Peguam Desak Kes Perundangan Baru Selepas 5 Tahun Keputusan Bersejarah Mengenai Laut China Selatan

Peguam menyarankan supaya perlunya pembaharuan usaha antarabangsa dan "kes perundangan baru" mengenai perkara tersebut.
Khas untuk BenarNews
2021.07.09
Peguam Desak Kes Perundangan Baru Selepas 5 Tahun Keputusan Bersejarah Mengenai Laut China Selatan Foto yang diambil pada 27 April 2021 dan diterima dari Pengawal Pantai Filipina pada 5 Mei 2021 menunjukkan anggota Pengawal Pantai Filipina di atas kapal mereka BRP Cabra memantau kapal-kapal China yang berlabuh di Sabina Shoal, singkapan di perairan Laut China Selatan yang dituntut oleh Manila dan terletak kira-kira 135 kilometer (73 batu nautika) sebelah barat Pulau Palawan di Filipina.
[Ihsa Pegawal Pantai Filipina/AFP]

"Ia adalah hari musim panas yang indah di The Hague," kata Jonathan London, pakar dari Universiti Leiden, yang memantau isu Laut China Selatan sejak lebih sedekad yang lalu.

"Namun, ia diulit rasa gelisah kerana adanya keputusan penting yang perlu dibuat berhubung konflik yang berlaku di bahagian lain dunia," katanya semasa mengimbau hari yang mencatatkan sejarah itu.

Selepas tiga tahun, satu kes timbang tara yang dikemukakan oleh Filipina terhadap China mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) akan berakhir dengan keputusan yang boleh memberi kesan besar terhadap pertikaian yang semakin membara di satu daripada laluan perdagangan yang paling penting di dunia itu.

Kes PCA No. 2013-19, seperti mana ia dikenali, adalah kes pertama melibatkan mana-mana negara mencabar China berhubung kedaulatan maritimnya, dan ia adalah tindakan sebuah negara Asia Tenggara, yang merupakan sekutu Amerika Syarikat (AS), untuk menentang sebuah negara besar.

Di luar bangunan agam yang menempatkan Mahkamah Tetap Timbang Tara di kota Belanda itu, orang ramai mula berkumpul pada awal pagi. Pada mulanya, sekumpulan rakyat Filipina mengibarkan sepanduk sambil melaungkan "China keluar dari perairan Filipina", disusuli beberapa wartawan dan kru TV.

"Semua itu berubah selepas kira-kira sejam apabila sebuah bas pelancongan yang besar berhenti di kawasan itu. Beberapa rakyat tanah besar China yang kelihatan pertengahan dan lanjut usia melangkah turun dari bas tersebut dan mula berteriak juga," kata London, yang berada di lokasi berkenaan.

Di seberang lautan Atlantik, Paul Reichler - rakan kongsi di firma undang-undang Foley Hoag di Washington dan peguam utama bagi Filipina - tiba di pejabatnya pada 4:45 pagi hanya untuk mengetahui bahawa pasukannya telah pun berkumpul di situ. Keputusan mahkamah timbang tara dijangka tiba menerusi e-mel, setengah jam sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Dan kemudian, saat-saat menggembirakan muncul apabila pasukan perundangannya membaca setiap halaman keputusan itu.

"Seronok sungguh dapat mengetahui perinciannya: Apa yang telah mereka putuskan? Dan yang itu? Ya Tuhan, adakah kita menang yang itu juga?" kata Encik Reichler sambil ketawa.

"Namun, ia terlalu awal pagi untuk kami meraikannya dengan champagne."

Keputusan bersejarah

Pada hari itu, 12 Julai 2016, tribunal timbang tara memutuskan untuk meihak kepada Filipina bagi sebahagian besar penghujahannya dan menolak tuntutan hak bersejarah China terhadap wilayah-wilayah yang luas di Laut China Selatan dengan menggunakan apa yang dikatakan sebagai Sembilan Garis Putus yang terbentang luas dalam maritim Asia Tenggara.

China, Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei mempunyai pertikaian tuntutan di kawasan itu yang dianggap kaya dengan sumber semula jadi. Laut China Selatan juga merupakan laluan utama perkapalan yang membawa satu pertiga perdagangan maritim dunia.

"Saya sudah menjangkakan keputusan itu, tetapi saya masih merasa terkejut dengan kesan gravitinya. Sebuah mahkamah antarabangsa dengan tegas dan komprehensif menolak tuntutan tidak sah yang dibuat oleh sebuah kuasa besar,” kata London. "Prinsip yang mendasari kes ini adalah mudah: catatan sejarah itu tidak menyokong langsung tuntutan Beijing."

"Kemenangan itu melangkaui jangkaan kami," kata Marites Vitug, seorang wartawan terkemuka Filipina dan pengarang “Rock Solid: How the Philippines Won Its Maritime Case Against China.”

"Kami hanya berharap untuk menang bagi satu isu berhubung Sembilan Garis Putus itu tetapi kami menang bagi hampir kebanyakan isu. Sekumpulan aktivis di Manila berhimpun di jalanan untuk meraikan kemenangan itu dengan bunga dan belon. Terdapat juga demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar China. "

"Namun, kegembiraan kami terjejas apabila melihatkan reaksi setiausaha luar negeri [Perfecto Yasay Jr]. Beliau memberikan kenyataan yang amat ringkas, malah beliau tidak langsung senyum dan kelihatan amat sedih seolah-olah seperti menghadiri majlis pengebumian! " kata Vitug.

Ramai berpendapat bahawa Presiden Rodrigo Duterte, yang mengambil alih jawatan tertinggi itu kurang dua minggu sebelum keputusan mahkamah timbang tara, lebih memilih "pendekatan lembut" bagi menenangkan China dengan maklum balas yang tenang dan terkawal berbanding sambutan penuh gembira.

Kes tersebut dikemukakan pada 2013 semasa pemerintahan presiden sebelum ini, dan Duterte berusaha menjalinkan hubungan yang kurang tekanan dengan Beijing.

Setiausaha Yasay bukanlah satu-satunya individu yang tidak bersorak kegembiraan selepas mendengar keputusan mahkamah itu.

"Para penduduk tanah besar China [yang berada di luar mahkamah timbang tara] turut terdiam dan dengan senyap menaiki bas mereka sebelum menghilang," kata London.

Reaksi China

China dengan pantas menolak keputusan itu. Pada hari keputusan itu diumumkan, Menteri Luar China Wang Yi berkata rakyat China "tidak mahu menerima keputusan tersebut."

Sejak awal lagi, Beijing mengumumkan bahawa ia tidak akan menerima atau mengambil bahagian di mahkamah timbang tara itu. Dalam kertas pendirian pada 2014, China berhujah bahawa pertikaian antara China dan Filipina, serta negara-negara lain di rantau itu tidak tertakluk kepada mahkamah timbang tara kerana pada akhirnya, ia menjadi masalah kedaulatan yang berada di luar bidang kuasa penghakiman.

Pakar undang-undang China menegaskan bahawa kes itu, yang dimulakan oleh Filipina, adalah 'terbatal dan tidak sah.' Sehingga hari ini, kalangan ahli akademik China enggan membincangkan dengan mendalam mengenai keputusan mahkamah timbang tara itu.

Tahun lalu, dalam ucapannya pada Forum Keselamatan Munich, Presiden Institut Nasional Pengajian Laut China Selatan Wu Shicun berkata "China dan Filipina telah mencapai kata sepakat untuk menangguhkan keputusan mahkamah timbang tara mengenai Laut China Selatan sejak separuh kedua 2016. "

Duterte, yang dijangkan melepaskan jawatannya pada 2022, dipercayai cuba berurusan dengan Beijing secara sepihak dengan harapan mendapatkan sokongan dan pelaburan China.

Bagaimanapun, Wu mengakui bahawa ada pihak di Filipina yang "terus menekan kerajaan Duterte supaya menangani pertikaian dengan China sejajar dengan keputusan itu." Beliau mengingatkan bahawa "perdebatan undang-undang mengenai Laut China Selatan akan dipergiatkan lagi."

Keputusan pada 2016 itu nyata tidak menghalang China untuk terus memperluaskan penempatan pengawal pantai, rangkaian kapal nelayan dan angkatan tentera lautnya di Laut China Selatan, dengan sesetengah daripadanya dikerahkan dari pangkalan ketenteraannya di Kepulauan Spratly.

Pada Januari tahun ini, Beijing mengguna pakai Undang-Undang Pengawal Pantai, yang membangkitkan kebimbangan dan kritikan negara-negara jiran China.

Pada Mac lalu, beratus-ratus kapal nelayan China menceroboh Kawasan Terumbu Whitsun di Zon Ekonomi Eksklusif Filipina.

Perundangan berkesan

Tetapi, dalam jangka panjang, penguam Paul Reichler dari Foley Hoag berpendapat keputusan mahkamah timbang tara memberikan penetapan undang-undang "terutamanya mengenai kewajipan dan hak perundangan bagi China dan Filipina."

"Rejim perundangan Laut China Selatan telah pun dibentuk," katanya.

“Tindakan Filipina, yang memutuskan untuk mendekati China secara sepihak dan bukan pelbagai pihak, umpama melepaskan angin daripada tayar. Tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa kenderaan itu ada dan enjinnya berfungsi, cuma anda hanya perlu menggunakan tayar baru agar ia dapat bergerak semula. "

"Susulan keputusan itu, adanya harapan agar negara-negara yang mempunyai kepentingan dan komitmen yang sama dapat bergabung dalam menegakkan kedaulatan undang-undang di Laut China Selatan. Ia boleh berlaku,” kata Reichler.

Beliau menyarankan supaya sebahagian daripada pendekatan pelbagai pihak yang diperlukan itu "perlulah disertai dengan satu kes baru yang dibawa oleh sekumpulan negara bagi menguatkuasakan keputusan pada 2016 dan menerapkannya dalam konteks yang lebih luas yang melangkaui China dan Filipina."

Vietnam – yang turut mempunyai tuntutan di Laut China Selatan - tidak menolak kemungkinan untuk membawa pertikaiannya dengan China ke mahkamah antarabangsa atau mahkamah timbang tara.

Pada 2014, Hanoi mengemukakan satu pernyataan yang menyokong Filipina untuk membawa China ke muka pengadilan antarabangsa, sekali gus menolak tuntutan China dan mengulangi tuntutannya sendiri di Laut China Selatan.

"Vietnam dan negara-negara lain harus menegakkan keputusan yang dibuat pada 2016 untuk menyelesaikan masalah berbangkit selaras dengan undang-undang antarabangsa," kata Pham Quang Vinh, bekas duta Vietnam ke Amerika Syarikat.

"Kami sudah pun menyiapkan kes tetapi bagaimana untuk meneruskannya, ia bergantung kepada keadaan."

Seorang lagi bekas diplomat kanan Vietnam, yang turut mengkaji masalah itu, pula merasa ragu.

"Tidak akan ada sebarang kes perundangan kecualilah jika berlakunya pertelingkahan besar di rantau itu akibat pencerobohan China. Hanoi cenderung untuk meneruskan dasar tidak melakukan pencerobohan dan mahu mempertahankan status quo [di Laut China Selatan]. "

Beliau juga mengingatkan bahawa bukan mudah untuk mendapatkan sokongan rantau itu bagi melaksanakan satu prosiding perundangan bersama terutamanya kerana kebanyakan negara berkenaan tidak mahu memusuhi China.

Malaysia, yang turut mempunyai tuntutan di Laut China Selatan, telah mengeluarkan kenyataan lemah mengandungi 200 perkataaan mengenai keputusan mahkamah timbang tara itu walaupun hakikatnya keputusan menentang tuntutan wilayah Sembilan Garis Putus China akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam penghujahan berhubung maritimnya.

"Situasi di Laut China Selatan sangat tidak menentu dan dinamik," kata Jalila Abdul Jalil dari Pusat Undang-undang dan Dasar Laut di Institut Maritim Malaysia.

"Keputusan itu memperkukuhkan lagi jurisprudens mengenai isu-isu berkaitan Laut China Selatan. Tetapi, kestabilan adalah keadaan yang berbeza dan jurisprudens adalah satu daripada aspek itu, ”katanya.

Bagaimanapun, pada penghujung 2019 Malaysia mengemukakan tuntutan peluasan pentas benua kepada PBB - langkah yang mungkin didorong oleh keputusan mahkamah timbang tara pada 2016.

Pada 2020, negara jirannya Indonesia turut menyerahkan nota lisan kepada setiausaha agung PBB untuk mencabar tuntutan maritim China.

"Pencarian perintah berdasarkan peraturan di Pasifik Barat dan global telah meningkatkan keperluan mendesak terhadap sikap China dalam melakukan perluasan selain tingkah lakunya yang agresif terutamanya di Pasifik Barat serta di wilayah lain dunia,” kata London.

"Sama ada Vietnam atau negara lain bersedia untuk meneruskan prossiding undang-undang, ia tidak jelas. Apa yang jelas ialah akan adanya sokongan antarabangsa yang hebat bagi kes seperti itu. "

"Selama beberapa dekad, AS merugikan dunia dengan mengundi untuk menentang undang-undang antarabangsa laut sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kepentingan dan dominasi AS. Kini, ia menjadi kepentingan Amerika Syarikat serta dunia dalam mendesak supaya mendapatkan persetujuan dan penguatkuasaan perintah berdasarkan peraturan bagi mentadbir laut,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.