Koronavirus: Malaysia Sahkan Kes Pertama Positif Jangkitan Tempatan

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-06
Share
200206-MY-Koronavirus-wanitatempatah-1000.jpg Jururawat sedang memeriksa suhu pelawat sebagai sebahagian daripada prosedur pemeriksaan jangkitan koronavirus di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Februari, 2020.
[AP]

Seorang wanita dari Sungai Petani, Kedah merupakan pesakit pertama positif koronavirus melalui jangkitan tempatan yang didapati melalui abangnya yang turut dikesan positif pada Selasa lalu, demikian disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] pada Khamis.

Pihak berkuasa Kesihatan Malaysia juga memaklumkan bahawa seorang lagi wanita berusia 37 tahun, berasal dari Wuhan, China yang tiba pada 25 Januari lepas, telah dikesan dijangkiti koronavirus tersebut, yang sekaligus menjadikan kesemuanya 14 orang dilaporkan di negara itu.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata wanita berusia 40 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China telah menjalani ujian pengesanan apabila mengalami gejala demam, sakit tekak dan batuk sejak 1 Februari lepas.

“Beliau telah mendapatkan rawatan dari sebuah klinik swasta bagi gejala yang dialaminya itu dan sebaik sahaja ahli keluarganya iaitu abang beliau didapati positif jangkitan koronavirus, beliau kemudiannya dijejaki oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Hasil ujian pengesanan mengesahkannya positif pada 5 Februari,” katanya kepada media pada Khamis.

Beliau berkata, dengan dua kes terbaru positif koronavirus yang dilaporkan itu, menjadikan jumlah kesemua kes adalah 14, iaitu melibatkan empat rakyat tempatan manakala lapan lagi adalah warga China.

Menurut Menteri Kesihatan itu, wanita tempatan yang dikesan itu kini berada di wad kuarantin di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

“Manakala kes melibatkan wanita warga China yang tiba bersama ibu dan tiga rakannya untuk bercuti, beliau telah dirujuk di Hospital Kuala Lumpur pada Rabu,” katanya sambil menambah yang kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil.

Wabak koronavirus sehingga kini telah menjangkiti 27,636 orang dan menyebabkan 564 kematian keseluruhan dengan jumlah terbesar dilaporkan di China.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata kawalan sempadan negara itu diperketatkan dengan pennambahan bilangan mesin 'thermal scanner' (pengimbas suhu badan) dan makmal untuk mempercepatkan keputusan ujian sampel.

Tambah kemudahan ujian

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) berkata KKM akan memperluaskan kemudahan menjalankan ujian pengesanan koronavirus daripada 18 makmal iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat Makmal Kesihatan Awam di negeri dan 12 makmal hospital kerajaan seluruh negara kepada makmal swasta.

Kerajaan Malaysia juga memperkenalkan lima garis panduan yang boleh diambil oleh majikan dalam mengendalikan isu dan menangani situasi berkaitan penyakit koronavirus terhadap pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata antara lima garis panduan itu adalah majkan disaran mengarahkan pekerja menjalani pemeriksaan segera, dengan perbelanjaan ditanggung majikan dan pemeriksaan dilakukan pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.

“Memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin oleh pengamal perubatan berdaftar, ini tidak kira sama ada pekerja dikuarantin di rumah atau di hospital.

“Majikan digalakkan untuk memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kemasukan ke hospital dan memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara dengan kes koronavirus kerana kewajipan rasmi atau arahan daripada majikan,” kata Menteri itu.

Beliau berkata majikan juga tidak boleh menghalang mana-mana pekerja daripada datang bekerja jika tiada perintah kuarantin dikeluarkan oleh mana-mana pengamal perubatan berdaftar dan mereka bagaimanapun dibenar mengarahkan pekerja yang tidak sihat untuk tidak datang ke tempat kerja dengan menyediakan cuti sakit berbayar kepada pekerja.

Katanya, majikan tidak boleh mengarahkan pekerja, dengan apa cara sekalipun, untuk menggunakan kelayakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh kuarantin.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.