Follow us

Tujuh Belas Ditahan Terlibat Dalam Kekecohan Di Kuil Hindu

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-26
E-mel
Komen
Share
Polis Malaysia mengawal penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, 26 Nov, 2018.
Polis Malaysia mengawal penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, 26 Nov, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Isnin menahan 17 orang selepas dipercayai terlibat dalam  kekecohan di luar sebuah kuil hindu berhampiran ibu negara Kuala Lumpur, dengan pihak berkuasa menggambarkannya berpunca daripada pertikaian berhubung penempatan semula rumah ibadat itu.

Tujuh orang mengalami kecederaan selepas sekumpulan lelaki menyerang mereka yang berada di dalam Kuil Sri Maha Mariamman, yang terletak dalam kawasan Majlis Perbandaraan Subang Jaya, kata polis.

Lapan belas kereta serta dua motosikal turut musnah akibat dipecahkan atau dibakar dalam kejadian pada awal pagi Isnin itu, kata pihak berkuasa.

"Ia tidak ada kaitan dengan perkauman. Ini berkaitan dengan pemindahan kuil tersebut ke lokasi baru yang berdekatan," kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kepada pemberita di Kuala Lumpur. "Mereka yang ditahan adalah penduduk tempatan."

Polis merampas dua bilah parang, dua batang kayu dan dua batang paip yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kekecohan itu, kata Fuzi.

"Kami juga telah mengenal pasti dalang dan akan memanggil mereka untuk membantu siasatan," katanya.

Fuzi turut menggesa semua pihak termasuk ahli politik dan tokoh agama supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan terhadap masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu beragama Islam diikuti minoriti Cina dan India yang menganuti pelbagai agama lain.

"Berhenti buat sebarang spekulasi dan komen yang tidak bertanggungjawab walaupun keadaan kini terkawal," katanya.

181126-MY-templ1-INSIDE-620.jpg
Pihak berkuasa dan penduduk melihat kenderaan yang rosak akibat daripada kekecohan yang berlaku di luar kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, 26 Nov, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]


Ketua sami kuil berkenaan, Jeyakumar Subramaniam, yang dipetik oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata bahawa kekecohan itu "tidak ada kaitan dengan perkauman."

"Saya percaya ia mempunyai kaitan dengan isu penempatan semula kuil yang sedang membelenggui kuil ini," katanya. "Ada pihak yang cuba memutarbelitkan fakta mengenai apa yang berlaku."

Dalam rakaman audio yang diperoleh oleh BeritaBenar, Jeyakumar berkata, kumpulan yang membuat kekecohan di kuil itu bukannya orang Melayu kerana mereka bercakap dalam bahasa yang tidak dikenali.

"Mereka bukan orang Melayu,” katanya. "Mereka kedengaran bertutur seperti orang Indonesia."

Kira-kira 61 peratus daripada 32.4 juta rakyat Malaysia adalah beragama Islam manakala 1.6 juta adalah penganut agama Hindu.

Walaupun terdapat pelbagai budaya dan kebebasan awam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara, Malaysia pernah berdepan dengan kekecohan perkauman termasuk rusuhan yang berlaku selepas pilihan raya umum pada 1969.

Kuil Sri Maha Mariamman terletak dalam kawasan persendirian milik pemaju hartanah One City Development. Empat tahun lalu, mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada One City dan memerintahkan kuil itu dipindahkan ke kawasan yang terletak lebih 3 3 kilometer (hampir 2 batu) jauhnya dari tempat asal.

Pihak pemaju menafikan sebarang penglibatan dalam kekecohan yang berlaku pada Isnin itu.

"Tuduhan bahawa One City yang mencetuskan kekecohan itu adalah satu pembohongan yang berniat jahat. One City mengutuk sebarang tindakan ganas atau apa-apa yang boleh menyebabkan kepada perbuatan jahat dan keji," kata syarikat itu dalam kenyataan.

Sementara itu, sekumpulan anggota parlimen Hindu di Malaysia mengutuk apa yang mereka katakan sebagai "serangan tanpa diberangsangkan terhadap kuil berkenaan."

"Kami meminta siasatan penuh dan bebas oleh pihak polis dalam mencari dalang yang melakukan serangan serius ini terhadap kuil tersebut dan motifnya. Mereka yang bertanggungjawab melakukan kekecohan ini mestilah ditangkap dan dihukum, kata kenyataan yang ditandatangani oleh empat anggota parlimen itu.

Lihat Laman Penuh