Follow us

Malaysia Tutup Pusat Keamanan Anti-Keganasan Dibiayai Saudi

Pengumuman dibuat selepas beberapa hari Malaysia menarik balik anggota tenteranya dari negara Arab Saudi.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-06
E-mel
Komen
Share
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis bersalaman semasa mengadakan pertemuan di Sidang Kemuncak Dialog Keselamatan Asia Shangri-La IISS ke- 17 di Singapura, 3 Jun 2018.
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis bersalaman semasa mengadakan pertemuan di Sidang Kemuncak Dialog Keselamatan Asia Shangri-La IISS ke- 17 di Singapura, 3 Jun 2018.
(AFP)

Kerajaan Malaysia telah menutup Pusat Keamanan dan Anti-keganasan yang dibiayai oleh Arab Saudi, anggota parlimen telah diberitahu pada Isnin di Kuala Lumpur.

Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman [KSCIP] telah diumumkan penubuhannya pada Mac 2017 semasa Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud mengakhiri lawatan rasminya ke Malaysia. Empat bulan selepas itu, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak, mengumumkan yang pusat berkenaan akan dibina di tapak seluas 40 ekar di Putrajaya.

Pusat Keamanan dan anti–keganasan itu adalah yang ketiga bagi Malaysia dan pejabat sementaranya ditempatkan di Kuala Lumpur, sambil menunggu bangunannya di siapkan dalam tempoh dua tahun.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memberitahu parlimen bahawa operasi bagi pusat berkenaan telah ditamatkan dan pejabat sementaranya yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, telah ditutup.

"Fungsi yang dicadangkan untuk KSCIP akan diserap oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia yang dikenali sebagai MIDAS, di bawah Kementerian Pertahanan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang ditanya oleh seorang anggota parlimen.

MIDAS, yang digambarkan sebagai sebuah "pusat kecemerlangan untuk penyelidikan dan perkongsian pengetahuan mengenai isu pertahanan dan keselamatan," telah dilancarkan pada tahun 2010.

Pada 15 Ogos 2017, Hishammuddin Hussein yang ketika itu adalah Menteri Pertahanan Malaysia memberitahu anggota parlimen bahawa KSCIP akan berfungsi sebagai pusat pertukaran maklumat untuk membantu kerajaan menentang ancaman keganasan, di tengah-tengah ketegangan yang berlaku semasa pengepungan Marawi, di selatan Filipina, oleh militan Asia Tenggara yang setia kepada puak pelampau bernama "Negara Islam".

Tidak pernah dalam sejarah ada pengganas dapat menerbangkan bendera mereka di rantau ini. Mereka tidak pernah dapat menjejakkan kaki di rantau ini, "kata Hishammuddin pada masa itu.

"Apa yang berlaku di Marawi telah melampaui jangkaan, dan telah membuktikan bahawa kita perlu bekerjasama untuk menangani ancaman keganasan ini. Ketegangan yang kita jangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari telah berlarutan menjadi tiga hingga empat bulan; malah masih berterusan. "

Pada Isnin, Mohamad Sabu memberitahu parlimen mengenai rancangan untuk membawa pulang tentera Malaysia yang bertugas di Arab Saudi.

"Pasukan Tentera Malaysia telah ditugaskan 12 kali di Arab Saudi sejak 7 Mei 2015," katanya sambil menambah bahawa tugasan tersebut telah menelan belanja sebanyak RM16.4 juta (AS$ 4 juta).

"Setiap kali pasukan tentera Malaysia bertugas, dalam tempoh tiga sehingga empat bulan, 87 hingga 89 orang anggota tentera telah dihantar ke negara itu bersama dua pesawat C130 Hercules."

Pada Jun, Mohamad Sabu mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi, dengan mengatakan kehadiran tentera Malaysia "secara tidak langsung memerangkap Malaysia dalam konflik Timur Tengah."


Lihat Laman Penuh