Malaysia Hantar Pesawat ke Wuhan Bawa Pulang Rakyat Malaysia, Keluarga

Nisha David
2020.02.03
Kuala Lumpur, Malaysia
200203-MY-CH-AirAsia-Wuhan1000.jpg Pesawat AirAsia AK8264 dari Malaysia selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan, China. 3 Februari, 2020.
[Ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)]

Pesawat komersil yang dihantar oleh kerajaan Malaysia pada Isnin dalam misinya untuk membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka yang terkandas di bandar Wuhan, selamat tiba di negara China itu, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pesawat AirAsia, AK8264 bersama 12 kru dan lapan petugas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Wuhan, pada kira-kira pukul 4.38 petang telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe di Wuhan pada jam 9.01 malam (waktu Malaysia),” menurut pesanan aplikasi WhatsApp yang diterima wakil media daripada NADMA pada lewat malam Isnin. Turut disertakan sekeping gambar menunjukkan yang pesawat berkenaan telah mendarat.

Selain itu, pesawat berkenaan juga membawa bersama 500,000 pasang sarung tangan sebagai bantuan dari kerajaan Malaysia kepada negara China yang sedang berdepan dengan wabak koronavirus 2019-nCoV.

NADMA dalam satu kenyataan media pada awal Isnin berkata kira-kira 141 penumpang yang terdiri daripada 116 rakyat Malaysia dan 25 anggota keluarga mereka terdiri daripada warganegara lain akan dibawa keluar dari Wuhan dengan penerbangan misi membawa pulang itu.

Dalam pada itu, seorang pegawai di Kementerian Luar Negeri Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar berkata, "Mereka yang bukan rakyat Malaysia adalah kebanyakkannya warga China yang berkahwin dengan rakyat Malaysia. Saya tiada pecahannya buat waktu ini,"

Kementerian Luar China pada Ahad mengeluarkan kenyataan media yang mengatakan bahawa Menteri Luarnya, Wang Yi telah menghubungi rakan sejawatannya dari Malaysia melalui perbualan telefon pada Sabtu.

“Wang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menderma bekalan perubatan ke China dan menyatakan penghargaan terhadap kerjasama Malaysia bagi penerbangan khas China untuk membawa pulang rakyat Hubei,” kata kenyataan itu yang merujuk kepada warga China dari Hubei yang berada di Malaysia.

Kata kenyataan itu, Malaysia juga melahirkan simpatinya terhadap China mengenai wabak koronavirus selain menyatakan solidaritinya pada waktu yang sukar itu.

“Malaysia berkongsi pengiktirafan WHO mengenai langkah-langkah tindak balas China yang pantas dan menganggapnya sangat berkesan serta percaya bahawa wabak tersebut hanya bersifat sementara dan China mampu menanganinya dalam masa terdekat,” kata kenyataan Kementerian Luar China itu.

Dikuarantin di tempat selamat

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad berkata, semua warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan akan dikuarantin selama 14 hari sebaik saja tiba di Tanahair.

Katanya, langkah sama turut diambil terhadap kru penerbangan dan pegawai kesihatan serta keselamatan yang membawa mereka pulang. Malah sepanjang tempoh berkenaan, ahli keluarga masing-masing tidak dibenarkan datang melawat.

Beliau berkata, mana-mana individu dibawa pulang itu yang menunjukkan terdapatnya gejala jangkitan akan terus dibawa ke hospital rujukan sama ada Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur.

“Mereka yang tiada gejala akan dibawa ke pusat pemantauan terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas didapati sihat dan negatif jangkitan selepas tempoh 14 hari berlalu.

"Dalam tempoh 14 hari, tidak ada yang boleh menziarahi. Mereka boleh berkomunikasi melalui telefon bimbit,” katanya pada Isnin.

Dzulkefly bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pusat pemantauan yang telah dipilih kerajaan sebaliknya menjelaskan bahawa ianya dilengkapi kemudahan untuk proses terbabit.

Selain itu, beliau menegaskan, orang awam tidak perlu khuatir kerana semua individu berkenaan tidak akan memasuki terminal KLIA.

Menyentuh empat fasa proses membawa pulang pula, katanya, saringan terhadap semua rakyat Malaysia bersama pasangan dan anak mereka akan dilakukan oleh pihak berkuasa China di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan, sebelum dibenarkan menaiki pesawat AirAsia yang melakukan penerbangan misi bantuan kemanusiaan itu.

Katanya, hanya mereka yang didapati sihat akan dibenarkan menaiki pesawat berkenaan manakala yang menunjukkan tanda-tanda gejala virus perlu tinggal di Wuhan untuk menjalani rawatan.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan sepanjang penerbangan terhadap mereka yang dibawa pulang, dan diasingkan ke bahagian belakang pesawat sekiranya didapati mempunyai gejala koronavirus.

“Apabila turun dari pesawat, mereka akan dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk proses dekontaminasi dan saringan kesihatan, termasuk menukar pakaian yang dibekalkan oleh NADMA.

“Ia akan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan sebelum pengurusan untuk membawa mereka ke hospital atau pusat pemantauan,” katanya.

Pusat pemantauan jauh

Sementara itu, jurucakap Nadma berkata, pusat pemantauan itu adalah jauh dan selamat daripada orang awam.

"Di pusat itu juga, kami mewujudkan sistem zon supaya tiada kontak langsung kecuali dengan pasukan perubatan," katanya kepada BeritaBenar.

Ketika ditanya sama ada pusat pemantauan itu di dalam Kuala Lumpur atau di mana-mana pulau terpencil, jurucakap itu enggan mengulas lanjut.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik semua selamat pulang ke sini. Kami akan menjawab semua persoalan itu dalam kenyataan itu esok," katanya melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada BeritaBenar.

Selain itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa enam daripada kakitangan di pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, telah tiba di Wuhan bagi membantu misi tersebut.

“Pasukan enam kakitangan itu terlebih dahulu ke Wuhan bagi menubuhkan sekretariat, menghubungi pihak berkuasa di sana bagi memastikan perjalanan lancar bagi rakyat Malaysia, pelepasan kastam bagi bantuan kemanusiaaan, dan sebagainya. Perkara tersebut berjalan dengan lancar, dengan mendapat kerjasama yang baik dari pihak berkuasa China,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Malaysia sehingga kini merekodkan lapan kes positif koronavirus melibatkan warga dari China dengan wabak itu sehingga kini sudah meragut ratusan nyawa dan menjangkiti lebih dari 9,000 orang di China dengan kematian melebihi 200 orang.

Pada Khamis lepas, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai kecemasan kesihatan dunia.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.