Henti kritik keputusan Lembaga Pengampunan, kata PM Anwar
2024.02.05
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin berkata keputusan mengurangkan separuh hukuman penjara terhadap Najib Razak dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang dan atas ihsan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sambil meminta rakyat Malaysia supaya berhenti mengkritik keputusan tersebut.
Sementara itu, keretakan dalam gabungan pimpinan kerajaan persekutuan, termasuk parti bekas perdana menteri Najib, UMNO jelas kelihatan selepas beberapa anggota parti pakatan Anwar menimbulkan kemarahan dengan mengkritik keputusan hukuman penjara.
"Keputusan (Agong) itu muktamad. Pertimbangan besarnya bukan undang-undang. Pertimbangan itu soal ihsan, dan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’
"Sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang (hak) tuanku," kata Anwar di Putrajaya pada Isnin.
Kenyataan Anwar dibuat selepas banyak pihak mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib pada Jumaat.
Najib telah dihantar ke penjara pada Ogos 2022 selepas mahkamah paling tinggi di Malaysia mengekalkan sabitan jenayah terhadapnya atas kesalahan rasuah menyeleweng dana sebanyak RM42 juta (AS$9.4 juta) dalam kes melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menjadi bekas perdana menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu dakwaan salah guna kuasa, tiga dakwaan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram kerana menerima wang secara salah daripada SRC International, yang merupakan anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB.
Lembaga Pengampunan Malaysia pada Jumaat mengumumkan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan atas kesalahan rasuah daripada 12 tahun kepada 6 tahun, satu langkah yang dilihat penganalisis sebagai tindakan yang mampu menggugat kredibiliti kempen melawan rasuah oleh kerajaan pimpinan Anwar.
Selain tempoh penjara dikurangkan, yang sekaligus menyaksikan Najib dijadual dibebaskan pada penghujung Ogos 2028, lembaga tersebut turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan mahkamah terhadapnya daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta).
Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat bagaimanapun, tidak menyatakan sebarang sebab mengapa ia mengurangkan hukuman terhadap Najib.
Minta penjelasan
Sehubungan itu, desakan dibuat pelbagai pihak, agar Lembaga Pengampunan memberi penjelasan atas keputusan tersebut.
Bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Ram Karpal Singh daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berada dalam kerajaan perpaduan Anwar mendesak Lembaga Pengampunan memberikan penjelasan sambil menyebut pengurangan hukuman itu akan menjejaskan usaha kerajaan melawan rasuah dan memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah.
Badan bukan kerajaan (NGO) G25 yang dianggotai bekas tokoh-tokoh kerajaan pula menyatakan rasa terkejut berhubung pengurangan hukuman itu.
“Memandangkan keseriusan perkara itu yang pastinya akan menjejaskan imej dan kredibiliti negara kita, sama ada di dalam dan luar negara, kami menyuarakan harapan yang mendalam bahawa perkara itu dapat disemak semula pada mesyuarat awal Lembaga Pengampunan untuk membatalkan keputusan untuk memberikan Najib pengampunan separa.
"Kami juga dengan hormatnya meminta Lembaga Pengampunan memberikan alasan bertulis kepada orang ramai untuk keputusan itu, atau sekurang-kurangnya mendedahkan kepada orang ramai, pendapat bertulis Peguam Negara kepada Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Anwar pada perhimpunan sama menyatakan tidak benar bahawa Najib perlu menjalani hukuman selama tiga tahun sebelum permohonan boleh dibuat.
“Ada yang mendakwa bahawa setiap tahanan perlu berada di dalam tahanan minimum tiga tahun. Ini tidak betul. Sesiapa sahaja yang buat pertama kali mengikuti prosesnya boleh kemukakan rayuan dan ia akan didengar,” kata Perdana Menteri itu lagi.
Ini berdasarkan Perkara 113 Peraturan-Peraturan Penjara yang memperuntukkan Lembaga Pengampunan mempertimbangkan hak tahanan atau banduan.
"Apabila rayuan dikemukakan, benar Perdana Menteri memastikan rayuan itu akan didengar, jadi saya memang akui tanggungjawab itu.
"Tapi kalau ditanya mengapa Perdana Menteri mengambil sikap untuk mengemukakan cadangan rayuan daripada Najib Razak begitu awal, saya tegaskan sebaik saja saya dapat mana-mana rayuan saya akan mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan.
"Proses itu mengikut kaedahnya yang saya teliti dalam satu mesyuarat yang saya hadir (9 Dis), apa asas rayuan, memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, keluarga dia, kehidupan dia di penjara, jasa dan khidmat dia baik kepada keluarga atau masyarakat atau dalam kes Najib, negara," tambahnya.
Ujarnya, setiap ahli Lembaga Pengampunan akan memberikan pandangan dan keputusan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi isu nak salahkan Perdana Menteri, (Yang di-Pertuan) Agong, Peguam Negara ataupun Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit. Ini bidang kuasa yang kita berikan sejak merdeka, bahawa yang Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu putuskan.”
Kata dua
Dalam pada itu, Anwar berkata proses keadilan akan terus berjalan dan kerajaan tidak lembut dalam soal melawan rasuah.
Katanya, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri tidak pernah memberi kata dua kepadanya berhubung kes tersebut, sambil menambah Ahmad Zahid dan UMNO berhak meminta pertimbangan untuk pengurangan hukuman terhadap bekas presiden parti Melayu itu.
"Saya diserang kerana tindakan saya mengarahkan semua agensi tegas supaya dapat kita selamatkan negara ini daripada kecurangan pemimpin yang menggeledah, memunggah kekayaan luar biasa," jelas Anwar.
Keputusan itu juga telah mengakibatkan keretakan antara blok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, PH sepatutnya mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpinnya yang mempertikai keputusan itu.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pada Isnin dipanggil polis selepas memuatnaik beberapa hantaran yang mengkritik keputusan itu dengan Pua turut dikritik oleh beberapa pemimpin UMNO susulan hantaran beliau itu.
Ahmad Zahid berkata, kenyataan pemimpin-pemimpin itu tidak mewakili pendirian parti selagi tidak dibuat oleh kepimpinan tertinggi.
"Saya minta agar ketua-ketua parti menegur ahli-ahli parti untuk menarik balik, memadam tulisan mereka dan memohon maaf terhadap keterlanjuran mereka.
"Hubungan BN dan DAP tidak terkesan namun sebagai parti-parti dalam kerajaan Madani kita mesti menyantuni perbezaan pendapat," katanya pada Isnin sambil menambah beliau tidak boleh menghalang ahli-ahli BN membuat laporan polis terhadap pemimpin-pemimpin PH.
Selain kes SRC, Najib masih berdepan tiga lagi kes jenayah, iaitu penyelewengan RM2.3 bilion (AS$480 million) dana 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion (AS$1.39 billion) membabitkan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company dan penggubahan wang haram berhubung dana SRC sebanyak RM27 juta (AS$5.68 juta).