Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman Beroperasi

Hata Wahari
2017.05.31
Kuala Lumpur
170531-my-kingsalmancenter1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sedang berbual dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud (L) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua negara di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur, 27 Februari 2017.
AFP

Malaysia mengumumkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), iaitu sebuah institusi anti-keganasan yang menggunakan pendekatan akademik yang telah mula beroperasi sejak Selasa di sebuah pejabat sementara di Kuala Lumpur, Menteri Pertahanan Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, KSCIP akan beroperasi hampir sama dengan Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis (GCCEI) di Mu'tamarat, Nasiriyah, Riyadh, Arab Saudi.

“Mengikut mandat 90 hari seperti yang ditetapkan oleh Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri Najib Razak, KSCIP telah pun mula beroperasi di pejabat sementara semalam,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Melalui KSCIP, ujar Hishammuddin, Malaysia akan menggembleng dan menggerakkan kerjasama strategik antara negara-negara serantau dan antarabangsa dalam usaha mempromosikan idea keamanan sejagat berteraskan konsep kesederhanaan dan wasatiyyah.

KSCIP sepatutnya dirasmikan oleh Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Bin Salman Al- Saud pada Rabu tetapi ia ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Hishammuddin juga berkata sebuah pusat tetap akan dibangunkan bagi menggantikan pejabat sementara di Kuala Lumpur.

“Tempoh dua tahun ditetapkan untuk pembinaan pusat rasmi KSCIP yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian,” kata Hishammuddin mengenai lokasi tetap KSCIP.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia Musa Ahmad semasa dihubungi BeritaBenar pada Mac lepas berkata, pusat berkenaan akan ditempatkan di kampus universiti itu di Nilai, Negeri Sembilan, iaitu kira-kira 45 km (28 batu) dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Selain itu, Malaysia juga adalah tuan rumah kepada pusat mesej digital menangkis propaganda dalam talian yang dikawalselia oleh Polis Diraja Malaysia dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan, beroperasi di bawah Kementerian Luar Negeri dengan bantuan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Penubuhan KSCIP adalah hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud pada Mac lepas yang bersetuju agar pusat itu ditubuhkan di Malaysia.

Tambah Hishammuddin, ideologi ekstremisme dan keganasan juga perlu diperangi melalui “hati dan jiwa” rakyat dalam menangani naratif (pihak pengganas) dengan menggunakan hasil kajian akademik yang menyeluruh.

“Penubuhan KSCIP ini amat penting dan bersandarkan kesedaran yang cukup mendalam untuk membendung penyebaran ideologi ekstremisme dan terrorisme (kerana) kaedah ketenteraan dan penguatkuasaan undang-undang sahaja kini tidak mencukupi,” katanya.

Hishammuddin berkata, KSCIP membuktikan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam usahanya untuk memerangi keganasan serta mempromosi idea keamanan sejagat berdasarkan konsep wasatiyyah.

“Di KSCIP ini juga kita akan menggembleng para ilmuwan, Menteri Pertahanan ASEAN serta pihak pe¬risikan antarabangsa sebagai persiapan untuk memerangi ideologi kumpulan ekstremis,” katanya.

Sementara Pengerusi Bersama Mesyuarat Jawatankuasa Penubuhan KSCIP yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu yang Penasihat Raja Salman, Mohammad Abdul Karim Al-Isaa yang juga Setiausaha Agung Liga Dunia Islam telah mengadakan lawatan ke Malaysia selama lapan hari mulai 11 April lepas untuk membincangkan penubuhan KSCIP.

“Mohammad Abdul Karim telah mengadakan tinjauan kawasan cadangan lokasi untuk pembinaan KSCIP di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)," katanya pada Rabu pada BeritaBenar.

Asyraf memberitahu, dalam pertemuan diantara Mohammad Abdul Karim dengan Najib pada 13 April, penasihat Raja Salman itu memberitahu bahawa Malaysia dipilih kerana ia mengamalkan nilai-nilai Islam sebenar.

Kesan besar

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahlan ketika dihubungi oleh BeritaBenar pada Rabu menjelaskan universiti itu boleh menyumbang kepakaran ahli akademik kepada KSCIP dalam pelbagai bidang terutama pengajian Islam, undang-undang antarabangsa, kaunseling dan keselamatan.

“USIM yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli mampu menerapkan keunikan itu dalam setiap bidang kepakaran yang ditawarkan supaya penubuhan KSCIP dapat memberi kesan besar,” tambah beliau.

Beliau memberi contoh mengenai konflik yang berlaku di Mindanao, Filipina dengan berkata “Ini sesuatu yang tidak boleh diterima, sebarang konflik ketenteraan harus elakkan orang awam; tentunya kumpulan Abu Sayyaf yang sedang berperang dengan tentera kerajaan Filipina boleh mengelakkan perkara ini,”.  


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.