Bekas KSU Dan Anak Didakwa Subahat Terima Rasuah

Ray Sherman
2017.02.21
Kuala Lumpur
170105-my-graft-court620.jpg Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar Datuk selepas mendapatkan perintah reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan menerima rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya, 5 Januari, 2017.
[Ihsan SPRM]

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan anak lelakinya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah S$200,000 dollar Singapura atau kira-kira RM628,000, pada Ogos tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas KSU itu Mohd Arif Ab Rahman didakwa bersubahat manakala anak lelakinya Ahmad Zukhairi dituduh menerima suapan wang tunai tersebut daripada seorang pengarah syarikat Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh.

Pertuduhan rasuah itu membabitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah, dimana projek secara rundingan terus itu, bernilai RM57 juta diberikan kepada syarikat Eramas (M) Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur antara jam 4 dan 7 petang, pada 23 Ogos tahun lalu.

Bekas KSU yang pernah direman tujuh hari sebelum ini dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengannya.

Dalam prosiding mahkamah pada Selasa, Hakim Azura Alwi membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin setelah mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi melakukan transaksi membabitkan kementerian tersebut. Mahkamah telah menetapkan kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin, masing-masing sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Azura juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan oleh A. S Thangavelu manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Salehuddin Saidin.

Pertuduhan ke atas Mohd Arif dan Ahmad dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seskyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan.


Mohd Arif, yang bergelar "Datuk" dan anaknya Ahmad Zukhairi ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] di rumah mereka di USJ 3, Subang Jaya, awal Januari lepas, setelah pengintipan keatas mereka dibuat oleh agensi berkenaan selama tiga bulan.

Agensi pencegahan rasuah itu menjumpai wang tunai, termasuk dalam bentuk matawang asing, jongkong emas, 150 buah beg tangan serta jam tangan berjenama semasa pemeriksaan rumah bekas KSU tersebut.

Nilai jongkong emas dan matawang asing yang dirampas sahaja dilaporkan bernilai kira-kira RM3 juta, manakala sesetengah beg tangan dianggarkan bernilai antara RM7,000 dan RM100,000 setiap satu.

SPRM juga pada mulanya telah menahan seorang lagi anak lelaki Mohd Arif, yang berusia 29 tahun, tetapi beliau kemudiannya dibebaskan.

Penahanan Mohd Arif merupakan tangkapan berprofil tinggi pertama bagi tahun 2017, setelah  SPRM berjaya melakukan beberapa siri tangkapan besar melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan berjaya merampas hasil suapan dan rasuah bernilai ratusan juta ringgit sepanjang tahun lepas.

‘Anak terima suapan’


Sementara itu, Ahmad Zukhairi juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan termasuk meminta suapan di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam pada sesi sebelah petang Selasa.

Mengikut pertuduhan pertama, suspek didakwa telah meminta suapan berjumlah dua pertaus daripada seorang individu berjumlah kira-kira RM1.2 juta daripada nilai projek sebagai insentif untuk dirinya dan Mohd Arif bagi membantu Syarikat Eramaz ( M ) Sdn Bhd mendapatkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Sistem Solar Hibrid di enam buah pulau terpencil di daerah Sandakan, Sabah secara rundingan terus reka dan bina di bawah Projek KKLW bernilai RM 60 juta.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Zukhairi didakwa telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM70, 000 daripada seorang individu sebagai upah bagi dirinya membantu Syarikat HH Global Construction Sdn Bhd mendapatkan Projek Cadangan Membina dan Menyiapkan Dataran Rekreasi Tiga Aras dan Kerja-Kerja Berkaitan di Persisiran Tasik Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Daerah Hulu Terengganu, Terengganu yang bernilai hampir RM 3.3 juta.

Sementara itu, mengikut pertuduhan ketiga, Ahmad Zukhairi didakwa telah menerima suapan sebanyak RM50,000 daripada individu tersebut sebagai upah bagi membantu Syarikat HH Global Construction Sdn Bhd mendapatkan projek sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zukhairi mengaku tidak bersalah kepada semua pertuduhan.

Jumlah rasuah dalam keempat-empat kes mencecah RM1.3 juta.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes.


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.