Kastam Malaysia Tumpas Cubaan Seludup 330 Kura-Kura Bernilai RM1.2 Juta

Fadzil Aziz
2017.05.15
Kuala Lumpur
170515-my-kura-kura-1000.jpg Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Abdull Wahid Sulong bersama sebahagian daripada 330 ekor kura-kura eksotik yang berjaya dirampas di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA di Sepang, 15 Mei 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin mengumumkan kejayaannya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 330 ekor kura-kura yang dilindungi ke negara itu dengan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM1.2 juta.

Menurut Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Abdull Wahid Sulong, kura-kura yang dirampas adalah spesies terancam dengan lima ekor daripadanya jenis `Ploughshare’ manakala 325 lagi jenis ‘Indian Star’.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan penguatkuasa JKDM telah menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA pada Ahad [14 Mei].

“Hasil pemeriksaan menemukan lima kotak yang disyaki membawa barang larangan import,” katanya pada sidang media di Sepang pada Isnin.

Tambahnya, kesemua kotak berkenaan tiba di KLIA melalui penerbangan Etihad Airways dari Lapangan Terbang Antananarivo, Madagascar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lima ekor kura-kura jenis Ploughshare dan 325 ekor kura-kura jenis Radiata (Indian Star) yang bernilai RM1.2 juta,” katanya.

Abdull Wahid berkata siasatan awal menunjukkan kura-kura itu diisytiharkan sebagai batu dalam surat muatan udara dan alamat yang digunakan untuk tujuan penghantaran di Salak Tinggi, Selangor didapati palsu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pengimport dan pemilik kura-kura berkenaan,” katanya.

Kura-Kura yang masih hidup serta dipercayai diberi ubat pelali itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum dihantar pulang dan diserahkan kepada pihak berkuasa di negara asal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum 10 kali ganda atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, kura-kura adalah antara spesies yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), kecuali dengan permit.

“Ia turut disenaraikan barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Perhilitan,” katanya.

 

Kura-kura dari spesis `Plougshare' yang paling sukar ditemui di dunia adalah sebahagian daripada 330 ekor kura-kura eksotik yang berjaya dirampas di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA di Sepang

Carta teratas paling mahal

Kura-Kura jenis Ploughshare, atau `Angonoka Tortoise,’ merupakan haiwan paling dilindungi yang berasal dari Madagaskar dan menduduki carta teratas kura-kura termahal di dunia.

Dianggarkan hanya terdapat kira-kira 300 ekor kura-kura daripada spesies berkenaan, juga dikenali sebagai Astrochelys yniphora, yang masih hidup di seluruh dunia, dan disebabkan bilangannya yang terhad, ia biasanya dijual sekitar AS$4,000 seekor di pasaran gelap.

Sementara itu, harga bagi seekor kura-kura daripada spesies Radiata ialah AS$1,000.


Kedua-dua spesies telah diklasifikasikan sebagai kura-kura paling sukar ditemui di dunia dan sering menjadi buruan pengumpul haiwan eksotik untuk dipelihara.

"Oleh kerana kura-kura daripada kedua-dua jenis ini mempunyai keunikan tersendiri dan sukar ditemui, ia dipercayai dijadikan haiwan peliharaan dan bukan untuk dimakan. Kita tidak dapat memastikan sama ada ia dihantar ke Malaysia bagi tujuan transit atau untuk pasaran tempatan," kata Abdull Wahid.

Selain Ploughshare dan Indian Star, lima lagi spesies kura-kura iaitu Radiata Aldabra, Cherry Head, Sulcata, Istar dan Emys turut mendapat permintaan yang tinggi.

Isnin lepas, JKDM turut merampas lebih 700 kilogram sisik tenggiling bernilai lebih RM9 juta, yang dipercayai diseludup dari benua Afrika, di KLIA.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.