangkap pada Mei 2019 selepas AS menuduhnya membekalkan barangan larangan dari Singapura ke Korea Utara, yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatua (PBB).
Dia didakwa melakukan pengubahan dana menerusi sejumlah syarikat, dan mengeluarkan dokumen palsu untuk menyokong penghantaran haram ke Korea Utara, ketika dia bekerja di Singapura sebelum berpindah ke Malaysia pada 2008.
Tetapi, Pyongyang dalam kenyataannya mendakwa bahawa Mun terlibat dalam aktiviti perdagangan luar yang sah di Singapura selama beberapa tahun.
"Oleh itu, ini adalah penipuan yang tidak masuk akal untuk menyatakan bahawa dia terlibat dalam pengubahan wang haram."
Pyongyang menuduh sistem kehakiman Malaysia gagal membuktikan kesalahan Mun, walaupun telah berulang kali diminta berbuat demikian oleh Kedutaan Korea Utara dan peguam Mun.
Korea Utara, dalam kenyataan itu, mendakwa bahawa tanpa memberikan sebarang bukti mengenai perkara itu, pegawai perundangan Malaysia dibayar oleh pegawai AS untuk melakukan ekstradisi tersebut, selain Putrajaya dijanjikan bekalan senjata dan peralatan ketenteraan percuma oleh Amerika Syarikat.
Ketika dihubungi oleh BeritaBenar, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Mun berkata beliau tidak tahu menahu mengenai tindakan mengekstradisi anak guamnya. Beliau berkata Kedutaan Korea Utara mungkin telah diberitahu mengenainya.
'Keputusan Tidak Perlu, Tidak Wajar'
Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa ia "amat kesal" dengan keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik itu yang terjalin selama 48 tahun.
"Malaysia mengecam keputusan itu yang dianggap sebagai tidak wajar dan tidak membina serta tidak menghormati semangat saling menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa."
Negara Asia Tenggara itu telah memberi tempoh 48 jam kepada kakitangan Kedutaan Korea Utara dan keluarga mereka di Kuala Lumpur untuk meninggalkan negara itu.
Malaysia menangguhkan operasi kedutaannya di Pyongyang pada 2017 setelah berjaya memastikan sembilan rakyatnya yang ditahan di Pyongyang, dapat pulang dengan selamat sebagai pertukaran bagi pelepasan mayat Kim Jong Nam.
Hubungan Malaysia yang pernah erat dengan Korea Utara terjejas susulan pembunuhan Kim Jong Nam menggunakan agen saraf larangan di sebuah lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.
"Malaysia sentiasa menganggap Korea Utara sebagai rakan karib sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1973," kata kenyataan itu, dan menambah bahawa Malaysia terus menyokong Korea Utara walaupun ketika masa sukar termasuk selepas pembunuhan ‘menyedihkan’ Kim Jong Nam pada 2017.
Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh Pyongyang itu adalah tidak perlu, tidak wajar dan pastinya menjejaskan usaha ke arah pemupukan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau itu, kata kenyataan itu.
Ia turut menyatakan bahawa sabitan dan ekstradisi Mun telah dibuat mengikut prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang, selain kerajaan Malaysia telah mengetepikan siri nota diplomatik daripada Korea Utara yang mendesak kerajaan campur tangan dalam sistem kehakiman dan perundangan Malaysia.
"Ekstradisi itu hanya dilakukan selepas semua proses perundangan selesai dilaksanakan [dan] hak Mun Chol Myong ketika berada dalam tahanan Malaysia juga dijamin dan dipenuhi, termasuk beliau boleh berhubung dengan peguam belanya serta mendapatkan bantuan konsulat dan menerima lawatan keluarganya.”
S. Adie Zul di Pulau Pinang turut menyumbang kepada laporan ini.