Malaysia: Kehilangan Paderi, Aktivis Semakin Membimbangkan

Ray Sherman
2017.04.14
Kuala Lumpur
170414-MY-missing-620.jpg Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar ketika bercakap kepada wartawan di Pulau Pinang, 7 Mac, 2017.
[AFP]

Lima orang termasuk tiga anggota minoriti Kristian Malaysia dilaporkan hilang dalam beberapa bulan lalu, dengan masyarakat dan kumpulan hak asasi mennggambarkan kes itu sebagai "kehilangan misteri yang belum pernah berlaku sebelum ini" dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Polis telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada mereka, Paderi Raymond Koh Keng Joo, telah diculik pada Februari lalu dan kes-kes lain diklasifikasikan sebagai "orang hilang."

"Keadaan di mana sekurang-kurangnya sebahagian daripada individu  yang dilaporkan telah diculik itu memerlukan kerajaan untuk meningkatkan lagi usaha mencari mereka dan memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan, termasuk mengambil langkah-langkah mencegah kehilangan orang seterusnya," kata Shamini Darshni, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Badan Peguam Malaysia yang berpengaruh berkata, ia berasa ‘’amat bimbang’’ dengan kes kehilangan yang dilaporkan itu dan menganggapnya sebagai "tidak pernah berlaku sebelum ini."

"Adalah mengejutkan dan keterlaluan untuk melihat semakin ramai rakyat Malaysia boleh hilang tanpa sebarang penjelasan dan tidak dijumpai untuk beberapa hari, minggu dan bulan. Ini tidak pernah berlaku di negara ini, sepanjang pengetahuan kami, dan telah membawa kepada persepsi dan spekulasi awam tentang berlakunya kehilangan secara paksa," kata George Varughese, presiden badan peguam itu,  dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu ini.

Dua daripada lima kes hilang itu, yang berlaku sejak November 2016, adalah paderi Kristian, dan dua yang lain adalah aktivis yang terkenal dengan sokongan mereka terhadap isu-isu sosial di Malaysia. Kes terbaru membabitkan apa yang disyaki sebagai penculikan Paderi Raymond Koh di jalan raya di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu. Kejadian itu berlaku pada siang hari di mana kamera CCTV merakamkan beberapa kereta, motosikal dan kenderaan lain menghalang keretanya dan memaksa beliau berhenti sebelum melarikan beliau.

Selain menuntut tindakan segera pihak polis dalam menyelesaikan kes berkenaan, masyarakat juga mengadakan majlis nyalaan lilin buat lima individu yang hilang itu.

Minggu ini, Ketua Polis Malaysia menyelar publisiti dan spekulasi yang dibuat berhubung kes Paderi Koh. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar meminta pihak-pihak berkenaan supaya tidak menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan rakyat.

"Anda hanya meletakkan nayawa paderi dalam bahaya. Kita ada kes di mana penculik akan menahan mangsa selama berbulan-bulan, dan hanya akan bertindak balas apabila mereka fikir ia adalah selamat untuk bertindak balas," kata Khalid kepada sidang berita di Kuala Lumpur pada  Selasa.

"Saya ingin menggesa semua pihak supaya membiarkan kami menjalankan kerja-kerja kami dan tidak meletakkan nyawa paderi dalam bahaya. Saya mahu cakap, tolong diam!" kata Khalid.

Polis berkata, mereka sedang menyiasat kesemua lima kes itu. Mereka menganggap Koh sebagai mangsa penculikan tetapi empat orang yang lain sebagai orang hilang, kata Khalid kepada pemberita.

Mengulas mengenai kes aktivis sosial Peter Chong, yang dilaporkan hilang awal bulan ini, Khalid berkata, polis telah menerima gambar-gambar beliau memasuki Thailand di lintasan sempadan di utara Malaysia.

"Kami mempunyai rekod imigresen dan gambar beliau meninggalkan negara ini. Tidak ada rekod yang menunjukkan bahawa beliau telah kembali ke negara ini, "kata Khalid tentang Chong, menurut laporan akhbar New Straits Times.

"Saya harap beliau akan menghubungi keluarganya untuk memberitahu mereka tentang keadaannya," kata ketua polis itu, sambil menambah kata bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap Chong "jika motif beliau adalah untuk menimbulkan keadaan panik di negara ini."

Kes-kes lain

Individu pertama daripada lima yang hilang itu adalah Amri Che Mat, seorang aktivis sosial, pengasas bersama sebuah badan bukan kerajaan tempatan dan penduduk negeri Perlis, yang hilang pada 24 Nov lalu. Menurut laporan tempatan, kehilangannya mungkin berkaitan dengan agama kerana dakwaan menyatakan bahawa beliau telah menyebarkan ajaran Islam Syiah, yang tidak disukai di negara majoriti Islam Sunni itu.

Saksi melaporkan bahawa mereka melihat lima kenderaan menyekat laluan  jip yang dinaiki beliau, yang kemudian didapati kosong dengan cermin depannya dipecahkan, berhampiran sebuah empangan tempatan.

Kes berikutnya berlaku pada 30 Nov apabila pasangan Kristian, Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Seputih, juga seorang pendakwah Kristian, dilihat kali terakhir di rumah mereka di negeri Selangor. Satu laporan orang hilang, bagaimanapun, hanya difailkan pada 6 Mac, menurut laporan.

Walaupun tidak banyak yang diketahui tentang pasangan itu,  catatan blog mendakwa bahawa Hilmy dan isterinya telah murtad daripada Islam serta memurtadkan umat Islam dengan menukar agama kepada Kristian.

Malaysia mempunyai  kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus  penduduknya. Penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian hidup bersama-sama dengan umat Islam, tetapi hal-hal agama tidak dibincangkan secara terbuka dan dianggap sebagai isu yang sangat sensitif.

Mengenai kes Paderi Raymond Koh, sebuah NGO tempatan yang dipimpinnya, Harapan Komuniti (Hope Communty), telah disiasat oleh pihak berkuasa Islam pada 2011 kerana didakwa mengadakan parti di sebuah gereja dengan turut dihadiri umat Islam, menurut laporan.

Paderi yang hilang itu juga menjadi sasaran dakwaan bahawa beliau telah cuba memurtadkan beberapa belia Islam kepada Kristian, di sebuah negeri di utara. Tuduhan yang dilemparkan terhadap kumpulan itu adalah melakukan murtad, yang dianggap sebagai satu kesalahan di Malaysia, menurut laporan.

Seorang mufti terkenal dari negeri yang sama dengan Amri, Profesor Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata, orang ramai tidak boleh mendakwa bahawa agama itu sebagai faktor dalam kes-kes orang hilang itu kecuali mereka mempunyai bukti kukuh.

"Setiap agama, sama ada Islam atau sebaliknya, hendaklah mematuhi undang-undang negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat. Tiada agama boleh bertindak bersendirian dalam sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang sah seperti Malaysia, "katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah kata bahawa agamanya melarang melakukan penculikan.

"Islam melarang tindakan keganasan dan permusuhan antara agama tanpa alasan kukuh," katanya.

Fairuz Mazlan dan N. Natha menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.