Timbalan Perdana Menteri sahkan kontrak lantikan politik ditamatkan serta merta

Fadillah Yusof memberitahu BenarNews bahawa penamatan kontrak lantikan politik secara serta merta itu dipersetujui semasa mesyuarat Kabinet di pengerusikan Perdana Menteri.
Muzliza Mustafa & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.15
Putrajaya
Timbalan Perdana Menteri sahkan kontrak lantikan politik ditamatkan serta merta Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof semasa menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Putrajaya, 13 Dis 2022.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Kontrak lantikan politik dalam kerajaan serta syarikat milik dan berkaitan kerajaan ditamatkan serta merta, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kepada BenarNews, di mana tindakan itu dilihat bertepatan dengan janji Pilihan Raya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu menamatkan tradisi pemberian jawatan sebagai ganjaran untuk sokongan.

Fadillah berkata keputusan menamatkan lantikan politik itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar pada Rabu.

“Apa yang diputuskan oleh Kabinet semalam ialah lantikan politik akan diminta letak jawatan atau diberhentikan serta merta. Berapa ramai itu saya tidak pasti, tetapi dalam kementerian saya ramai juga,” katanya merujuk kepada Kementerian Komoditi dan Perladangan iaitu portfolio kedua yang dipegang beliau.

Untuk nota, tiga jawatan tertinggi dalam negara iaitu Perdana Menteri dan dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing mempunyai portfolio tambahan.

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada November lepas, sebelum ini pernah berkata bahawa tumpuan utamanya adalah untuk memastikan saiz Kabinet kerajaan baharu lebih kecil dari kerajaan sebelumnya bagi mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan.

Beliau telah beberapa kali mengulangi komitmennya yang tidak akan ada lagi pemberian jawatan sebagai ganjaran untuk sokongan seperti yang diamalkan pemerintah sebelum itu,  melainkan jika jawatan tersebut benar-benar diperlukan.

Dalam pada itu, media tempatan Malaysia turut melaporkan mengenai sepucuk surat pekeliling bertarikh 14 Disember, ditandatangani Ketua Setiausaha Negara yang telah dihantar kepada semua Ketua Setiausaha kementerian berkaitan perkara yang sama dan menjadi tular di media sosial.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Oktober 2022 oleh IDEAS iaitu Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, sebuah badan pemikir tempatan, sebanyak 119 perlantikan politik baharu telah dibuat semasa pemerintahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut data yang dikumpulkan antara Ogos 2021 sehingga Sept 2022 telah berlaku kenaikan dalam lantikan politik dengan mendadak di dalam agensi berkanun, dengan perkembangan tersebut menurut IDEAS agak merisaukan.

“Terdapat 234 perlantikan dengan 115 daripadanya dikekalkan daripada pertadbiran sebelum itu manakala 119 adalah perlantikan baharu. Perlantikan politik dari Pertubungan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mendominasi perlantikan yang dikekalkan dengan 52 perlantikan diikuti oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebanyak 28 manakala lantikan dari wakil PAS adalah seramai 11.

“Lebih daripada setengah perlantikan baharu juga didominasi oleh UMNO dengan 61 perlantikan diikuti 19 daripada Bersatu, dan 15 daripada sebuah parti yang baru dibentuk – PB M, PAS (7), serta MCA (5)," demikian menurut data IDEAS.

Pemecatan bukan luar biasa

Menurut penganalisa politik Mohd. Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia, penamatan kontrak lantikan politik di badan berkanun milik kerajaan, syarikat berkepentingan kerajaan ataupun dalam kerajaan bukanlah suatu yang luar biasa.

“Ianya normal dan perlantikan politik ini sebenarnya adalah ganjaran yang diberikan kepada pemimpin politik atau ahli parti untuk mengekalkan pengaruh politik dalam syarikat berkepentingan kerajaan. Saya fikir kerajaan baharu ini akan melantik golongan professional dan individu yang tidak terlibat dalam politik untuk mengisi kekosongan.

“Kebiasaannya, perlantikan politik selalu didakwa kurang efisien dan tanggungjawab yang menyumbang kepada banyak ketirisan. Saya fikir lebih baik tidak perlu ada mereka ini dalam GLC (government linked company),” kata Azizuddin kepada BenarNews.

Manakala Azmi Hassan, Felo Kanan Kajian Strategik Akademi Nusantara pula berkata Anwar dijangka tidak akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan akibat penamatan kontrak lantikan politik.

“Saya percaya penamatan ini tidak akan digantikan dengan perlantikan politik yang lain kerana Anwar Ibrahim sudah berjanji bahawa beliau mahukan kerajaan yang bersih dan efisien dan ini termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan.

“Kenapa ini berlaku? Kerana Anwar mahukan kerajaan yang efisien dan tidak ada ketirisan terutamanya dalam proses tender. Tiada lagi tender perniagaan dikaitkan dengan parti politik semestinya. Ini adalah tindakan yang bagus dari Anwar dan patut dihargai oleh rakyat,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.