PENJELASAN: Bagaimana lambakan ancam industri keluli Malaysia dan ekonominya?

Malaysia kenakan duti anti-lambakan, lindungi industri keluli tempatan dan ekonomi negara Asia Tenggara itu.
Iman Muttaqin Yusof
2025.01.23
Kuala Lumpur
PENJELASAN: Bagaimana lambakan ancam industri keluli Malaysia dan ekonominya? Keadaan sebuah tapak pembinaan bersebelahan dengan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, 15 Oktober 2021.
[Vincent Thian/AP]

Sektor industri tempatan Malaysia terutamanya dalam pembuatan keluli menghadapi tekanan yang kian meningkat apabila besi import yang murah dari China, Korea Selatan dan negara lain membanjiri pasaran domestik.

Bahan-bahan yang menjadi sasaran langkah anti-lambakan Malaysia seperti gegelung keluli sejuk, keluli pra-cat dan dawai keluli bergabung digunakan secara meluas dalam sektor pembinaan, pembuatan automotif dan projek infrastruktur.

Meskipun produk keluli import yang menawarkan harga lebih rendah memberikan kelebihan kepada para pengguna, pakar memberikan amaran bahawa keadaan itu boleh merosakkan ekonomi negara itu.

Berikut adalah sebab mengapa rakyat Malaysia perlu memberikan perhatian kepada isu lambakan dan langkah yang diambil negara untuk menanganinya:

Apa itu lambakan?

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), lambakan berlaku apabila “harga eksport” sesuatu produk di Malaysia lebih rendah berbanding “nilai normal” di pasaran domestik pengeksport menjadikan ia sebagai satu bentuk diskriminasi harga antarabangsa yang “menjejaskan pengeluar tempatan.”

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia merupakan sektor yang terdedah kepada kesan daripada lambakan, kata Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong pada Julai lalu.

“Kerajaan komited untuk melindungi [industri keluli dan besi ini] daripada kesan lambakan atau perdagangan tidak adil berikutan kemasukan besar barangan import murah," ujarnya.

Bagaimanapun, masalah ini bukan saja dihadapi oleh Malaysia malah negara lain di Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Thailand, yang turut bergelut dengan kesan lambakan terutamanya import dari China, negara pengeluar dan pengeksport keluli terbesar dunia.

Pengeluaran keluli berlebihan dari China yang disokong dengan subsidi kerajaan sering membawa kepada pertikaian harga dan siasatan anti-lambakan di seluruh dunia, kata pakar.

Mengapa lambakan boleh merugikan Malaysia?

Pada Ogos 2024, sebuah pengeluar industri keluli bersadur tempatan mengemukakan petisyen bagi memohon siasatan duti anti-lambakan kerana mendakwa produk keluli import yang dijual di Malaysia “pada harga yang jauh lebih rendah” menyebabkan “kerugian material kepada industri keluli tempatan.”

Laporan media memetik Presiden Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia, Lim Hong Thye sebagai berkata penggunaan keluli di negara itu pada 2024 adalah “sangat rendah" sekitar dalam kadar 39.1 peratus, menjadikan industri tersebut bergantung pada faktor luaran.

Beliau menegaskan sektor itu kekal terdedah kepada “import tidak adil terutamanya dari China,” selain keluli import yang lebih murah memberikan tekanan yang ketara kepada pengeluar tempatan.

Perkara itu diakui oleh Shukufa Sayadli, seorang pakar perisikan pasaran antarabangsa di SteelRadar, sebuah platform yang menyediakan maklumat pasaran keluli global.

“Kemasukan produk import dengan harga rendah telah menjejaskan industri keluli bersadur Malaysia apabila ia mengurangkan saiz pasaran dan margin keuntungan bagi pengeluar tempatan,” katanya kepada BenarNews.

“Kesan yang lebih besar di luar konteks sektor keluli bersadur, kadar import lebih murah boleh menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan dan industri mengalami penurunan hasil sekali gus menjejaskan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.”

250123-MY-Antidumping2.jpg

Seorang peniaga meletakkan botol plastik air mineral ke dalam kotak di kedainya di Kajang, Selangor, 7 Januari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]

Apa langkah diambil kerajaan?

Malaysia menyediakan kerangka perundangan utama untuk menangani lambakan dengan menguatkuasaan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 yang membolehkan MITI menyiasat dakwaan lambakan dan mengenakan duti ke atas import yang dijual di bawah harga kos.

Pada Oktober lalu, agensi berita nasional Bernama melaporkan Malaysia telah mengutip kira-kira RM500 juta (AS$112.51 juta) hasil duti anti-lambakan dari 2016 hingga Jun 2024 bagi mengurangkan kesan import yang “tidak adil.”

Contoh terkini termasuk duti antara 2.52 hingga 36.8 peratus ke atas produk besi dan gulungan keluli rata dari China, Korea Selatan, India dan Jepun yang berkuat kuasa bermula 11 Januari 2025, kata MITI.

Keputusan akhir sama ada langkah sementara mengenakan duti itu akan dilanjutkan atau dihentikan akan dibuat pada 10 Mei depan, demikian kata kementerian itu.

Langkah sama turut disasarkan kepada import polyethylene terephthalate (PET), sejenis plastik polimer dari China dan Indonesia dengan mengenakan duti setinggi 37.44 peratus berkuat kuasa pada 7 Januari 2025.

PET merupakan komponen utama dalam pembuatan botol minuman dan bekas plastik.

Data MITI menunjukkan langkah anti-lambakan terhadap China yang berkuat kuasa hingga 2028 meliputi produk keluli gulung sejuk, gegelung pra-cat dan dawai keluli bergabung yang mempunyai permintaan kritikal untuk sektor pembinaan dan pembuatan.

Timbalan Menteri Liew memberitahu BenarNews bahawa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim merancang untuk ‘mengukuhkan’ undang-undang anti-lambakan itu namun butiran lanjut mengenainya masih belum didedahkan.

Adakah ia mencukupi?

Pakar undang-undang Mohamad Ari Zulkarnain dan Najihah Abu Bakar berpandangan meskipun Malaysia mempunyai kerangka perundangn anti-lambakan yang kukuh, kerajaan menghadapi cabaran dalam melaksanakannya.

“Isunya ialah adakah kerajaan menyediakan sokongan operasi yang mencukupi untuk menjalankan siasatan [lambakan] kerana sesuatu aduan perlu diuruskan mengikuti prosedur yang ketat dan terikat dengan faktor masa manakala pengumpulan data atau bukti bukan suatu tugas yang mudah,” kata mereka.

Mereka berkata fokus perlu diberikan kepada melengkapkan badan penyiasat dengan “sumber teknikal mencukupi” untuk menguruskan jumlah dagangan Malaysia yang kian meningkat.

Sementara itu, Jayant Menon, Felo Kanan Pelawat di Institut ISEAS–Yusof Ishak memberikan amaran tentang kemungkinan berlaku penyalahgunaan duti anti-lambakan.

“Jika terbukti [dakwaan lambakan], langkah sedemikian [kenakan duti] adalah wajar,” katanya merujuk kepada duti MITI ke atas import keluli baru-baru ini.

“Namun apabila ia digunakan untuk melindungi industri domestik yang tidak cekap, duti tersebut menjadi seperti cukai kepada syarikat hiliran yang bergantung pada produk import tersebut.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.