Follow us

PM Lantik Peguam Negara Baharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Letak Jawatan

Muzliza Mustafa & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-06
E-mel
Komen
Share
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di Kuala Lumpur, 5 Mac 2020.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di Kuala Lumpur, 5 Mac 2020.
[AP]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Jumaat melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara selepas timbul persoalan bagaimana kerajaan baharu akan meneruskan perbicaraan kes terhadap beberapa tokoh utama yang dikaitkan dengan penyelewengan berbilion dolar dana negara 1MDB.

Pejabat Muhyiddin mengumumkan bahawa Hakim Idrus Harun akan mengisi jawatan Peguam Negara pada hari yang sama Ketua Pesuruhjaya agensi rasuah mengesahkan bahawa beliau telah meletak jawatan, sekali gus menjadi pegawai kanan kedua yang berundur selepas pakatan pemerintah pimpinan Mahathir Mohamad tumbang minggu lepas.

Pelantikan Idrus dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima permohonan Tommy Thomas untuk "memendekkan perkhidmatan" sebagai Peguam Negara.  

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Tommy Thomas atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara,” menurut kenyataan pejabat perdana menteri.

Thomas, yang telah memfailkan pertuduhan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung skandal kewangan 1MDB, meletak jawatan minggu lepas atas alasan bahawa beliau perlu berundur dan memberi laluan kepada kerajaan baharu melantik penggantinya memandang beliau adalah lantikan politik.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan perlantikan Yang Arif Tan Sri Idrus bin Harun, Hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai Peguam Negara yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 6 Mac 2020,” menurut kenyataan itu.

Latheefa Koya, yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata beliau tidak menerima tekanan supaya meletak jawatan.

“Spekulasi bahawa tekanan telah dikenakan ke atas saya adalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat sambil menegaskan bahawa keputusan beliau akan membolehkannya berkhidmat semula sebagai peguam hak asasi manusia.

Latheefa dan Thomas telah dilantik oleh Mahathir selepas Pakatan Harapan pimpinan beliau menumbangkan kerajaan Najib yang dicemari skandal rasuah pada 2018. Keputusan mereka untuk berundur dibuat selepas terdapat perubahan dalam kerajaan yang memeranjatkan negara susulan tempoh seminggu kemelut politik yang membawa kepada peletakan jawatan Mahathir.

Mahathir meletak jawatan dan berkata beliau enggan bekerjasama dengan ahli politik yang dicemari rasuah. Beliau turut menuduh kerajaan baharu bekerjasama dengan “kleptokrat” yang berdepan dakwaan menyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Seperti yang sering saya katakan, saya menentang sebarang bentuk kerjasama dengan individu yang diketahui korup dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokratik yang mana kerajaan Pakatan Harapan telah berusaha keras untuk singkirkan,” kata Mahathir dalam kenyataannya bertarikh 29 Feb.

Mahathir, yang telah disingkirkan sebagai perdana menteri hasil pengaturan semula lanskap politik negara yang memerlukan campur tangan Yang di-Pertuan Agong, telah menuduh Najib dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai dalang krisis politik itu dalam usaha mengelak sabitan bagi kes yang dihadapinya berkaitan 1MBD.

Muhyiddin mengambil alih kuasa selepas Parti Bersatu pimpinannya membentuk satu pakatan dengan UMNO, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan beberapa parti lain.

“Jika Najib boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang, beliau boleh melakukan apa sahaja untuk membebaskan dirinya,” kata Mahathir kepada pemberita pada Ahad.

Masih tidak jelas bagaimana reaksi Muhyiddin terhadap peletakan jawatan oleh Latheefa. Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas segera terhadap panggilan telefon BeritaBenar yang ingin mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Latheefa berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pada Khamis yang menyaksikan beliau berbincang mengenai usaha yang sedang dilakukan untuk mendapatkan kembali dana 1MDB yang telah dicuri.

“Beliau begitu menyokong kesemua tindakan ini,” katanya dalam kenyataan satu muka surat yang dikeluarkan kepada media.

Laporan tempatan menyebut bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Azam Baki, akan mengambil alih tempat Latheefa mulai Isnin.

Latheefa mengumumkan peletakan jawatannya sehari selepas beliau memberi keterangan di mahkamah mengenai rakaman perbualan telefon yang didedahkan pihaknya yang beliau dakwa membabitkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor serta beberapa individu yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

Rosmah, 68, dan Najib, 66, kini berdepan siasatan rasuah secara besar-besaran mengenai skandal 1MDB. Selepas Mahathir mengambil alih kuasa, beliau telah melarang pasangan itu meninggalkan negara dan pihak berkuasa telah menggeledah kediaman mereka dan merampas sehingga AS$273 juta wang tunai, barangan kemas dan beg tangan, yang menurut pengkritik, merupakan simbol gaya hidup mewah pasangan itu.

Najib turut berdepan 42 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dakwaan bahawa kira-kira AS$4.5 bilion telah dicuri dariapdda 1MDB, yang diasaskannya pada 2009. Jika didapati bersalah, Najib mungkin terpaksa meringkuk seumur hidup dalam penjara. Pendakwaan turut memfailkan tiga pertuduhan rasuah terhadap Rosmah pada November 2018.

Antara lain, Latheefa disoal mengenai niatnya mendedahkan rakaman audio itu kepada umum.

“Ia mengandungi isu kepentingan awam yang begitu serius, lapor akhbar tempatan yang memetik kenyataan beliau. “Ia mendedahkan perbuatan yang menyaksikan beberapa pegawai kerajaan dan institusi … telah terlibat dalam konspirasi menutup penyiasatan tertentu terhadap beberapa individu.”

Lihat Laman Penuh