Mahkamah Rayuan bebaskan wanita terlibat kes kemalangan basikal lajak
2023.04.11
Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa membebaskan seorang pemandu wanita yang sebelum ini didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja belasan tahun yang menunggang basikal lajak enam tahun lalu, dalam kes yang mencetuskan isu perkauman di negara berbilang bangsa itu.
Panel mahkamah yang dianggotai tiga orang hakim dalam penghakiman mereka memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Sam Ke Ting adalah "cacat" dan mengubah keputusan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru tahun lalu, sekaligus membatalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atas kerani berkenaan.
Mahkamah itu mendapati Sam, seorang wanita berketurunan Cina, tidak mungkin boleh mengelak daripada melanggar kumpulan remaja berbangsa Melayu itu yang menunggang basikal secara beramai-ramai di atas jalan raya pada jam 3 pagi, 18 Feb 2017.
Ketika membacakan alasan penghakiman, Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel hakim Mahkamah Rayuan bersama hakim Hashim Hamzah dan Azman Abdullah, berkata pertuduhan yang dikenakan ke atas Sam atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya didapati cacat dari segi intipatinya sekaligus menyebabkan sabitan oleh Mahkamah Tinggi ke atasnya juga adalah tidak sah.
Menurut Hadhariah, keputusan dibuat oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Sam - selepas ia mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan - adalah keputusan yang betul dan menyeluruh.
"Saya mendapati alasan penghakiman majistret yang bijaksana itu adalah menyeluruh kerana beliau menilai keterangan pendakwaan dari semua sudut, sedangkan hakim Mahkamah Tinggi dalam alasan penghakiman hanya memberi fokus pada pemandu kereta sahaja dan seperti tidak mempertimbangkan langsung tentang aktiviti basikal lajak.
"Kita hendaklah berlaku adil. Kerana itulah majistret membuat penilaian maksimum di mana beliau mendapati kemalangan ini memang mustahil dapat dielakkan sebab situasi merbahaya itu diwujudkan oleh penunggang basikal lajak dan satu cara kemalangan itu dapat dielakkan adalah kereta itu terbang melalui penunggang basikal lajak.
"Tiada cara hendak mengelakkan kemalangan kerana kita bukan bercakap tentang satu dua, tetapi 30 hingga 40 basikal maka penghakiman dan alasan mahkamah majistret itu betul. Kita kena hormat," kata hakim Hadhariah yang membacakan keputusan sebulat suara itu.
"You are now a free person" (anda kini seorang yang bebas)," kata hakim itu kepada Sam selepas beliau membacakan keputusan mahkamah.
Masih dibelenggu rasa bersalah
Walaupun akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan dan hukuman, Sam dalam satu sidang media di luar mahkamah pada Selasa menyatakan rasa kesal dan simpatinya terhadap apa yang berlaku kepada semua mangsa.
Kata wanita itu, kejadian tersebut bukan sesuatu yang disengajakannya tetapi beliau sentiasa terfikir mengenai kesemua mangsa.
"Sepanjang enam tahun kes ini dibicarakan di mahkamah, saya sentiasa terfikir dan merenung tentang bagaimanakah kehidupan harian dan masa depan yang arwah mungkin menikmati di sisi keluarga yang tersayang.
"Saya mengaku dan akur bahawa saya telah memandu dan menyebabkan kematian pada anak-anak anda yang disayangi, namun demikian kemalangan tersebut bukanlah disengajakan oleh saya.
"Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan namun demikian saya ingin sampaikan kepada anda bahawa saya juga turut memikul keperitan tragedi tersebut. Saya dengan suci hati memohon maaf, walaupun saya tahu dan faham bahawa maaf anda berat dihulurkan,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman selepas dibebaskan.
Sam telah didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan orang remaja iaitu Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin, 16.
Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, kesemua mangsa tersebut maut selepas kereta dipandu Sam merempuh sekumpulan antara 30 dan 40 orang remaja yang sedang menunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, Johor. Lapan lagi rakan mereka juga dilaporkan cedera termasuk empat parah.
Sam pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, antara lain.
Beliau telah dibebaskan oleh majistret daripada pertuduhan tersebut pada 2019, namun keputusan berkenaan telah diubah Mahkamah Tinggi selepas mempertimbangkan rayuan pihak pendakwaan pada 2022.
Wanita itu kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi itu ke Mahkamah Rayuan.
Wanita itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.
Polemik perkauman
Sebanyak empat petisyen dilancarkan untuk menuntut supaya keadilan diberikan kepada Sam dan juga menuntut pembebasannya setelah Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada tahun lalu dan petisyen tersebut memperoleh lebih 1 juta tandatangan.
Kes kemalangan antara Sam dan lapan remaja berkenaan telah menimbulkan polemik di Malaysia selepas sesetengah pihak membangkitkan isu perkauman kerana ia membabitkan pemandu berbangsa Cina manakala mangsa yang mati pula dari bangsa Melayu, yang merupakan etnik majoriti di negara itu.
Ia turut disensasikan oleh sesetengah parti dan ahli politik yang cuba mengaitkan keputusan mahkamah majistret membebaskan Sam pada 2019 dengan kerajaan yang diperintah parti Pakatan Harapan ketika itu.
Keputusan berkenaan turut melihat mahkamah dikecam pihak yang tidak berpuas hati yang mendakwa sistem kehakiman negara telah rosak.
Seorang pengarah filem terkenal Michael Ang turut menerima tempias apabila dituduh sebagai bersifat perkauman selepas beliau membuat kenyataan menyokong Sam dan mengatakan bahawa wanita tersebut tidak patut dipenjarakan selama enam tahun.
Sementara itu, keputusan Mahkamah Rayuan pada Selasa dilihat mendapat reaksi positif dan disambut baik netizen di media sosial termasuk Facebook dan Twitter, dengan ramai mengucapakan tahniah dan menyifatkannya sebagai berita baik, termasuk juga yang menyuarakan rasa simpati dengan trauma yang terpaksa dihadapi Sam sepanjang perbicaraan.
“Alhamdulillah, saya tumpang gembira bagi pihaknya (Sam). Tujuh tahun yang menyiksakan dan saya pasti dia masih lagi dihantui rasa bersalah.
"Semasa dia meminta maaf, ini cukup membuktikan yang dia juga manusia yang mempunyai perasaan simpati. Ianya dinamakan kemalangan bersebab,” komen salah seorang pengguna Twitter.
Bagaimanapun, terdapat juga hantaran Facebook berbaur perkauman seperti "Yang meninggal anak Melayu nak sediakan peguam duit tak ada. Yang menang yang bukan Melayu dan banyak duit’.