Pelantikan Semula Ketua Hakim Malaysia Diselubungi Kontroversi

Hata Wahari
2017.08.04
Kuala Lumpur
170804-my-hakim-620.jpg Polis Anti-Rusuhan Malaysia sedang mengawal perkarangan bangunan Istana Kehakiman Malaysia, yang menempatkan jabatan perundangan dan beberapa mahkamah tertinggi Malaysia, di Putrajaya, 12 Mei 2004.
AFP

Kerajaan Malaysia secara rasmi melantik Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh tiga tahun lagi apabila Hakim berkenaan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada lewat malam Jumaat, walaupun menerima tentangan dari pelbagai pihak.

Agensi Berita Nasional Bernama, media rasmi kerajaan melaporkan, Md Raus mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara yang diadakan di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur bagi tempoh itu yang berkuatkuasa Jumaat.

Namun, tidak ada upacara mengangkat sumpah jawatan bagi Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinuddin yang hanya akan mencapai umur persaraan mandatori pada September ini.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star melaporkan upacara angkat sumpah bagi Zulkefli, yang akan memegang semula jawatan tersebut, hanya akan dibuat pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Bernama melaporkan upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu turut dihadiri Perdana Menteri Najib Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli, Hakim Besar Malaya Ahmad Maarop dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Latifah Mohd Tahar.

Para penggubal undang-undang dan pakar perundangan Malaysia telah mengkritik langkah kerajaan untuk melanjutkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli dengan menganggap ianya sebagai tidak berperlembagaan kerana ia menggugat kebebasan kehakiman negara, sekaligus mencetuskan krisis kehakiman yang melanda negara itu.

Mengikut Perlembagaan, tempoh perkhidmatan hakim tidak boleh dilanjutkan bagi mereka yang telah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Md Raus telah mencapai umur persaraan mandatori pada Khamis dan Zulkefli pula pada 27 September ini tetapi akan kekal menjadi hakim tambahan yang tidak terikat dengan had umur yang sama.

Pada 1 April lepas, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14, menggantikan Arifin Zakaria yang telah bersara.

Tempoh perkhidmatan masing-masing dilanjutkan kepada tiga dan dua tahun dengan kedua-dua hakim itu dilantik sebagai hakim tambahan kepada Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi negara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Najib pada 7 Julai lepas.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa langkah itu dibuat mengikut Perkara 122 Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong Malaysia, bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang telah meluluskan pelantikan itu.

Pelantikan Md Raus juga mendapat bantahan daripada badan tertinggi peguam di Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, yang telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Khamis di mana Majlis tersebut sebulat suara meluluskan usul tidak percaya terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara itu.

Resolusi yang diluluskan oleh Majlis Peguam Malaysia itu secara majoriti menolak langkah kerajaan melanjutkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli dengan menyifatkan ia sebagai tidak berperlembagaan dan menggugat kebebasan kehakiman negara.

Menurut Presiden badan peguam itu George Varughese, majlis itu bersedia untuk memboikot segala majlis sosial bersama Md Raus dan Zulkefli termasuk menggalakkan ahli majlis berbuat demikian.

“Majlis Peguam mengambil keputusan berkenaan sebagai tanda protes kami terhadap badan kehakiman itu termasuk juga kami tidak akan menghantar jemputan untuk majlis sosial kami kepada mereka. Kami akan hanya meneruskan hubungan dengan badan kehakiman untuk perkara rasmi sahaja,” Varughese berkata dalam sidang media selepas EGM itu, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, di ibu negara Malaysia pada Khamis.

Beliau berkata, “Ini satu bentuk bantahan untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kami dalam pelantikan yang tidak berperlembagaan tetapi kami secara peribadi tidak menentang Raus dan Zulkefli.”

Mesyuarat itu dihadiri oleh 993 peguam dengan majoriti yang besar menetapkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.

Menurut seorang peguam yang menghadiri mesyuarat itu, 643 peguam menyokong resolusi itu, empat membantah dan 3 berkecuali. Baki jumlah peguam telah pulang sebelum undian dibuat.

Bantahan yang sama disuarakan  oleh empat pemimpin parti pembangkang yang telah mengadakan pertemuan dengan pegawai istana Malaysia pada Rabu, untuk menyerahkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta mahkamah tertinggi negara mencabar keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara.

Pakatan utama pembangkang, Pakatan Harapan, yang diketuai oleh pengerusi dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah satu-satunya pihak yang boleh menggunakan budi bicara baginda mengikut Perkara 130 Perlembagaan untuk merujuk keputusan itu bagi disemak semula oleh mahkamah.

Mahathir, yang merupakan pengkritik paling lantang Perdana Menteri Najib Razak berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim-hakim berkenaan selepas menerima nasihat Najib.

Perkara 130 menyatakan "Yang di-Pertuan Agong Malaysia boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi pendapatnya tentang sebarang persoalan berhubung tentang apa-apa peruntukan Perlembagaan yang telah berbangkit atau dipercayai akan berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah menyatakan pendapatnya di mahkamah terbuka berhubung sebarang persoalan yang dirujuk kepadanya. "


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.