Penipuan pekerjaan: 700 rakyat Malaysia ditahan sebagai tebusan di Zon Ekonomi Khas Laos

Kumpulan hak asasi Malaysia serta anggota keluarga mangsa merayu kerajaan Laos supaya membantu membebaskan pekerja yang terkandas.
Staf Radio Free Asia
2022.10.04
Penipuan pekerjaan:  700 rakyat Malaysia ditahan sebagai tebusan di Zon Ekonomi Khas Laos Foto fail Zon Ekonomi Khas Segitiga Emas, sebuah daerah pusat hiburan dan kasino di wilayah Bokeo di barat laut Laos yang menjadi tumpuan pengunjung dari China.
[Radio Free Asia]

Kira-kira 700 pekerja migran Malaysia ditahan di sebuah premis kasino dan resort milik warga China yang terletak di utara Laos, di mana mereka dipercayai didera oleh pengurus yang mahukan sejumlah wang yang besar dibayar sebagai tebusan jika mahu dibebaskan, demikian menurut sumber kepada Radio Free Asia, sekutu BenarNews

Dalam pada itu, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah memberitahu lima rakyat negara itu yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Laos telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang pada malam Selasa.

Kesemua mangsa dipercayai telah ditipu dengan menjanjikan peluang pekerjaan sebelum dibawa ke Zon Ekonomi Khas (SEZ) Segitiga Emas di wilayah Bokeo, di mana kebanyakan mereka dipaksa bekerja bagi sindiket penipuan atas talian, dengan menurut sumber, mangsa telah dipaksa menurut perintah sindiket yang menggunakan kekerasan termasuk mereka telah dipukul dan diseksa jika enggan memantuhi arahan.

"Saya melihat ramai pekerja warga Malaysia di SEZ," seorang warga Laos yang bekerja di zon Segitiga Emas memberitahu Radio Free Asia (RFA), perkhidmatan berita atas talian yang bersekutu dengan BenarNews, pada 29 September lalu. Pekerja itu bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan atas tujuan keselamatan.

"Sebenarnya saya lihat orang di sini datang dari banyak negara, termasuk Vietnam, Myanmar dan Malaysia. Mereka buat banyak kerja yang berlainan, tetapi kebanyakannya berada di sini bekerja di atas talian sebagai scammer," kata sumber itu kepada RFA.

Dalam pada itu, seorang pekerja warga Laos yang berjaya melarikan diri dari Segitiga Emas tersebut selepas beliau dipaksa bekerja sebagai penipu atas talian berkata, ia adalah sesuatu yang sukar bagi pekerja asing di SEZ untuk meninggalkan zon tersebut atau mendapatkan perlindungan daripada penderaan yang dialami.

"Majikan dari China merampas semua pasport dan telefon mereka, dan kebanyakan pekerja akan dikurung di dalam bangunan," kata sumber yang turut enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan.

"Pekerja asing seperti rakyat Malaysia di sini juga sukar untuk mengadu kepada pihak berkuasa Laos kerana masalah bahasa," tambah beliau.

"Apabila pekerja asing didera oleh majikan mereka dari China, mereka tidak tahu sama ada mereka patut melaporkan penderaan itu kepada Pasukan Petugas SEZ kerajaan atau kepada pejabat Kedutaan masing-masing," kata sumber itu lagi.

Menurut laporan akhbar tempatan Malaysia pada 25 September lepas, pekerja asing yang terperangkap di SEZ Segitiga Emas itu berada dalam "situasi buruk" termasuk dipukul dan diseksa, dengan beberapa pekerja juga dilaporkan telah ditembak kerana enggan menurut arahan.

"Sesetengah pekerja juga dipercayai telah dijual dari satu ejen kepada ejen yang lain, daripada satu syarikat kepada syarikat lain, atau lebih teruk lagi, ada yang turut didagangkan antara negara lain," demikian dilaporkan oleh akhbar New Straits Times.

Sindiket penipuan juga meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa, dengan jumlah antara RM50,000 [AS$10,782] hingga RM100,000 [AS$21,565] bagi membebaskan mangsa, menurut laporan tersebut.

Menteri Luar Malaysia dalam catatan di laman media sosial Facebook rasminya berkata, “Alhamdulillah, 5 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Laos telah berjaya diselamat dan dibawa pulang ke tanah air malam ini. Mereka akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu proses siasatan sewajarnya.”

Beliau juga memberitahu yang seramai 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan telah diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, di mana 176 orang daripada mereka telah dihantar pulang ke Malaysia manakala baki 85 orang yang lain masih berada dalam depoh tahanan sementara menunggu proses penghantaran pulang.

“Warganegara Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam menerima tawaran pekerjaan di luar negara, terutamanya yang menjanjikan bayaran gaji yang tinggi tanpa memerlukan kelayakan yang setimpal,” tambah Saifuddin.

Protes di Kuala Lumpur

Pada 26 September, ahli kumpulan hak asasi manusia serta ibubapa para pekerja yang terkandas di SEZ telah berkumpul dan mengadakan protes di hadapan Kedutaan Laos di Kuala Lumpur, dan menggesa supaya pihak berkuasa Laos membantu supaya kesemua pekerja berkenaan dibebaskan.

Dalam ucapan ketika protes berkenaan, Hishamuddin Hashim, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa berkata ramai pekerja Malaysia yang terperangkap di Laos telah meminta bantuan polis Laos tetapi tidak mendapat sebarang respon.

“Sekurang-kurangnya empat rakyat Malaysia telah berjaya menyelamatkan diri, manakala enam lagi sedang dibantu Kedutaan Malaysia di Vientiane, "tetapi masih ramai yang terus dieksploitasi, didagangkan ataupun dibunuh," kata Hishamuddin.

Bercakap kepada RFA pada 29 September, seorang pegawai kerajaan Laos berkata beliau melihat bahawa Kedutaan Malaysia di Laos baru-baru ini telah berhubung dengan Kementerian Luar Laos serta Interpol bagi meminta bantuan untuk membebaskan pekerja Malaysia yang terkandas.

"Kementerian Luar Laos biasanya akan respon kepada permintaan sedemikian," kata pegawai itu, yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan bagi membolehkannya bercerita secara terus-terang. "Saya tidak tahu bagaimana rakyat Malaysia itu boleh datang bekerja di Laos, tetapi saya tahu kebanyakan mereka bekerja di SEZ Segitiga Emas di wilayah Bokeo."

Apabila dihubungi melalui emel dan panggilan telefon untuk mendapatkan komen, seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Laos berkata, "Kami sedang membuat sedikit kajian mengenai isu ini sebelum kami boleh menjawab soalan anda."

SEZ Segitiga Emas adalah sebuah hub pelancongan dan perjudian yang terletak di kawasan Sungai Mekong, di mana sempadan negara Laos, Myanmar dan Thailand bertemu. Kawasan itu kebiasaannya dibanjiri oleh pelancong China.

Pada 2018, kerajaan AS telah mengeluarkan sekatan ke atas seorang taikun China yang dikatakan bertanggungjawab mengetuai satu jaringan penyeludupan di SEZ.

Laporan ini disediakan oleh perkhidmatan berita Radio Free Asia Laos, dengan maklumat tambahan oleh Noah Lee, BenarNews Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.