Rakyat China Diekstradisi dari Malaysia ke Amerika Syarikat, kata Jabatan Kehakiman

Lelaki berusia 24 tahun itu didakwa terlibat dalam penyeludupan labi-labi dari AS ke Hong Kong.
Nani Yusof
Washington
2020-12-11
Share
Rakyat China Diekstradisi dari Malaysia ke Amerika Syarikat, kata Jabatan Kehakiman Seekor labi-labi laut berenang di Akuarium Amerika di New Orleans, Louisiana, 13 Oktober, 2005.
[Reuters]

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata seorang rakyat China telah diekstradisi dari Malaysia ke negara itu pada Rabu untuk berdepan dengan pertuduhan membiayai rangkaian pemerdagangan ribuan labi-labi yang dilindungi protokol Konvensyen Perlindungan Hidupan Liar (CITES) bernilai AS$2.25 juta.

Kang Juntao, 24, yang berasal daripada Hangzhou, timur China, telah ditahan oleh Polis DiRaja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu selepas Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan penangkapan sementara dengan tujuan untuk diektradisi bagi menghadapi pendakwaan ke negara itu, menurut DOJ.

"Permintaan ekstradisi telah dibuat pada 5 Mac 2019, bersesuaian dengan Triti Ekstradisi antara kerajaan Amerika Syarikat dan Malaysia. Ekstradisi Kang telah dimuktamadkan pada September 2020 dan beliau telah diserahkan kepada Amerika Syarikat pada Rabu seperti peruntukkan dibawah triti berkenaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis tanpa menjelaskan kenapa Kang berada di Malaysia.

Pegawai Jabatan Ikan dan Hidupan Liar AS (USFWS), yang menyiasat kes Kang, telah membawanya dari Kuala Lumpur ke Washington pada Rabu, dengan pengarah jabatan itu Aurelia Skipwith berkata “Pemerdagangan hidupan liar adalah jenayah serius yang mempengaruhi spesis liar di dalam dan luar negara,”

DOJ berkata, Kang didakwa menyeludup kira-kira 1,500 labi-labi yang terdiri daripada lima jenis spesis dibawah lindungan CITES seperti ‘Terrapene carolina carolina’, ‘Terrapene carolina bauri’, ‘Terrapene carolina major’, ‘Clemmys guttata’ dan ‘Glyptemys insculpta’ dengan anggaran bernilai AS$2.25 juta keluar daripada AS.

“Labi-labi itu diikat tanpa perikemanusiaan dengan pita saluran dan diletakkan dalam stokin kaki agar tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Kang mahupun rakan sekutunya tidak mengisytiharkan labi-labi berkenaan kepada Jabatan Kastam AS atau China, ataupun cuba mendapatkan permit kebenaran daripada CITES,” tambah DOJ lagi.

Menurut kertas pendakwaan, bermula 12 Jun 2017 hingga 3 Disember 2018, Kang didakwa membeli labi-labi itu di Amerika Syarikat dan mengatur penyeludupan haiwan berkenaan kepada rakan sekutunya di Hong Kong.

“Beliau menghantar wang melalui bank-bank di Amerika Syarikat, termasuk sebuah di New Jersey, untuk pembayaran pembelian dan penghantaran haram labi-labi tersebut, yang kemudiannya akan dijual di pasaran gelap Asia dengan harga mencecah ribuan dollar bergantung kepada jantina, warna dan umurnya,“ tambah kenyataan itu lagi.

DOJ berkata, Kang didakwa mengirim wang melalui PayPal ke Amerika Syarikat untuk membeli labi-labi dari penjual yang membuat iklan di media sosial atau laman sesawang penjualan reptilia, dengan pembekal kemudian menghantar labi-labi berkenaan kepada orang tengah di lima negeri yang berbeza.

“Orang tengah ini, biasanya adalah warganegara China yang memasuki Amerika dengan visa pelajar. Kang membayar dan mengarahkan perantara ini untuk membungkus semula labi-labi tersebut dalam kotak dengan label palsu dan membuat penghantaran rahsia ke Hong Kong,” kata DOJ.

“Jabatan Kehakiman komited untuk mendakwa penjenayah yang menyalahgunakan sistem kewangan AS dalam membiayai perniagaan haram mereka, " kata Ketua Penolong Peguam Negara, Jonathan D. Brightbill dari Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Asli Jabatan Kehakiman.

Amerika Syarikat, Malaysia, China, dan kira-kira 181 negara lain menandatangani Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Fauna dan Flora yang Terancam (CITES) yang merupakan perjanjian antarabangsa yang menyekat perdagangan spesis yang mungkin terancam dan kepupusan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh