Follow us

Malaysia Selamatkan 3,300 Ekor Labi-labi Selepas Tahan Dua Lelaki Tempatan

Ali Nufael & Aiman Abd Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-27
E-mel
Komen
Share
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] menunjukkan sebahagian dari labi-labi yang dirampas di perairan Johor, Malaysia, 27 Feb, 2019.
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] menunjukkan sebahagian dari labi-labi yang dirampas di perairan Johor, Malaysia, 27 Feb, 2019.
[Ihsan APMM]

Malaysia telah menyelamat kira-kira 3,300 ekor labi-labi yang berada dalam Senarai Merah Spesis Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar daripada sebuah bot selepas menahan dua lelaki tempatan di perairan Tanjung Tohor berhampiran Muar, di negeri selatan Johor pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] Zon Batu Pahat, Mohammad Othman berkata kesemua labi-labi itu disembunyikan dalam tujuh bungkusan telah ditemui di dalam sebuah bot yang dipercayai diseludup dari Indonesia semasa satu operasi sekitar jam 12.30 awal pagi Rabu.

Labi-labi dari spesies Carettochelysinsculpta yang dilindungi dan terancam itu hanya boleh didapati di perairan Australia dan Kepulauan Papau di Indonesia, demikian menurut pakar biologi hidupan luar.

Mohamad berkata, labi-labi itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran sekitar 150 ribu ringgit, dipercayai mahu dijadikan sajian eksotik.

"Kami percaya ia dibawa masuk dari Indonesia untuk dijadikan sajian eksotik bagi penggemar makanan eksotik dan dua lelaki rakyat tempatan yang ditahan itu kini direman empat hari di Balai Polis Batu Pahat,” katanya kepada BeritaBenar.

Mohamad juga memberitahu operasi yang diadakan itu dibuat secara kerjasama antara APMM Batu Pahat dan Pasukan Gerakan Am Batalion 6 Pos Parit Unas, Muar.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Batu Pahat untuk siasatan mengikut Akta Kastam dan Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2010.

Kesalahan itu boleh membawa kepada hukuman denda maksimum 500 ribu ringgit dan penjara maksimum lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata pihaknya sudah dimaklumkan oleh APMM berhubung tangkapan tersebut.

"Pada kebiasaannya, pihak yang menyeludup binatang eksotik akan membawa masuk tenggiling atau beberapa haiwan lain, tetapi ini kali pertama kali bagi kami di Batu Pahat menerima laporan berhubung rampasan labi-labi," katanya.

Beliau menjelaskan pihak yang mahu membawa masuk atau membela haiwan seperti labi-labi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa.

"Haiwan eksotik seperti ini memerlukan permit untuk dibawa masuk ke Malaysia. Jika tiada, seseorang itu boleh ditahan," katanya.

Permintaan tinggi dalam pasaran

Permintaan terhadap makanan eksotik melibatkan haiwan seperti labi-labi adalah tinggi terutamanya di kalangan mereka yang mempercayai bahawa ia mengandungi khasiat yang baik untuk kesihatan, kata seorang pengusaha restoran sajian eksotik di Kuala Lumpur.

Lelaki itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny, memberitahu BeritaBenar bahawa peminat sajian itu sanggup berbelanja mahal untuk mendapatkannya.

"Memang bunyinya agak pelik tetapi sebenarnya, terdapat ramai peminat makanan eksotik.

"Bagi sesetengah individu, mereka percaya binatang seperti itu mempunyai khasiat tersendiri. Oleh sebab itu, ada pelanggan yang sanggup membayar harga yang mahal untuk masakan sajian eksotik," kata Kenny, yang mempunyai sebuah restoran di ibu kota.

Kenny berkata makanan eksotik yang disediakan di restorannya merangkumi haiwan yang dibeli daripada pengusaha Malaysia seperti kura-kura, katak, ikan haruan, pelanduk, landak dan belangkas.

“Kami tidak menjual monyet atau hati harimau dan lain-lain haiwan terancam,” tambah beliau.

Menurut sumber, yang tahu tentang industri makanan eksotik di Malaysia, labi-labi adalah antara yang sangat digemari peminat makanan eksotik.

“Biasanya, labi-labi matang harganya boleh mencecah antara RM150 hingga RM200 seekor. Isi labi-labi akan dimasak sup manakala cengkerangnya dihancurkan dan dibuat sebagai ubat tradisional,” kata sumber itu.

Walaupun disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi, labi-labi menerima permintaan tinggi dalam pasaran antarabangsa khusus untuk daging dan cengkerangnya yang dikatakan mempunyai khasiat tinggi bagi mengubat penyakit.

Haiwan terancam di Indonesia

Sementara itu, Elizabeth John dari Traffic SEA, sebuah rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar tidak terancam kepada pemulihaan alam berkata, labi-labi tidak berasal dari Malaysia sebaliknya merupakan haiwan terancam dari kepulauan New Guinea dan Indonesia.

"Masalah penyeludupan labi-labi sudah terjadi sejak sekian lama dan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama untuk membanteras kegiatan ini.

"Labi-labi dijadikan ubat dan makanan di beberapa negara. Ia adalah haiwan yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 dan perbuatan memperdagangkan haiwan tersebut merupakan satu kesalahan,"katanya.

Pada awal Februari, pihak berkuasa Malaysia di Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan tenggiling membabitkan rampasan bernilai hampir 8.4 juta ringgit dalam dua serbuan di dua daerah di negeri itu, iaitu di Tuaran dan Sepanggar.

Menurut akhbar Berita Harian, kegiatan sindiket penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit tenggiling sudah berlangsung sejak tujuh tahun lalu.

Hasil serbuan pihak berkuasa telah menemui 1,800 kotak tenggiling beku yang disimpan dalam tiga buat peti sejuk, 572 ekor tenggiling beku pula ditemui dalam enam lagi bekas sejuk beku, 61 tenggiling hidup dan 361kilogram sisik tenggiling.

Traffic SEA, badan bukan kerajaan yang telah membuat kajian berkenaan penyeludupan hidupan liar di rantau Asia itu memberitahu agensi berita AFP bahawa rampasan di Sabah merupakan rampasan yang terbesar yang pernah direkodkan.

Menurut Traffic SEA lagi rampasan itu turut membongkar penglibatan Sabah dalam penyeludupan hidupan liar selepas negeri itu dikaitkan dengan kes penyeludupan 40 tan tenggiling sejak 2017.

Lihat Laman Penuh