Follow us

Kurdish Tidak Hubungi Malaysia, Indonesia Mengenai Penahanan Pejuang IS - Pegawai

Muzliza Mustafa, Zam Yusa & Ahmad Syamsudin
Kuala Lumpur & Jakarta
2018-11-08
E-mel
Komen
Share
Sisa runtuhan bangunan yang musnah pada 2017 semasa pertempuran antara militan Negara Islam dan Pasukan Demokrasi Syria yang disokong Amerika Syarikat di Raqqa, Syria, 5 April 2018.
Sisa runtuhan bangunan yang musnah pada 2017 semasa pertempuran antara militan Negara Islam dan Pasukan Demokrasi Syria yang disokong Amerika Syarikat di Raqqa, Syria, 5 April 2018.
[AP]


Pegawai-pegawai Malaysia dan Indonesia belum menerima sebarang berita daripada kerajaan de facto Kurdish di utara Syria yang mendakwa bahawa ia menahan sejumlah besar pejuang Negara Islam dan keluarga mereka dari negara-negara Asia Tenggara.

Para pegawai anti pengganas dari Malaysia dan Indonesia berkata, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada rakyat negara masing-masing, yang dikatakan menjadi pejuang bersenjata untuk kumpulan militan Negara Islam, ditahan oleh pemberontak Kurdish setelah kejatuhan kubu kuat IS di Syria dan Iraq.

"Sukar untuk mendapatkan nombor untuk dihubungi kerana kami tidak mempunyai akses itu pada masa ini," kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas anti pengganas Polis Diraja Malaysia, kepada BeritaBenar.

"Kami masih tidak tahu sama ada rakyat kami ditahan oleh pasukan pemberontak Kurdish," katanya pada Khamis.

Di Jakarta, Badan Nasional Penanggulangan Terrorisme (BNPT), yang mencegah keganasan, juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai sama ada pihak berkuasa Kurdish menahan pejuang IS dari Indonesia dan keluarga mereka, menurut seorang timbalan ketua bagi kerjasama antarabangsa di biro itu.

"Kami tidak melihat laporan yang boleh mengesahkannya," kata Hamidin, pegawai yang menggunakan satu nama sahaja, kepada BeritaBenar.

Sementara itu, seorang pegawai di Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata, kerajaan tidak akan membenarkan rakyat Indonesia yang berjuang untuk IS di Timur Tengah dihantar pulang, walaupun dengan pengakuan oleh pentadbiran de facto Kurdish. Pihak Kurdish telah menggesa berpuluh-puluh negara supaya mengambil balik rakyat masing-masing yang menjadi pejuang IS dan ahli keluarga mereka yang turut ditahannya.

"Apa yang kami faham ialah kami tidak akan membawa pulang mereka yang pergi sebagai pejuang kerana ketika mereka berjuang untuk ISIS, mereka telah pun membuat keputusan secara sedar untuk ke sana," kata Lalu Muhammad Iqbal, pengarah perlindungan rakyat Indonesia di luar negeri di kementerian itu, kepada BeritaBenar, yang menggunakan satu lagi akronim untuk IS.

"Jika mereka adalah pejuang, kami serahkan kepada pihak  penguatkuasa undang-undang tempatan untuk menghadapkan mereka di mahkamah mengikut undang-undang tempatan Kurdish," katanya.

181108-MY-IS-Kurds-INSIDE620.jpg

Ahli Parlimen British Maurice Glasman (kiri) bertemu dengan pegawai Kurdish Abdulkarim Omar di utara bandar Qamishli, Syria pada 4 April 2018. [AFP]

'Sesetengah pejuang ini berbahaya'

Beberapa pegawai di Asia Tenggara telah memberi maklum balas kepada komen seorang pegawai Kurdish yang ditemu bual oleh BeritaBenar, baru-baru ini.

Pemberontak di utara Syria menahan hampir 900 pejuang IS, bersama-sama dengan 400 hingga 500 wanita dan lebih daripada 1,000 kanak-kanak dari 44 negara, setelah mereka ditangkap selepas kejatuhan kubu kuat IS di wilayah itu, kata Abdulkarim Omar, pengerusi bersama Suruhanjaya Hubungan Luar Negeri di utara Syria.

"Kami sentiasa menyatakan kesediaan kami untuk menyerahkan pejuang IS asing kepada kerajaan mereka, tetapi malangnya kebanyakan negara cuba menghindari tanggungjawab untuk menerima rakyat mereka," kata Omar kepada BeritaBenar melalui e-mel. "Jumlah pejuang IS, wanita serta kanak-kanak Indonesia dan Malaysia bukannya sedikit, terutamanya rakyat Indonesia.

"Wilayah kami tidak stabil. Sebarang huru-hara boleh menyebabkan pejuang IS melarikan diri. Sesetengah pejuang itu berbahaya dan boleh menimbulkan ancaman serius kepada komuniti di Eropah dan  antarabangsa, "katanya.

Wanita dan kanak-kanak dalam keluarga IS telah diserap dengan ideologi radikal dan "mereka memerlukan pemulihan, yang tidak mungkin dilakukan oleh kami sahaja," katanya. "Oleh itu, setiap negara harus bertanggungjawab dan berusaha menyelamatkan rakyatnya serta mendakwa mereka di tanah air masing-masing."

Pada penghujung September, Omar memberitahu wartawan bahawa pentadbiran de facto itu tidak dapat menahan pejuang IS dan keluarga mereka selama-lamanya, menurut laporan Reuters.

"Bagi kami, jumlahnya amat besar kerana pejuang Daesh ini berbahaya dan mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai, dengan mereka berada dalam tahanan kami boleh menjadi peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk membawa mereka ke muka pengadilan," lapor Reuters yang memetik Omar sebagai merujuk kepada ahli-ahli IS.

"Kami sendiri tidak mampu menanggung beban ini," katanya.

Dalam komennya kepada BeritaBenar kemudian, Omar berkata "keputusan kami untuk tidak membicarakan mereka di wilayah kami adalah tetap, dan kami akan menggunakan saluran diplomatik untuk menyerahkan mereka kepada kerajaan masing-masing."

Beliau enggan menyatakan jumlah tepat bilangan pejuang IS Asia Tenggara dan keluarga mereka yang ditahan puak Kurdish, atas alasan keselamatan.

"Bagaimanapun, jika usaha kami gagal membawa sebarang hasil, kami akan mengambil langkah baru yang akan diumumkan pada masa yang sesuai."

Satu daripada pilihan itu adalah dengan membicarakan para pejuang IS dan menghantar mereka pulang ke negara asal masing-masing untuk menjalani hukuman mereka, katanya.

'Kami tidak berunding dengan pemberontak'

Di Kuala Lumpur, Ayob berkata kerajaan Malaysia tidak akan berunding dengan "pelaku bukan negara" dalam konflik Syria seperti pemberontak Kurdish.

"Kami perlu mendapatkan bantuan daripada ICRC, UNHCR atau kerajaan Syria," kata Ayob kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan agensi untuk pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Kami tidak berunding dengan pemberontak. Tetapi, jika pemberontak memutuskan untuk membebaskan mereka, kami akan meminta ICRC untuk membawa mereka keluar dari Syria dan membawa mereka pulang ke tanah air. "

Sebelum ini, pegawai-pegawai Malaysia berkata bahawa 102 rakyat Malaysia telah ke Syria untuk menyertai IS sejak 2013.

Pada Oktober, polis Malaysia mendedahkan bahawa mereka berjaya membawa pulang seorang balu dan dua anaknya dari Syria selepas kematian suaminya, pejuang IS Malaysia, pada Februari lalu.

Balu itu, yang dinamakan sebagai "Aisyah", diperkenalkan oleh Ayob dan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa sidang berita di Kuala Lumpur pada 25 Okt lalu. Wanita itu mendakwa dia telah dibohongi oleh suaminya yang memberitahu bahawa mereka akan ke Turki pada 2016, sebelum dia dan seorang anaknya ketika itu,  diseludup ke Syria untuk menyertai IS.

Pada sidang berita itu, Fuzi memberitahu bahawa pihak berkuasa Turki telah membantu dalam usaha membawa mereka pulang ke Malaysia. Beliau berkata, pihak berkuasa sedang mencari empat lagi kumpulan di Syria yang telah meminta bantuan untuk pulang ke tanah air.

Selepas kubu kuat IS Syria, Raqqa, kecundang dalam pertempuran tahun lalu, seramai 18 rakyat Indonesia yang ditemui di kawasan itu telah dihantar pulang ke negara mereka, kata Lalu, pegawai kementerian luar negeri Indonesia.

"Selepas proses saringan oleh pasukan Kurdish, seramai lapan belas orang telah diusir keluar tetapi mereka bukanlah pejuang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak," kata Lalu kepada BeritaBenar.

"Kami belum lagi menerima sebarang maklumat langsung dari mereka [pasukan Kurdish]," katanya.

Lihat Laman Penuh