Laporan AS: Hak Asasi Pekerja Asing Masih Jadi Kebimbangan Semasa COVID-19

Hadi Azmi & S. Adie Zul
2021.03.31
Kuala Lumpur
Laporan AS:  Hak Asasi Pekerja Asing Masih Jadi Kebimbangan Semasa COVID-19 Pekerja binaan warga asing sedang bekerja di sebuah tapak pembinaan yang berlatar belakangkan Menara Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, 15 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Hak asasi pekerja asing di Malaysia terus menjadi kebimbangan semasa pandemik COVID-19 melanda negara itu, demikian menurut Laporan Hak Asasi yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Selasa walaupun kerajaan Malaysia sudahpun menguatkuasakan undang-undang buruh baharu dalam usaha menangani isu berkaitan pekerja asing antaranya.

Laporan Hak Asasi tahunan yang merangkumi negara-negara di dunia dikeluarkan kerajaan AS itu menyatakan bahawa walaupun Malaysia telah mewajibkan semua pekerja termasuk pekerja asing dalam sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan perlu menjalani ujian COVID-19, masih wujud kebimbangan di mana pekerja asing dipaksa untuk bekerja ketika pandemik ataupun berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan.

Selain menyentuh mengenai hak pekerja asing, laporan tersebut juga menyentuh isu signifikan berkaitan hak asasi manusia yang lain seperti pembunuhan oleh kerajaan atau ejennya, penderaan, kekejaman, tidak berperikemanusiaan atau layanan yang menjatuhkan maruah termasuk hukuman oleh kerajaan.

Kondisi penjara yang teruk dan mengugat nyawa juga diketengahkan disamping penahanan salah; kebebasan badan kehakiman, sekatan hak berekspresi, kebebasan media dan internet, tapisan, sekatan atas laman web dan gangguan ke atas hak untuk berkumpul secara aman antara lainnya.

“Persatuan Pekerja Pembalakan Semenanjung Malaysia menyatakan bahawa pekerja asing kini merasakan mereka terpaksa memilih di antara COVID-19 atau kebuluran,” menurut laporan setebal 44 muka surat yang dikeluarkan Washington itu.

Laporan tersebut yang memetik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia sebagai berkata mereka telah menerima lebih daripada 500 aduan berkaitan majikan yang meneruskan operasi syarikat ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, dengan sesetengahnya mengugut untuk menamatkan perkhidmatan pekerja yang enggan datang bekerja manakala ada juga majikan yang didakwa tidak menyediakan peralatan perlindungan peribadi.

Jabatan Negara AS dalam laporannya itu juga berkongsi statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Malaysia yang menunjukkan sehingga Oktober 2020, seramai 174 pekerja meninggal dunia, 5,705 mengalami kecacatan tidak kekal manakala 226 pekerja lagi mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan yang berkaitan dengan kerja.

Malaysia telah melakukan pindaan ke atas Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau lebih dikenali sebagai Akta 446, yang mewajibkan majikan untuk menambahbaik kemudahan tempat tinggal kepada pekerja mereka sebagai satu usaha memastikan hak-hak pekerja di Malaysia dilindungi.

Pindaan itu telah diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2019 dan telah digazetkan sebagai undang-undang pada September tahun yang sama.

Walaubagaimanpun, kerajaan telah menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut sehingga September 2020 bagi memberikan masa kepada majikan untuk melakukan persiapan.

Namun begitu, perlaksanaannya sekali lagi ditangguhkan sehingga 26 November, 2020 susulan peningkatan jangkitan COVID-19 melibatkan pekerja kilang yang tinggal di hostel pekerja.

Adrian Pereira dari kumpulan advokasi hak asasi migran North-South Initiative berkata pihak majikan tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak patuh kepada undang-undang baharu itu, kerana mereka telah diberikan masa yang memadai untuk membuat persediaan.

“Kami berharap pihak Jabatan Buruh dan Kementerian Kesihatan akan melihat dengan serius perkara ini ketika syarikat meningkatkan kadar pengeluaran dan perkara berkenaan hendaklah dilakukan tanpa mengabaikan kesihatan para pekerja.

“Para pekerja mesti mendapat rehat yang mencukupi dan menikmati persekitaran kehidupan yang sihat supaya badan dan minda mereka dapat pulih selepas bekerja keras,” ujarnya kepada Berita Benar.

Dalam pada itu, Malaysia menawarkan diri sebagai calon untuk menjadi ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024, seperti yang diumumkan oleh Menteri Luar, Hishammuddin Hussein pada “Sesi ke 46 Segmen Peringat Tinggi” majlis berkenaan pada Selasa.

“Sekiranya terpilih, Malaysia berhasrat memainkan sebagai fasilitator kepada penyatuan, pemudahcara kepada kerjasama dan pembina persetujuan bersama.

“Kami akan meneruskan advokasi yang bersungguh-sungguh terhadap hak mereka yang sekian lama menjadi mangsa kepada pelanggaran hak asasi sebagai contoh etnik Rohingya dan rakyat Palestin,” katanya.

Dalam membentangkan hujahnya, menteri itu berkata Kuala Lumpur buat julung kalinya menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Hak Asasi Manusia ke Malaysia dan seterusnya bersetuju untuk menerima Penasihat Hak Asasi ke negara itu, yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.

“Langkah-langkah ini adalah penyataan komiten kuat kita ke arah usaha tersebut. Kita juga berbesar hati untuk meneruskan sumbangan tahunan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR),” ujarnya lagi.

BeritaBenar cuba mendapatkan reaksi dari menteri bertanggungjawab berhubung laporan tahunan hak asasi AS itu, tetapi pertanyaan tidak dijawab, manakala badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi di negara itu meminta untuk mengkaji laporan tersebut terlebih dahulu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.