Koronavirus: Malaysia Sekat Sementara Kemasukan Warga China dari Wuhan, Hubei

Nisha David & Noah Lee
2020.01.27
Kuala Lumpur, Malaysia
200127-MY-Virus-Ban01-620.jpg Pegawai Kesihatan Malaysia mengedarkan pamplet kempen pencegahan wabak koronavirus kepada pelancong yang tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor, 27 Januari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mengumumkan penangguhan sementara pemberian visa dan kesemua kemudahan imigresen buat pelawat dari Wilayah Hubei dan ibu negaranya Wuhan serta kawasan sekelilingnya dalam usaha membendung wabak koronavirus yang sehingga kini sudah menjangkiti ribuan individu dan menyebabkan 81 kematian di China.

Jabatan Perdana Menteri pada lewat petang Isnin mengumumkan keputusan Putrajaya untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen dari bandar dan wilayah itu dengan serta mereka di mana Malaysia telah mencatatkan 4 kes setakat ini manakala 5 kes baru yang disyaki dijangkiti koronavirus masih dalam pemantauan.

“Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di sekelilingnya.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel ko2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya berkuatkuasa serta merta, " kata kenyataan media itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya itu juga berkata, kerajaan Malaysia telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar dalam menghadapi dan menbendung jangkitan daripada merebak luas.

Dengan pengantungan sementara ini, semua rakyat China dari bandar dan wilayah terbabit yang mahu memasuki negara ini tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia walaupun dipohon secara manual.

Sebelum ini warga China dan India mendapat pelepasan khas di mana mereka boleh melawat Malaysia tanpa visa.

Dalam satu warta kerajaan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri pada 23 Disember lepas memaklumkan bahawa selaras dengan Akta Passport 1966, kerajaan membenarkan pelawat dari China memasuki Malaysia untuk melancong atau lawatan sosial bagi tempoh 15 hari, menerusi pelaksanaan eNTRY, iaitu kemudahan tanpa visa.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Isnin itu juga memberitahu yang kemudahan imigresen yang digantung akan diberikan semula selepas keadaan kembali pulih dengan Wisma Putra sedang menyelaras pelaksanaan keputusan tersebut dengan kerajaan China.

Arahan terbaru itu walaubagaimanapun tidak membabitkan warga China yang sudah memasuki Malaysia.

“Mereka tidak terkesan. Hanya yang mahu memasuki Malaysia dari dua tempat yang dinyatakan itu sahaja yang akan dihalang memasuki negara,” kata Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin.

Sementara itu, sumber kerajaan yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap dengan media memberitahu BeritBenar bahawa keputusan kerajaan itu adalah hasil dari pemantauan terhadap situasi semasa melibatkan jangkitan koronavirus tersebut dan bukannya hasil desakan dari orang ramai.

“Semua orang bekerja keras untuk memastikan kerajaan membuat keputusan yang terbaik untuk negara. Kita dapat nasihat dari dalam dan luar negara berkenaan perkara ini dan keputusan hari ini seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kepada media adalah berikutan perkembangan terbaru kes wabak itu. Ini semua adalah SOP(standard operating procedure),” kata sumber itu.

Lima kes baru yang disyaki dijangkiti koronavirus yang kini masih dalam pemantauan adalah melibatkan warga China dengan keputusan makmal bagi kesemua kes tersebut masih belum diterima, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pemantauan suhu badan pelancong asing yang tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuat melalui saringan komputer menggunakan alat pengimbas haba, di Sepang, Selangor, 27 Januari 2002. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Saringan diperketatkan

Sebanyak 38 jumlah kumulatif kes melalui Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) direkodkan yang membabitkan 18 rakyat tempatan, 19 warga China dan seorang rakyat Jordan, demikian menurut Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad pada Isnin..

“Daripada  jumlah  PUI itu, satu  kes  positif  2019-nCoV, 32 kes PUI adalah negatif (18 rakyat tempatan, 13 warga China dan seorang rakyat Jordan), manakala lima (lima) lagi kes PUI yang kesemuanya warga China, masih menunggu keputusan makmal yang akan diketahui dalam masa yang terdekat. Sehingga kini, sebanyak 20 kes PUI masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil,” kata Dzulkefly.

Beliau juga berkata saringan yang dibuat sejak 10 Januari sehingga jam 3 petang Ahad telah membawa kepada seramai 164,692 pengembara yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara sudah menjalani saringan.

Selain dari Malaysia, kes koronavirus turut dikesan di Hong Kong (8), Thailand (8), Macau (6), Amerika Syarikat (5), Australia (4), Singapore (4), Taiwan (4), Perancis (3), Korea Selatan (3),Vietnam (2), Kanada (1), Nepal (1).

Koronavirus menjadi kebimbangan dunia kerana bentuk virus itu dilihat sama seperti SARS, atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk, patogen yang membunuh ratusan orang yang melawat tanah besar China dan Hong Kong sekitar tahun 2002 dan 2003.

Menteri Kesihatan itu juga memberitahu yang sebanyak 12 lagi mesin pengimbas haba akan ditambah di pintu-pintu masuk negara bagi meningkatkan pemantauan penularan wabak 2019-nCoV dengan tertakluk pada kelulusan Kementerian Kewangan.

“Sekarang kita sudah ada 54 tapi ini kita mahu tambah lagi 12 unit pengimbas haba itu untuk diletakkan di pintu masuk di Johor Bahru,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin.

Bagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai pula, virus ini sudah tersebar ke seluruh dunia dan larangan ke atas warga China dari Wuhan tidak akan menjejaskan Malaysia jika maklumat itu disampaikan kepada rakyat China sebelum mereka menempah atau menaiki penerbangan.

"Mudah-mudahan ini merupakan langkah jangka pendek dan China dapat mengatasi isu ini sebelum ia menjadi krisis dunia sebenar. Lebih baik kehilangan pendapatan hasil pelancongan daripada perlu membersihkan kesan jangkitan yang serius yang mungkin tahan lebih lama," katanya kepada BeritaBenar.

Menurut Tourism Malaysia, terdapat 1.55 juta pelancong dari China ke Malaysia pada separuh pertama 2019 dan pada 2018, Malaysia menerima sejumlah 2.94 juta pelancong China ke negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.